Cabaran sengit Perang Muktah


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERANG Muktah, sebuah perang besar yang jika tidak ada dalam pengetahuan umat Islam hari ini maka itu adalah sesuatu yang sangat merugikan.

Tidak sahaja bermakna, mereka tidak sempurna penguasaan sirah Rasulullah SAW tetapi juga tidak dapat mengambil sebarang pengajaran daripada sejarah perang tersebut.

Sebuah perang yang melibatkan jumlah kecil di pihak Islam, iaitu hanya seramai 3,000 anggota tentera berbanding berpuluh-puluh kali ganda jumlahnya di pihak musuh, iaitu 200,000 orang.

Dengan jumlah yang sebegitu, apa logiknya lagi jika yang kecil dapat mengalahkan yang besar. Tentu sahaja tidak masuk akal, apatah lagi pihak musuh tersebut merupakan tentera Rom yang tidak dinafikan memiliki barisan tentera dan ketenteraan yang paling canggih, lengkap dan paling kuat ketika itu.

Perang Muktah berlangsung pada tahun 7 Hijrah atau pada tahun 629 M iaitu setahun sebelum berlangsungnya peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathul Mekah), sebuah perang besar yang kini turut melibatkan sebuah pengaruh asing dari sebuah empayar kerajaan yang sangat besar, iaitu Romawi.

Perang ini berlaku ekoran daripada peristiwa pada tahun ke 6 Hijrah apabila seorang sahabat, Al Harits bin Umair Al Azadi yang menjadi utusan bagi kerajaan Islam dibunuh dengan kejam iaitu dipenggal lehernya oleh Syurahbil bin Amr Al Ghassani, pembesar Kota Muktah, yang merupakan wakil kepada kepada Raja Heraklius dari Kerajaan Romawi.

Pada mulanya kehadiran Al Harits diterima baik oleh Syurahbil, diberikan layanan yang sewajarnya sehinggalah apabila mengetahui maksud kehadiran Al Harits, iaitu membawa surat perutusan dakwah daripada baginda Rasulullah menyebabkan Syurahbil tiba-tiba bertukar menjadi marah.

Surat itu dan kehadiran Al Harits dilihat seolah-olah baginda Rasulullah SAW berhasrat untuk meluaskan pengaruh dan bakal mengancam kedudukannya di situ, ini menyebabkan Syurahbil tanpa berfikir panjang terus membunuh wakil Rasulullah itu.

Al Harits ditangkap lalu diikat dan terus dibunuh dengan kejam namun peristiwa ini tidak diketahui oleh baginda sehinggalah satu siasatan yang mengambil masa agak lama untuk mengetahui kisah dan dalang di sebalik pembunuhan Al Harits itu.

Tidak sahaja akhirnya baginda mengetahui pembunuhan terhadap wakil baginda itu malah baginda juga mendapat tahu terdapat pelbagai kekacauan yang terjadi di daerah-daerah bahagian utara Kota Madinah itu bertujuan untuk menimbulkan huru-hara terhadap kedudukan Islam.

Lantas tidak sahaja untuk membela kematian Al Harits, baginda pun mengambil keputusan untuk menghantar bala tentera Islam ke daerah-daerah utara itu bagi menghentikan segala penentangan terhadap Islam.

Lalu seramai 3,000 anggota tentera Islam dikumpulkan di sebuah tempat bernama Jaraf, sebuah dusun yang jaraknya lima kilometer dari Madinah.

Anak angkat baginda, iaitu Zaid bin Harithah diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh baginda untuk mengetuai peperangan kali ini dan bertanggungjawab untuk membawa bendera putih, lambang kekuatan tentera Islam yang mesti dipertahankan.

“Jika Zaid tewas, hendaklah Jaafar bin Abi Talib segera dilantik menggantikan Zaid sebagai ketua perang dan jika Jaafar juga tewas maka hendaklah Abdullah bin Abi Rawahah pula dilantik menggantikan tempat Jaafar,” kata baginda di hadapan bala tentera Muslimin yang telah siap sedia untuk berjuang.

Di samping baginda menyampaikan pesan bahawa kedatangan tentera Islam ke Muktah bukan semata-mata untuk berperang tetapi hendaklah disampaikan dahulu risalah dakwah Islam terhadap para penduduk kota itu.

“Jika mereka menolak dengan kekerasan, barulah penduduk kota itu diperangi dan jika terjadilah peperangan yang tidak dapat dielakkan lagi maka hendaklah kamu memohon pertolongan daripada Allah untuk mengalahkan para musuh sehingga kamu mencapai kemenangan atau sanggup mati syahid kerana-NYA,” kata Rasulullah SAW.

Lalu baginda mengiringi para tentera Islam itu sehingga di Tsaniyyatul Wada, sebelum baginda melepaskan mereka untuk terus bergerak ke Muktah.

Di situ juga baginda menyampaikan khutbah perang: “Aku hendak berpesan kepada kamu dengan takwa kepada Allah dan orang-orang Islam yang lain! Berperanglah kamu dengan nama Allah di jalan Allah, terhadap mereka yang tidak percaya kepada Allah itu. Jangan kamu bercerai-berai, janganlah kamu melebihi batas, jangan kamu membunuh anak-anak yang kecil, kaum perempuan, jangan kamu membunuh mereka yang lanjut usia dan mereka yang mengasingkan diri di biara-biara atau di gereja-gereja, jangan kamu hampiri pohon-pohon tamar (kurma), jangan kamu tebang pohon-pohon kayu dan jangan kamu rosakkan rumah-rumah kediaman mereka.”

Kemudian baginda mengakhiri khutbah tersebut dengan berdoa: “Mudah-mudahan Allah menyertai kamu dan menjauhkan kamu daripada segala mara bahaya dan mengembalikan kamu kepada kami dengan selamat.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: