Bertuah terima hidayah Allah


Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar GHAZALI BASRI

Suami dan anak-anak adalah kekuatan semangat buat Nurmaslizza Teoh Abdullah.

MESKIPUN sepanjang 17 tahun memeluk Islam, ia bukan petanda kehidupan yang dilalui kini sudah tenang, stabil dan kukuh, terutamanya dari segi pegangan agamanya.

Hakikatnya, setiap detik dirinya sentiasa diuji, waima dalam senang mahupun susah. Inilah yang dikatakan, lumrah atau adat dalam kehidupan.

Bahkan, bagi wanita kelahiran negeri jelapang padi ini, hidup tanpa ujian, maka tidak akan sempurna. Baginya, cabaran itu mendewasakan seseorang, sekali gus mendidik diri akan fitrah manusia itu adalah makhluk yang lemah.

Atas dasar itulah, ibu beranak dua ini sentiasa meletakkan kebergantungannya hanya semata-mata kepada Allah, setelah melakukan usaha dan berdoa serta bertawakal.

“Kehidupan saya sejak dari kecil memang cukup susah. Saya dari kecil lagi telah dijaga oleh emak saudara. Biasalah tinggal dengan orang tidak sama jika dibandingkan tinggal dengan emak dan ayah kandung.

“Daifnya kami ketika itu sehingga kami adik-beradik terpaksa berkongsi satu bilik yang kecil. Emak pula membantu ayah berniaga makanan. Mengikut ibu bapa bekerja bukanlah senario yang asing bagi kami adik-beradik.

“Kesusahan itulah yang menyebabkan saya terpisah dengan adik-beradik yang lain. Tetapi kesengsaraan itu ditelan demi meneruskan kelangsungan hidup,” cerita Nurmaslizza Teoh Abdullah, 48, membuka bicara kami petang itu.

Pada pertemuan dengan Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini di kilangnya yang terletak di Desa Coalfields, Sungai Buloh, Selangor, Nurmaslizza mengakui pengalaman masa silamnya ada hikmah di sebaliknya dan dia lebih suka melihatnya dari sisi yang positif, walaupun masa itu diri belum Islam.

Cerita Nurmaslizza yang memeluk Islam pada 12 Disember 1996, dia sendiri telah pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Jalan Ipoh dan telah diislamkan oleh Ustaz Ariffin yang pada masa itu adalah pegawai dakwah di pertubuhan tersebut.

“Seperkara yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini ialah perasaan seronok, tenang dan lega sebaik mengucap dua kalimah syahadah. Biarpun, saya mengetahui keputusan yang diambil itu bakal mengundang kemarahan ahli keluarga kandung. Yang pasti, saya akan dipulaukan mereka. Tetapi keinginan kepada Islam itu mengatasi segalanya.

“Saya sebenarnya sudah meminati agama Islam sejak di bangku sekolah rendah lagi. Pada masa itu saya akan curi-curi mendengar apa yang diajarkan di kelas-kelas agama. Oleh kerana teringin sangat melakukan solat, sehinggakan saya berlakon dengan memakai kain menutup tubuh dan melakukan ritual solat orang Islam, kononnya saya bersolat.

“Tambahan pula, saya tinggal di perkampungan masyarakat Melayu, jadi ramailah emak-emak angkat pada masa itu. Merekalah yang banyak memberi perhatian dan kasih sayang kepada saya. Saya dianggap seperti anak mereka sendiri,” katanya mengakui sifat kemesraan orang Melayu serta mengambil berat mereka itulah antara faktor Nurmaslizza jatuh cinta padang pertama kepada agama Islam.

Terangnya lagi, pada usia menginjak remaja, dia pernah mempelajari dan mendalami agama Kristian tetapi semakin tinggi pelajarannya itu, semakin banyak persoalan berkaitan aspek ketuhanan yang bermain di fikirannya. Lantas jawapan yang dicari menerusi teman dan guru tidak memuaskan, Nurmaslizza merasakan tidak ada keserasian rohani di situ.

“Mungkin titik tolak kepada pengislaman diri selain daripada kehendak hati yang membuak-buak, mungkin sebab hendak lari daripada rancangan ibu bapa yang mahu mengahwinkan saya, sedikit sebanyak turut ada kaitannya,” cerita Nurmaslizza sambil tergelak kecil.

Kini Nurmaslizza menganggap dirinya bertuah kerana walaupun masih diuji dengan pelbagai ujian tetapi semuanya dapat dihadapi dengan tenang. Baginya, kurniaan paling bermakna daripada Allah SWT ialah dianugerahkan suami yang memahami dan sentiasa memberi sokongan serta anak-anak sebagai pemangkin semangat.

“Saya juga bersyukur dengan kesihatan diri yang baik serta bantuan daripada hamba Allah yang tidak diduga dalam meneruskan perjuangan perniagaan ini. Allah sahaja dapat membalas budi baik insan yang membantu memberikan modal berjumlah RM10,000 untuk memulakan semula perniagaan mi dan seorang lagi hamba Allah yang memberikan kilang untuk saya memulakan operasi pengeluaran.”

Malah sokongan pembeli, pengedar serta pihak jabatan pertanian kata Nurmaslizza telah banyak membantu kelangsungan syarikat Ehsan Murni Foods Trading & Consultancy.

Katanya, dia berharap sangat usahanya kali ini akan diteruskan oleh dua orang anaknya. Cita-cita wanita tabah ini ialah untuk dapat menziarahi Baitullah suatu hari nanti.

Tegas Nurmaslizza, dia percaya apabila sesuatu usaha itu dilakukan atas dasar ikhlas dan fisabilillah, Allah akan permudahkan dan lorongkan jalan.

“Bayangkan apabila kita hilang pendapatan tetap dan komitmen kewangan yang banyak, tentunya ia membebankan pada setiap hujung bulan.

“Tetapi, alhamdulillah walaupun dengan pendapatan yang ada atau tidak semewah dahulu tetapi semuanya dihadapi dengan perasaan yang tenang dan ada ketikanya, Allah SWT membantu dengan cara yang tidak kita sangka-sangkakan,” katanya semua itu menguatkan lagi keazaman Nurmaslizza demi kesejahteraan ummah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: