Musibah bawa kita dekat pada Pencipta


Oleh Siti Farhanah Dzuki,

Dewasa kini, masyarakat dikejutkan oleh media massa dengan berita-berita tentang kejadian bencana alam yang sangat menakutkan dan menyedihkan seperti gempa bumi, banjir besar, taufan, tsunami, tanah runtuh dan banyak lagi. Bencana yang berlaku telah mengorbankan banyak nyawa tanpa mengira identiti mereka.

Ia memberi impak yang sangat besar sama ada kepada individu seperti kejadian tanah runtuh yang berlaku pada tahun 2011 di Rumah Anak Yatim At-Takwa, Hulu Langat atau atau kepada sesebuah negara seperti tsunami besar yang berlaku di Jepun. Kedua-duanya meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada ahli keluarga ataupun pada pembangunan ekonomi negara.

Para kaji cuaca berusaha gigih bagi membantu mengkaji dan menyelidik tentang kemungkinan beberapa bencana alam yang dapat dikenalpasti bakal berlaku agar persiapan awal berpindah ke tempat yang lebih selamat dapat dilakukan. Ini dapat mengurangkan risikonya kehilangan banyak nyawa walaupun dari segi harta benda secara jelas tidak dapat diselamatkan.

Namun, sedarkah kita bahawa hakikat sebenarnya bencana alam yang berlaku di dunia ini adalah berpunca dari diri manusia itu sendiri. Kerosakan di atas muka bumi ini dilakukan sewenang-wenangnya tanpa berfikir akan kesan yang bakal diterima dari aktiviti yang  mereka lakukan.

Firman Allah dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.”

Sebagai contoh, sampah sarap yang di buang merata-rata akan menyebabkan banjir kerana sampah tersebut telah tersekat di kawasan aliran air dan air hujan yang turun tidak dapat dialirkan ke sungai-sungai berdekatan.  Pokok dan tumbuhan hijau yang ditebang secara haram telah menyebabkan hakisan tanah atau tanah runtuh.

Seperti yang kita sedia maklum, dunia dan juga seisinya merupakan nikmat dari Allah  yang disediakan kepada hambanya untuk hidup menjadi khalifah Allah di bumi. Selaku hamba yang serba kekurangan dan kelemahan, kita hendaklah menghargai setiap nikmat yang telah diberikan kepada kita sebaik mungkin sebagai satu tanda penghargaan atas pemberian tersebut.

Jika sebelum ini punca kepada berlakunya bencana adalah bermula dari manusia, maka kesannya juga akan terpalit kepada manusia itu kembali. Kesan yang diterima dapat dikategorikan kepada dua iaitu kesan dari sudut positif dan kesan dari sudut negatif.

Bencana alam yang diturunkan jika dipandang dari sudut positif sebenarnya memberi peluang untuk kita semakin mendekatkan diri kepada Allah. Kembali bermuhasabah atas kerosakan yang pernah dilakukan di atas muka bumi ini sama ada secara sedar atau tidak.

Kita memohon perlindungan Allah agar dijauhkan lagi apa jua bencana dari terus berlaku kerana ia membawa kepada kemusnahan yang teruk. Pengharapan yang tinggi diletakkan pada Allah agar menghindari diri serta ahli keluarga dari menjadi mangsa kepada bencana alam dan secara tidak langsung, kita sebenarnya telah menghampirkan diri kita sejengkal pada Allah.

Jika bencana alam dilihat dari sudut negatif, ia merupakan hasil dari kerja tangan manusia dalam mengubah sesuatu yang telah Allah ciptakan mengikut aturannya tersendiri. Manusia hanya mampu merancang untuk mengubah namun perancangan yang tidak jelas dan tidak terperinci akan bertukar menjadi musibah.

Musibah yang berlaku bakal merosakkan keharmonian negara yang telah terbina di dalam satu kelompok yang besar. Membina keharmonian tidak hanya tergalas di bahu pemimpin negara tetapi juga merupakan tanggungjawab rakyat dalam merealisasikannya agar kebahagian dapat dikecapi dan dirasai bersama.

Sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perseteruan”.

Jelaslah di sini bahawa memelihara keharmonian negara dengan menghindari bencana menjadi tanggungjawab semua kerana ia menjurus kepada kebaikan yang bakal dikongsikan bersama.

Maka, dapatlah disimpulkan di sini bahawa bencana alam yang berlaku tidak pernah menjadi impian pada mana-mana individu. Namun, sesekali ia ‘menjengah’ mampu membawa kita untuk kembali lebih dekat dengan Pencipta yakni Allah s.w.t. Muhasabah diri dan pengampunan yang dituntut menunjukkan bahawa kita adalah hamba yang lemah, yang terkadang melakukan kesilapan tanpa sedar.

Semoga kita tergolong dalam hamba Allah yang sentiasa terbimbing akidah walaupun diuji dengan dugaan yang berat seperti bencana alam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: