Mengambil semangat perang Badar


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

MENYEDARI mereka berhadapan dengan satu gerombolan tentera musuh yang memiliki segala kelebihan, sama ada dari segi jumlah tentera dan kekuatan, lalu tentera Islam mengadakan satu mesyuarat.

Ada yang berpendapat adalah lebih baik, mereka tidak menyerang musuh terlebih dahulu kecuali memberitahu Madinah, terutamanya kepada Nabi Muhammad mengenai kekuatan angkatan perang yang begitu besar yang dimiliki pihak musuh.

Kemudian mereka akan menunggu arahan baginda sebelum bertindak.

Setelah dua hari berbincang akhirnya ramai yang setuju dengan cadangan menghantar laporan kepada baginda terlebih dahulu. Namun masuk hari ketiga, salah seorang pahlawan Islam, iaitu Abdullah bin Rawahah bangun dan berucap di hadapan para tentera.

“Wahai tentera Islam, mengapa kamu semua memilih Islam? Tidakkah kerana Islam, kamu semua ingin menjadi penghuni syurga. Sekarang jalan ke syurga sudah terbentang luas di hadapan kamu. Bukankah kamu mahu syahid? Syahid sudah menunggu di hadapan mata kamu. Jika begitu, mengapa kita harus lari? Apa ditunggu-tunggu lagi?

“Kita berperang memerangi musuh bukan kerana adanya alat-alat (perang) yang lengkap, bukan dengan kekuatan yang besar, melainkan dengan agama ini, yang Allah telah memuliakan kita dengannya.

“Kerana itu, marilah berangkat, maju terus untuk merebut salah satu daripada kebaikan; sama ada kita menang atau kita mati syahid,” seru Abdullah.

Ucapan Abdullah yang begitu berkobar-kobar itu menyebabkan mereka yang lain turut bersemangat.

Mereka tidak lagi mengharapkan bantuan dari Madinah kerana sedar dengan mengambil contoh kejayaan tentera Islam semasa Perang Badar, keadaan yang ada sekarang tiada bezanya.

Mereka yakin jumlah yang kecil tidak bermakna akan kalah tetapi kesemuanya adalah dengan ketentuan dan bantuan daripada Allah jua, lalu mereka yakin kejayaan di Badar boleh diulangi di Muktah.

Lalu angkatan tentera Islam terus berjalan menuju ke perbatasan Kota Balqa. Sebaik sahaja berhenti di sebuah kampung bernama Masyarif, mereka dapat melihat akan barisan tentera pihak musuh yang sangat besar itu.

Namun, apa yang mereka lihat itu sebenarnya hanya sebahagian kecil sahaja daripada tentera musuh. Apabila tiba di Muktah, mereka dihidangkan dengan satu pemandangan luar. Mereka dapat melihat hampir keseluruhan dan betapa hebatnya tentera musuh.

Pada waktu itu, barulah terasa betapa ‘kecilnya’ tentera Islam dan tentunya boleh dikalah dan dihancurkan dengan sekelip mata sahaja.

Namun berat mana pun ujian yang perlu dihadapi, tetapi semangat pemimpin tentera Islam tetap berada pada tahap yang tinggi.

Mereka tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat supaya tidak lari dari medan malah sama-sama mara ke hadapan.

Tsabit bin Arqam dengan lantang berkata: “Aku adalah antara tentera Islam yang menyertai Perang Badar. Allah memberikan kemenangan kepada kami walaupun jumlah tentera Islam sangat sedikit seperti yang ada pada hari ini.

“Kemenangan bukan kerana bilangan (tentera) tetapi harapkanlah segala bantuan daripada Allah, kita pasti menang, berjuang kerana Allah, demi agama-Nya yang benar ini!”

Kata-kata Tsabit itu berjaya mengembalikan semangat pasukan Islam.

Mereka yakin akan kebesaran dan kekuasaan Allah yang pasti akan menolong mereka dengan mencukupkan segala kekurangan yang ada.

Mereka yakin, jika tidak menang sekali pun, maka akan mati syahid yang mana ia adalah lebih baik.

Selaku Ketua Panglima Perang, Zaid bin Harithah membahagikan tentera Islam kepada lima batalion.

Masing-masing ialah pasukan barisan hadapan, pasukan barisan tengah, pasukan barisan belakang, pasukan barisan pertahanan kiri dan satu lagi, pasukan barisan pertahanan kanan.

Masing-masing dengan strategi bagi menjaga barisan mereka supaya tidak ditembusi oleh pihak musuh.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: