Hidayah Khalid Al-Walid


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

BAGAIMANA daripada seorang yang begitu kuat menentang Islam dan sebagai panglima tentera kaum Kafir Quraisy, Khalid Al-Walid akhirnya terbuka hatinya untuk menerima cahaya dan kebenaran Islam?

Kisah bermula sejak berlakunya Perang Uhud, perang kedua dalam sejarah Islam bagi memerangi kafir Quraisy yang tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka di Perang Badar.

Dari lereng Bukit Uhud, kelihatan Khalid berdiri megah sambil mendabik dada dengan angkuhnya atas kejayaannya memporak-perandakan pertahanan tentera Islam dalam Perang Uhud itu.

Saat itu tentera-tentera Islam hampir-hampir mencapai kemenangan dalam peperangan itu tetapi akibat tamakkan kepada harta-harta perang yang ditinggalkan musuh menyebabkan mereka meninggalkan barisan pertahanan masing-masing yang menyebabkan Khalid mengambil kesempatan menyerang mereka dari arah belakang.

Lalu dengan suara yang nyaring dan lantang ditujukan kepada Nabi Muhammad dan para anggota tentera Islam yang lain, Khalid berkata: “Wahai Muhammad, kami akhirnya berjaya juga mengalahkan kamu dalam peperangan ini. Lihatlah apa yang terjadi kepada bapa saudara kamu, Hamzah bin Abdul Mutalib, yang bukan sahaja tewas malah tubuhnya hancur dicincang dan lihatlah juga pasukan tentera kamu yang porak-peranda dan tidak lagi mampu bangun untuk melawan kami!”

Lalu baginda pun membalas dengan suara lantang yang dapat didengar dengan jelas oleh Khalid: “Sebenarnya, kamu yang kalah wahai Khalid, kami tetap di pihak yang benar! Mereka yang gugur di kalangan kami sebenarnya syahid. Mereka tidak mati wahai Khalid, mereka tetap hidup di sisi Allah dengan penuh kemuliaan dan kenikmatan.

“Mereka hanya berpindah dari alam dunia ke alam akhirat dan menuju ke syurga Allah, sebagai balasan membela agama Allah sehingga gugur syahid.

“Tetapi mati kamu kelak dan begitu juga anggota tentera kamu yang lain, mati dalam keadaan kafir dan kamu semua akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam, tiada sebarang kenikmatan kecuali seksaan daripada api neraka yang pedih,” tegas Rasulullah.

Kata-kata Rasulullah itu telah membuatkan Khalid terdiam dan mengarahkan pasukan tenteranya pulang ke Mekah.

Namun sejak itu, kata-kata baginda itu terngiang-ngiang di telinga Khalid yang menyebabkan Khalid sering duduk termenung memikirkannya.

Dalam pada itu, Khalid juga mengutuskan seorang perisik ke Madinah bagi memantau dan melaporkan kepadanya akan aktiviti-aktiviti Rasulullah dan para pengikut baginda di sana.

Sehinggalah perisik itu kembali semula kepada Khalid dan melaporkan sebagaimana yang dilihat dan didengar sepanjang berada di situ.

Tergamam

Perisik Khalid melaporkan sebagaimana kata-kata Rasulullah di hadapan para sahabat dan pengikut baginda: “Aku berasa sangat hairan akan panglima kafir Quraisy Khalid bin Al-Walid, beliau seorang yang sangat gagah perkasa dan mempunyai fikiran yang sangat cerdas tetapi kenapa dia tidak memahami juga akan agama Allah yang aku bawa. Sekiranya dia tahu dan memahami agama yang aku bawa ini, pasti dia akan berjuang bersamaku. Jika dia menggabungkan dirinya dengan kaum Muslimin dalam peperangan melawan orang kafir pastinya beliau layak untuk memimpin pasukan tentera Islam.”

Khalid tergamam mendengarkan laporan yang dibawa oleh perisiknya itu. Beliau sama sekali tidak menyangka terhadap kepercayaan seorang pemimpin besar seperti Rasulullah ke atasnya, sedangkan beliau telah melakukan pelbagai kejahatan dan kekejaman sebelum ini.

Khalid kemudiannya mengambil keputusan untuk menemui sendiri Rasulullah dengan niat yang beliau sendiri kurang pasti, tetapi yang jelas hatinya mula tertarik terhadap Islam.

Khalid berangkat seorang diri dengan menunggang kuda kesayangannya dalam pakaian baju kebesarannya yang berhias kancing emas serta serban yang berhias mahkota bertakhta berlian bagi menutup wajahnya demi tujuan penyamaran.

Dalam perjalanannya menuju ke Madinah itu, Khalid akhirnya terserempak dengan seorang sahabat, Bilal bin Rabah yang sedang berdakwah kepada sekumpulan petani.

Ketika itu Bilal sedang membacakan ayat daripada surah al-Hujurat yang bermaksud; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Khalid sangat terkejut mendengarkan ayat yang dibaca oleh Bilal itu. Beliau tidak sangka daripada seorang yang buta huruf, seorang hamba sahaya, kini Bilal mampu membacakan satu ayat yang sangat indah pada pendengarannya dan mengandungi 1001 makna yang cukup menggetarkan hatinya. Pun begitu, jauh disudut hatinya, beliau yakin bahawa ayat-ayat itu adalah Firman Allah, tuhan yang wajib di sembah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: