Oki Setiana Dewi Tidak jemu mendalami ilmu agama


Oki Setiana Dewi

Oki Setiana Dewi

EMPAT tahun berlalu, watak wanita bernama Anna Althafunnisa dalam filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB), masih melekat di minda peminat filem itu.

Tidak hairan si pendukung watak Anna iaitu Oki Setiana Dewi, meraih kemasyhuran sekelip mata hanya menerusi filem pertama.

Sehingga kini masih ada peminat yang memanggilnya dengan panggilan Ana dan cuma sesekali nama asalnya terpacul dari mulut mereka. Pada kunjungan kali pertamanya ke Kuala Lumpur, wanita bertudung labuh itu tidak menafikan berasa janggal sehingga pernah melarikan diri tatkala peminat sibuk ingin merakam gambarnya.

Namun sedikit demi sedikit, graduan Universitas Indonesia itu mula terbiasa dengan gemerlapan dunia glamor.

Bagaimanapun tatkala berkunjung ke Makkah mengikuti pengajian al-Quran selama sebulan dari awal Februari hingga Mac lalu, wanita kelahiran Batam berusia 23 tahun itu mengakui terpaksa mengenakan purdah bagi mengelakkan daripada diganggu peminatnya.

Walaupun masih muda, semangat wanita bernama Oki di dalam memperbaikilagi dirinya cukup memberikan inspirasi. Jika tidak masakan dia sanggup ke Makkah semata-mata untuk mendalami ilmu agama.

Malangnya kata Oki, dia tidak punya mahram yang dapat menemaninya ke sana. Jika tidak pasti dia mahu meneruskan lagi pengajiannya sekalipun tidak mampu menguasai bahasa Arab.
Sebagai pendidik, penulis buku dan pelajar, minat Oki terhadap dunia lakonan masih belum padam. Katanya, dia masih minat berlakon tetapi mengakui agak selektif kerana hanya menerima tawaran daripada filem mahupun drama yang mempunyai unsur mendidik.

Selepas KCB memang ada tawaran, tetapi terpaksa tolak kerana saya merancang melanjutkan pengajian di Makkah. Saya lebih selesa menumpukan perhatian terhadap pengajian, malah berhasrat menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang psikologi.

Selama berada di sini (Kuala Lumpur) terlintas di fikiran untuk menyambung pengajian di Malaysia, tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana kerja saya menanti di sana, katanya yang mengakui KCB turut memberi kesan besar dalam dirinya.

Setelah membintangi KCB, keinginan untuk belajar di Makkah kian membuak-buak. Bukan dirinya seorang kata Oki, malah pelakon lain dalam filem yang mencetuskan fenomena bukan saja di Indonesia tetapi juga di negara ini turut terkesan dengan filem itu.

Oki menyifatkan pembabitannya di dalam filem berkenaan bukan sebagai pelakon semata-mata tetapi juga satu proses pembelajaran untuk lebih memperbaiki diri.

Selepas membaca skripnya timbul kesedaran bahawa banyak yang kurang dalam diri saya. Banyak perkara baru yang saya pelajari selepas membintangi filem itu. Antaranya saya sendiri belum pernah berkahwin, tetapi menerusi filem itu, saya dapat menyelami perasaan seorang isteri apabila suaminya menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.

Selain itu apa yang cukup mengagumkan, di dalam sibuk menjalani penggambaran, krew produksi tidak lupa untuk bersolat. Sebaik azan berkumandang, mereka segera bersolat malah kami sempat menunaikan solat tarawih sepanjang 35 hari menjalani penggambaran di Kaherah, kongsi Oki.

Ketika wawancara bersama media Indonesia, Oki pernah memberitahu mahu berkahwin pada usia muda.

Malah tanpa selindung mengakui dia memang berhasrat mahu berkahwin secepat mungkin. Impiannya mahu mengakhiri zaman bujangnya tahun ini tetapi sehingga ke saat ini, masih belum ada jejaka yang datang bertanya.

Saya mahukan lelaki yang cerdas, mampu menjadi imam dan pembimbing untuk saya serta anak-anak. Siapa pun mereka saya tidak kisah, asalkan ibu bapa saya berkenaan.

Siapa saja yang menjadi pilihan ibu bapa saya, akan saya terima. Saya amat mementingkan restu dari ibu bapa, bagi saya perasaan cinta itu boleh dipupuk selepas berkahwin, kata Oki yang baru kembali dari pelancaran bukunya di Kelantan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: