Kami sanggup mati demi mempertahankanmu Ya Rasulullah!


Susunan: Dr Azman Ibrahim,

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu, terlalu berat kepadanya apa yang ditanggung oleh kamu dan terlalu kasih sayangnya terhadap orang-orang yang beriman.” (at taubah: 128)

Ya Rasulullah… Engkau telah melalui segalanya demi kasihmu kepada kami ummatmu. Difitnah, dicaci, dimaki, dituduh sebagai orang gila, ahli nujum, dipulaukan kaum keluargamu sehingga engkau terpaksa mengikat batu di perut, dipulau sehingga terpaksa makan daun-daun kayu dan belulang kering, diseksa, disakiti dirimu dan para sahabatmu, dihalau dari Bumi Mekah tanah tumpah darahmu, diperangi, dibunuh syahid para sahabatmu… semuanya telah engkau lalui, demi untuk menyelamatkan ummatmu.

Ketika dihujani lontaran batu dan maki hamun penduduk Taif yang musyrik, Nabi hanya mengadu kepada Allah…Ya Allah, Ya Tuhanku… aku mengadu kepadamu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, betapa hinanya aku di kalangan manusia, Ya Allah, Tuhan yang paling penyayang di kalangan semua yang penyayang. Engkaulah tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas…

Ketika datang Malaikat yang menjaga bukit berkata kepada Nabi, Ya Muhammad! Aku menunggu perintahmu sahaja, kalau kamu mahu, aku dapat timpakan ke atas penduduk Taif itu, bukit-bukit besar yang mengelilingi Mekah.”

Rasulullah menjawab…“Jangan! Aku berharap Allah akan melahirkan dari dalam sulbi mereka orang-orang yang menyembah Allah azzawajalla dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu yang lain.”

Allah… kasihnya Nabi kepada kita ummatnya sehingga Nabi selalu mengulangi doa…

Betapa besarnya jiwa Rasulullah. Harapan untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan tidak boleh dipadamkan dengan lontaran batu dan darah yang membasahi sepatunya. Pandangan Rasulullah sangat jauh, walaupun telah tiba bantuan tentera Allah dari 7 petala langit, tetapi kesabaran Rasulullah mengatasi kemarahannya.

Nabi pernah bersabda, “Aku pernah ditakutkan dengan pelbagai ancaman oleh kaum musyrikin kerana menyampaikan agama Allah, tidak ada seorang pun yang pernah ditakutkan sepertiku, aku juga pernah disakiti kerana Allah dan tidak ada seorang pun yang pernah disakiti seperti aku. Aku dan Bilal pernah tidak memiliki makanan yang layak dimakan oleh manusia, selama 30 hari 30 malam berturut-turut. Apa yang ada hanyalah sedikit makanan yang disimpan oleh Bilal di bawah lengannya.

Seorang sahabat, Naufal bin Iyas menceritakan, Abdul Rahman bin Auf merupakan sahabat kami dan beliau adalah sebaik-baik sahabat. Pada suatu hari, kami singgah di rumahnya. Beliau menghidangkan roti dan daging dalam dulang besar kepada kami. Ketika menghidangkan makanan, Abdul Rahman menangis. Aku bertanya, Wahai Abdul Rahman! Apa yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab, “aku teringatkan Rasulullah, sehingga baginda wafat, baginda dan keluarga tidak pernah kenyang memakan roti dan daging selama 2 hari berturut-turut.”

Ini hanyalah sekelumit gambaran seorang Rasul Allah, yang sehingga akhir nafasnya masih menyebut, ummati…ummati…

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda mafhumnya, Allah akan menghimpunkan sekalian manusia pada hari qiamat di Padang Mahsyar, dengan sebab dahsyatnya keadaan, mereka diilhamkan jalan untuk melepaskan diri. “Bukankah elok kalau kita mencari orang yang dapat mengemukakan syafaat kepada Tuhan kita supaya Tuhan melepaskan kita dari penderitaan tempat ini?”

Mereka pun pergi menemui Nabi Adam a.s., Engkau ialah bapa sekalian manusia, Allah telah menciptakanmu dengan kekuasaanNya dan meniupkan padamu dan roh-Nya, serta ia memerintahkan Malaikat sujud kepadamu; tolonglah kemukakan syafaat kepada Tuhamu untuk kami supaya ia melepaskan kami dari penderitaan tempat ini”. Nabi Adam berkata, “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu, serta Adam a.s menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah, “Pergilah kamu menemui Nabi Noh, Rasul yang pertama yang telah diutus oleh Allah Taala’.”

Manusia pun pergilah menemui Nabi Noh a.s., Nabi Noh menjawab dengan katanya: “Aku bukanlah orang yang layak untuk itu”, sambil menyebut salah-silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu aku merasa malu kepada Allah: Tetapi, kata Nabi Noh, “Pergilah kamu menemui Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa a.s memberikan jawapan yang sama.

Sehinggalah Nabi  bersabda: Setelah itu mereka datang menemuiku, aku pun berkata: “Akulah orang yang layak untuk itu, akulah orang yang layak untuk itu” aku memohon izin mengadap Tuhanku, Lalu diizinkan daku mengadapnya, maka aku pun berdiri mengadapnya serta memujinya dengan puji-pujian kemudian aku menumuskan muka sujud kepada Allah hingga aku diseru: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu dan berkatalah apa sahaja nescaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu. Maka aku pun merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Kasihanilah umatku! Kasihanilah umatku!

Inikah dia Muhammad yang digambarkan dalam filem jijik Innocence of Muslim sebagai kaki perempuan , kasanova, penipu dan pembawa agama kebencian? Sungguh jahat permusuhan Yahudi dan Nasara terhadap kita.

Kita menyeru kepada seluruh ummat Islam untuk memperbanyakkan munajat memohon pertolongan dan perlindungan Allah dalam menghadapi fitnah berterusan yang sedang melanda ummat dari musuh-musuh Islam yang tidak pernah mengenal penat dan lelah. Filem jijik yang menghina Rasulullah adalah retetan dari siri terjemahan kebencian yang amat sangat dunia yahudi dan nasara kepada ummat Islam, sehingga mengambarkan Muhammad s.a.w dengan gambaran yang begitu keji dan hina.

Dunia barat Amerika kononnya bertamaddun dan menjunjung tinggi prinsip kebebasan. Atas nama kebebasan, terhalallah segalanya walaupun melampaui norma, adab dan etika manusia. Apakah kebebasan bersuara bermakna bebas untuk menghina? Apakah kebebasan berkarya bermakna bebas untuk memfitnah dan menghasut? Apakah atas nama kebebasan maka kita bebas melakukan segalanya sehingga menimbulkan porak-poranda dan menghancurkan keharmonian.

Di Perancis, akhbar-akhbar di sana mengambarkan Islam adalah agama yang tiada toleransi bahkan menentang kebebasan bersuara dan berkarya, lantaran siri demonstrasi besar-besaran diseluruh dunia, membantah penerbitan filem ‘Innocence of Muslim’.

Wahai dunia barat yang bertamaddun! Dengar baik-baik! Islamlah agama yang telah membebaskan manusia dari pengabdian diri antara sesama manusia kepada pengabdian Allah semata-mata. Islam telah meletakkan asas jelas mengenai prinsip kebebasan samada kebebasan kepercayaan, kebebasan berfikir, kebebasan berhujah dan mengkritik, termasuklah kebebasan bersuara. Tetapi… kebebasan itu tidak mutlak kerana kesempurnaan manusia tidak bersifat mutlak. Tidak sempurnanya sifat manusia menyebabkan Islam membataskan kebebasan kepada lingkungan agama dan syariat.

Antara batasannya, Islam melarang keras pencabulan hak dan kehormatan orang lain. Islam melarang keras fitnah dan menghina bukan sekadar sesama Islam, tetapi…termasuklah terhadap agama lain. Sarang tebuan jangan diusik. Kelak padah akan menimpa.

Kecintaan kita kepada Rasulullah adalah ikatan kerana cinta kita kepada Allah. Menghina insan yang bernama Muhammad s.a.w, bermakna menghina Nabi kami, Nabi yang telah menyampaikan syariat agama kami, bermakna kamu menghina agama yang dianuti oleh lebih satu billion manusia di seluruh dunia. Bila ummat Islam bangkit, kebodohan dunia barat terserlah apabila kita pula yang dituduh tiada toleransi dan menentang prinsip kebebasan. Orang gila selalunya menuduh org lain sebagai gila!

Kita mesti bangkit, menyahut hadis Rasulullah… “Akan sentiasa ada dari kalangan ummatku, suatu pasukan yang berdiri di atas kebenaran, tidak akan memudharatkan mereka sesiapa yang menentang dan membelakangi mereka, sehingga berlakunya kiamat.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: