Dahulu benci kini cintai Islam


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Pusat Kebudayaan Islam New York yang tidak pernah sepi daripada kunjungan orang ramai dan telah menyimpan pelbagai kisah pengislaman.

Ikhwan Muslimin

RABU, 10 Februari 2010, kota New York dilanda salji tebal. Sejak tengah malam, salji turun tanpa henti-henti membuatkan jalan raya menjadi licin dan sepi.

Kebanyakan warga kota metropolitan itu memilih duduk di rumah sahaja. Pelbagai institusi ditutup sementara, termasuk sekolah-sekolah.

Begitu juga dengan Imam Masjid Pusat Kebudayaan Islam New York, Mohamed Shamsi Ali yang cukup malas untuk meninggalkan rumah pagi itu. Tetapi beliau tetap menguatkan langkah menuju pejabat Pusat Kebudayaan Islam New York untuk mengimamkan solat Zuhur dan seterusnya, Asar.

Lazimnya, ketika musim sejuk para jemaah meminta untuk menjamakkan solat sebagai satu rukhsah.

Setibanya di pusat itu, beliau segera menuju ke ruang solat, selain memastikan alat pemanas berfungsi dan mendirikan solat sunat.

Tiba-tiba, beliau diberitahu ada tetamu ingin bertemu.

Selesai solat sunat tahiyatul masjid Mohamed Shamsi segera menuju ke pejabat.

Menunggu beliau di sana ialah seorang pemuda yang mengaku telah banyak membaca, belajar dan mengamati mengenai agama.

Namun, apa yang mengejutkan ialah pemuda itu menyuarakan kemarahan dan kebenciannya terhadap agama Islam.

“Saya merasa agama ini dan para pengikutnya telah menyerbu (menyerang) negara saya (Amerika Syarikat),” kata pemuda itu serius.

“Jadi, apa yang terjadi?” Mohamed Shamsi memancing soalan bagi menyambung ceritanya.

Pemuda ini berkongsi pengalamannya sewaktu membeli makanan halal di pinggir jalan di Manhattan.

Majoriti mereka yang menjual makanan di pinggir-pinggir jalan di kota New York terdiri daripada kalangan Muslim.

Lalu menurut pemuda itu, papan tanda penjual makanan itu tertulis, Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah-Muhammad Pesuruh Allah – dalam bahasa Arab.

Oleh kerana telah wujud kebencian yang amat sangat terhadap Islam, membuatkan pemuda itu tidak dapat menahan diri, lantas mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada penjual makanan itu.

Tetapi pemuda itu terkejut apabila si penjual itu tidak menjawab dan hanya tersenyum.

“Terima kasih saudara kerana sudi datang,” kata si penjual.

Natijahnya, sikap ramah si penjual makanan itu begitu terkesan ke atas pemuda berkenaan malah suara penjual itu sering terngiang-ngiang, sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Lebih parah lagi, ia telah menimbulkan rasa bersalah pemuda itu. Namun kerana ego, pemuda itu tidak datang semula kepada si penjual tersebut untuk memohon maaf.

“Semua itu kerana kebencian saya terhadap Islam, itu benar-benar membuatkan saya marah kepada diri sendiri. Namun di saat yang sama, saya semakin ingin tahu mengenai Islam,” katanya.

Begitulah detik awal atau titik perubahan yang membawa pemuda bernama Peter Scott kepada Islam.

Langkah awal yang dilakukan oleh Scott ialah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang Islam menerusi Internet.

Selain, itu dia mendengar beberapa ceramah di Youtube (terutama ceramah daripada Sheikh Hamzah Yusuf).

Kemudian Scott membeli beberapa buku karangan penulis bukan Islam, termasuk Sejarah Rasulullah oleh Karen Amstrong dan Syari’ah oleh John Esposito dan lain-lain lagi.

Dialog antara Mohamed Shamsi dan Scott bersambung dengan pemuda itu berkata: “Semakin saya pelajari, semakin saya merasa curiga dan bingung.”

“Tetapi pernahkah anda terfikir sebelumnya, mengapa boleh terjadi semua ini?” soal Mohamed Shamsi.

“Saya tidak tahu, tetapi mungkin juga faktor media,” kata Scott.

Yang jelas, setiap kali Scott melihat kejadian pengeboman, pembunuhan, kemusnahan, bahkan aksi filem, ada sahaja Muslim yang dikaitkan sebagai punca.

“Saya benar-benar tidak tahu dan bingung, apa yang sedang dipraktikkan oleh orang Islam ini,” kata Scott.

Scott juga juga berbicara mengenai ‘jurang besar’ antara ilmu mengenai Islam yang dia fahami dan pelbagai tingkah laku yang dilihat daripada beberapa Muslim selama ini.

Di satu sisi, Scott kagum dengan sikap penjual makanan tadi. Tapi di sisi lain, dia marah dengan sikap beberapa orang Islam yang melakukan apa yang disebutnya sebagai ‘kejahatan atas nama Islam.’

“Jika demikian, saya di pihak mana? Andai suatu hari nanti saya akan menjadi seorang Muslim? Islam yang mana harus saya ikuti?” tanya Peter.

Setelah selesai, Mohamed Shamsi mengambil alih bicara dengan berkata kepada Scott: “Kemarahan anda dapat saya fahami.”

Lalu Mohamed Shamsi mengajaknya berdiskusi dalam pelbagai hal. Mulai dari sejarah peperangan, keganasan, pembunuhan, kemusnahan massa, dari dulu hingga sekarang dan bagaimana Islam telah memainkan peranan besar dalam membangunkan peradaban manusia sejak dahulu lagi.

“Dari awal Nabi Muhammad mengajarkan agama ini pada abad ke-7 di Tanah Arab, hingga hari ini, berapa banyak perang dan pembunuhan yang telah melibatkan Muslim sebagai puncanya?” pancing Mohamed Shamsi.

Scott hanya menggelengkan kepala dengan contoh-contoh yang berikan Mohamed Shamsi iaitu dari era Hitler, Stalin, Perang Dunia I dan II, Hiroshima dan Nagasaki dan pelbagai perang lagi, berapa ramai rakyat tidak berdosa yang terbunuh dan siapa yang melakukan?

Peperangan di Iraq misalnya, atas nama memerangi keganasan tetapi berapa ramai yang terbunuh ketika jet-jet Amerika menjatuhkan bom-bom di perkampungan-perkampungan awam yang menyebabkan ramai penduduk awam yang tidak berdosa terkorban.

Soal Mohamed Shamsi lagi, pernahkah dilakukan satu kajian terperinci, untuk mengetahui apakah benar bahawa pengeboman, pembunuhan, kemusnahan yang dilakukan oleh beberapa Muslim selama ini, walau atas nama Islam, memang dibenarkan oleh Islam?

Dan benarkah bahawa memang motifnya kerana memperjuangkan Islam dan Muslim, atau kerana memang Islam dan Muslim itu adalah jambatan untuk menuju kepada tujuan atau matlamat tertentu?

Bicara mereka terhenti seketika apabila azan berkumandang. Seusai azan, Mohamed Shamsi membicarakan pula akan pelbagai soal ketidakadilan yang terjadi di dunia.

Tetapi oleh kerana waktu agak singkat, beluiau bertanya pendapat pemuda itu setakat itu.

Pemuda itu diam kemudian mengukirkan senyuman.

“Tuan, anda benar. Saya sudah tidak berlaku adil kepada diri saya sendiri. Kesimpulan dan tanggapan saya terhadap Islam dan perilaku sebahagian kaum Muslim benar-benar tidak adil,” akui Scott.

Bicara dua insan itu tamat apabila Mohamed Shamsi berpuas hati dengan jawapan Scott itu.

Tiba-tiba, Scott terus bertanya bagaimana untuk dia menjadi seorang Muslim?

Mohamed Shamsi terus membawa pemuda itu ke ruang wuduk, mengajarnya bagaimana untuk berwuduk, kemudian mereka ke dewan solat.

Sambil menunggu panggilan iqamat, Mohamed Shamsi berbisik ke telinga Scott: “Apa yang akan saya lakukan kepada anda adalah membawa anda untuk menyatakan iman anda yang baru dengan apa yang kita sebut syahadat dan untuk bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah dan Muhammad itu adalah Rasul-Nya.”

Sebelum iqamah dimulai Scott diajak ke hadapan para jemaah dan membantunya mengucapkan dua kalimah syahadah. Ia disambut gema takbir oleh kira-kira 200 jemaah ketika itu.

“Scott, anda kini adalah seorang Muslim seperti orang lain di sini hari ini. Tidak ada kekurangan pada anda. Anda sebenarnya lebih baik daripada kami kerana dipilih untuk menjadi (seorang Islam), bukan hanya dilahirkan ke dalamnya dan mengikutinya,” jelas Mohamed Shamsi sambil meminta izin untuk mengetuai solat Zuhur berjemaah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: