Solat ‘celikkan’ hati Jerry


Susunan ZUARIDA MOHYIN

Jerry Duane Gray akan membongkar misteri 11 September menerusi karyanya,, Art of Deceotion pada Pesta Buku Antabangsa Kuala Lumpur di PWTC, Jumaat ini.

BAGI pencinta buku, pastinya nama Jerry D Gray tidak asing bagi mereka. Realitinya, kalau dilihat pada zahir penampilan empunya nama ini, ramai tidak menyangka bahawa lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang pernah menjadi tentera angkatan udara AS itu sebenarnya seorang saudara Muslim atau mualaf.

Pemilik nama Jerry Duane Gray dilahirkan pada 24 September 1960 di Weisbaden, Jerman. Ketika umurnya tiga tahun, dia dan seluruh anggota keluarganya berpindah ke AS.

Mereka sekeluarga tinggal di sebuah kawasan pertanian yang terpencil di Lansing Iowa, Barat AS.

Seusai menamatkan pendidikan sekolah rendah dan menengah di Iowa, Jerry menyertai Angkatan Udara AS (USAF)pada tahun 1978. Di situlah dia mempelajari cara membaikpulih pesawat C-130.

Empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 1982 selepas menamatkan perkhidmatan dengan USAF, Jerry merantau dan bekerja di Arab Saudi sebagai mekanik pesawat peribadi Raja Fadh. Pada masa sama dia menjadi tenaga pengajar di New Saudi Mechanics.

Ketrampilan Jerry dalam bidang itu dan sikap dedikasi yang ditunjukkan sepanjang berkhidmat telah melayakkannya menerima sepucuk surat pujian daripada raja Arab Saudi itu.

Kelebihan Jerry tidak hanya dalam mengendalikan enjin pesawat, dia juga tertarik pada dunia dasar laut. Maka pada Disember 1978, Jerry telah menerima sijil yang melayakkannya bergelar jurulatih menyelam peringkat antarabangsa.

Jerry berada di Jeddah tidak lama iaitu sekitar dua tahun, sebelum mengambil keputusan merantau ke Jakarta, Indonesia. Di Indonesia dia tidak lagi bergelar mekanik pesawat tetapi lebih menumpukan kepada bidang baru iaitu jurulatih menyelam.

Sejak tahun 1985, Jerry memberikan tumpuan kepada bidang fotografi dan rakaman video dasar laut.

Dari tahun ke tahun Jerry menyajikan filem-filem tersebut ke stesen-stesen televisyen terkenal.

Pada masa sama, tugas-tugas itu mendedahkan Jerry kepada bidang baru iaitu dunia kewartawanan. Apatah lagi, tugasan tersebut mengkehendakinya merakamkan gambar-gambar ‘panas’ iaitu dalam situasi ketegangan. Misalnya detik Indonesia mengalami krisis ekonomi.

Sekitar tahun 1998, Jerry telah dihubungi oleh stesen CNBC Asia untuk bekerja sebagai jurukamera bebas agensi berita itu bagi membuat liputan penuh kejadian-kejadian atau detik-detik cemas dan kritikal di Indonesia.

Dalam masa singkat, Jerry telah menjadi orang Barat pertama yang pernah berkerja untuk stesen televisyen di Indonesia sebagai juru kamera berita.

Kehebatan Jerry juga dipengaruhi oleh bakat semulajadinya dalam `mencium’ berita-berita panas selain ketelitian yang menempatkan Jerry dalam persaingan dunia kewartawanan.

Jerry, 52, telah menghasilkan beberapa buah buku, antaranya Deadly Mist, Demokrasi Barbar Ala AS, Bayang-Bayang Gurita dan Dosa-dosa Media Amerika, mengakui tertarik kepada Islam semenjak dia berada di bumi Arab.

Sebagai tentera yang ketika itu berkhidmat di Arab Saudi, menerusi pemerhatian mata kasarnya, Jerry dapat melihat akan keikhlasan dan khusyuknya umat Islam sewaktu melaksanakan ibadat solat.

Ini terbukti dengan kesanggupan mereka meninggalkan segala aktiviti, waima perniagaan yang sedang sibuk sebaik mendengar laungan azan yang mengajak umat Islam bersembahyang.

“Saya dapat melihat dengan mata saya bagaimana kesetiaan dan sifat tawaduknya orang Islam sebaik sahaja terdengar laungan azan.

“Tanpa menghiraukan keadaan ketika itu, semuanya menuju yang satu premis iaitu masjid.

“Semua kedai dan toko-toko jualan di tepian jalan ditutup dengan sekadar sehelai kain. Lantas berduyun-duyun masyarakat Islam menunaikan solat.

“Mereka tidak menghiraukan kalau-kalau barang-barang yang diperaga untuk jualan itu dicuri orang. Peliknya, tidak pula berlaku insiden kecurian,” cerita Jerry yang pernah beberapa tahun menjadi wartawan di sebuah stesen televisyen swasta di Indonesia.

Jerry turut mengakui semasa kali pertama dia memegang kitab suci umat Islam iaitu al-Quran, bulu romanya tiba-tiba meremang dan badannya macam orang deman, seram sejuk.

Apabila hendak membacanya pula, hatinya berdebar-debar dan tanpa disangka-sangka air matanya mengalir saat dibacakan ayat-ayat suci itu.

Akhirnya, saat yang paling terkesan apabila memilih negara padang pasir itu, Arab Saudi sebagai destinasi bergelar mualaf.

“Pada peringkat awal pengislaman, saya hanya melaksanakan solat dua kali seminggu. Agama Islam itu tidak pernah memaksa umatnya dengan syarat dia berusaha mempelajari dan mendalami agama Islam itu sendiri. Saya belajar secara berperingkat-peringkat dan istiqamah.

“Seperkara yang cukup mengujakan ialah apabila saya ditimpa musibah. Saya lebih suka melaksanakan solat kerana daripadanya saya memperoleh ketenangan.

“Alhamdulillah, pada masa sama, apa kerumitan dan kepayahan yang dihadapi itu ada jalan penyelesaiannya. Semenjak itu, saya semakin rajin bersolat,” akui Jerry

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: