Hormati kesucian 1 Syawal


Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar IRWAN MAJID

Abu hasan Din Al-Hafiz menunjukkan potrait adik-beradik beliau yang dirakamkan pada sambutan hari raya tahun lalu.

KEDATANGAN 1 Syawal seringkali dinantikan dengan pelbagai persepsi. Di Malaysia, keghairahan menyambutnya telah bermula pada hari pertama Ramadan lagi. Malah dari hari ke sehari, umat Islam seolah-oleh tidak sabar-sabar menunggu kehadiran Hari Raya Aidilfitri, lebih-lebih lagi di hujung-hujung bulan Ramadan.

Warga Islam dari semua golongan di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Golongan dewasa sibuk memastikan sambutan raya kali ini adalah yang paling meriah berbanding tahun sebelumnya. Golongan remaja pula sibuk memastikan hari raya nanti terisi dengan aktiviti-aktiviti bersama teman-teman. Manakala, anak-anak kecil asyik menagih pakaian dan kasut baru serta memikirkan agenda mengutip duit raya terbanyak.

Daripada senario yang berlaku pada setiap kali hari raya Aidilfitri di Malaysia, ia menunjukkan bahawa masyarakat Islam kita begitu meraikannya dalam suasana yang penuh kegembiraan.

Namun, apa yang menjadi persoalannya adakah kegembiraan meraikan hari kemenangan itu disambut sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam.

Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz menjelaskan, pada zaman Rasulullah SAW di Mekah, pada masa itu mungkin umat Islam belum ada hari raya kerana belum ada lagi kewajipan berpuasa atau mengeluarkan zakat.

“Mengikut riwayat pada tahun yang kedua selepas hijrah Nabi ke Madinah iaitu pada bulan Syaaban, baru turun ayat yang diwajibkan puasa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

“Jadi apabila diwajibkan berpuasa itu ia adalah tempoh sebulan sebelum Ramadan dan kebetulan pada masa itu, orang Islam masih terikut dengan cara orang Yahudi di Madinah berhari raya. Pada masa itu, termasuk di Mekah sendiri telah ada sambutan hari raya di kalangan masyarakat Yahudi iaitu yang dikenali dengan nama Nairus dan Mahrajan.

“Jadi cara mereka menyambutnya lebih menjurus kepada kemaksiatan seperti, minum arak, berjudi, berzina atau lebih tepat seperti sebuah pesta maksiat.

“Kemudian, apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, perayaan sebegini masih lagi diraikan. Ini menambah kesedihan Nabi SAW kerana umat Islam turut sama meraikannya,” kata Abu Hasan yang ditemui di rumahnya, petang Ahad lalu.

Lantas tambah Abu Hasan, apabila sahaja disyariatkan berpuasa maka dalam bulan puasa itulah Nabi bertanya kepada umat Islam ketika itu: “Hendakkah kamu kalau aku tukarkan dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri?”

Maka dari situ, barulah bermulanya syariat dalam Islam tentang hari raya. Malah cara perayaan hari raya umat Islam itu jauh berbeza dengan sambutan Yahudi.

Nabi tegaskan dengan kata-katanya: “Hiasilah raya kamu dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.”

Dalam konteks ini, ia jelas menunjukkan seolah-olah hari raya ini dikaitkan dengan soal ibadah iaitu mengadap Allah SWT, mengingat Allah SWT dan mengagungkan Allah SWT.

“Sebab itulah diutamakan mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Umat Islam turut digalakkan untuk menziarah pusara, melawat sanak-saudara dan saling bermohon kemaafan.

“Sayangnya apa yang berlaku hari ini, menerusi pemerhatian saya, orang kita terlalu berlebihan terutamanya dalam soal makan. Biarpun ia tidak salah tetapi janganlah hingga sampai kepada riak dan pembaziran,” tegas Abu Hasan.

Kebimbangan beliau disuarakan dengan melihatkan cara hari raya diraikan hari ini iaitu terlalu ke arah hiburan semata-mata dan ini terang-terangan telah menyalahi ruh Syawal itu sendiri.

“Dibimbangi akan kembali seperti bagaimana orang Yahudi menyambutnya iaitu menerusi dua perayaan mereka iaitu Nairus dan Mahrajan. Ia seolah-olahnya pada hari kemenangan tersebut kita seperti berpesta. Contohnya paling mudah apa yang dihidangkan oleh stesen televisyen, radio dan panggung wayang.

“Sepatutnya, saya mencadangkan pada 1 Syawal itu seharusnya isikan dengan slot-slot rancangan atau program dalam konteks agama, kalau boleh apa sahaja bentuk penerbitannya biarlah berunsur ibadat.

“Malah pada zaman baginda Rasulullah SAW juga Aidilfitri hanya disambut sehari sahaja tidak seperti di negara kita ini yang menyambutnya sebulan dengan alasan telah berpuasa sebulan,” ujarnya itulah kesilapan masyarakat Melayu Islam di sini.

Hari kemenangan

Menurut Abu Hasan lagi, Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya.

Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Mengulas definisi sebenar kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan dalam konteks ini, terang Abu Hasan bagi orang yang berpuasa, dia layak menerima dua kegembiraan iaitu, ketika menyambut hari raya dan kedua ketika balik mengadap tuhan.

“Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan.

“Jumhur ulama berkata bergembira menurut hadis di atas ini iaitu farhatun. Dari segi bahasa ialah farhah dan perkataan ini berbeza dengan hiburan atau dalam bahasa Arabnya, lahwun.

“Jadi menerusi hadis ini jelas perbezaan ketara antara perkataan farhah dan lahwun. Oleh sebab itu, pada hari raya kita bukannya ke arah hiburan tetapi lebih tepat ialah bergembira,” kata Abu Hasan.

Jelas beliau lagi, Allah SWT tidak mahu umat Islam pada saat itu bersedih, maka itu kita digalakkan bersedekah terutamanya pada sepanjang Ramadan. Ini supaya semua insan tidak kira, kaya atau miskin akan dapat meraikan Syawal mengikut kemampuan masing-masing.

Pesan Abu Hasan, umat Islam perlu memahami, sekali gus dapat membezakan antara dua istilah ini dengan sebenar-benarnya.

“Harapan saya agar semua pihak dapatlah menghormati satu hari ini sahaja iaitu pada 1 Syawal dengan benar-benar memeriahkannya secara Islamik,” katanya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: