Tentera Islam tawan Khaibar


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sebaik sahaja ternampak kebun-kebun milik penduduk Yahudi Khaibar yang penuh dengan pohon-pohon tamar, tentera Islam semakin berkobar untuk menawan Khaibar. – gambar hiasan

TIDAK sahaja si munafik, Abdullah bin Ubay yang bertindak jahat dengan memberitahu Yahudi di Khaibar tetapi saki baki keturunan Yahudi Bani Qainuqa yang masih ada di Kota Madinah juga memberitahu mengenai pergerakan Rasulullah dan para tentera baginda untuk menyerang Khaibar.

Mereka memberi amaran mengenai kedatangan tentera Islam dan mengarahkan supaya musuh segera bersiap sedia menghadapi serangan.

Semua ini diketahui oleh Rasulullah. Tetapi ia bukan penghalang kepada baginda untuk meneruskan kemaraan.

Tidak dinafikan berita yang sampai itu menyebabkan seluruh kaum Yahudi yang mendiami Khaibar terus melakukan persiapan dan persediaan untuk menghadapi tentera Islam. Tetapi yang menjadi persoalan adakah mereka perlu bertahan di kubu-kubu sahaja atau keluar untuk menyerang tentera Islam.

Lalu sebagai pemimpin kaumnya, Sallam bin Musykin berkata: “Tidak ada kaum yang diserang di tempat mereka sendiri melainkan bersifat penakut dan suka dihina. Kalau begitu, biar kita sahaja yang menyerang mereka.

“Kita sudah ada persiapan. Kita gerakkan tentera kita ke Madinah. Kalau kita terbunuh, Khaibar masih selamat. Kalau kita menang kita bawa balik harta rampasan. Kalau kita tunggu kedatangan mereka, kita akan menghadapi masalah.”

Namun cadangan Sallam itu ditolak kerana mereka lebih memilih untuk mempertahankan Khaibar dengan bertahan di sebalik kubu-kubu yang dibina kukuh.

Dalam pada itu jika dilihat pada jumlah anggota tentera di pihak Yahudi Khaibar itu, mereka sebenarnya telah ‘menang’.

Berbanding tentera Islam yang hanya seramai 1,000 orang, bilangan di pihak Yahudi berlipat kali ganda kerana mereka berjaya mengumpulkan 10,000 anggota tentera.

Begitupun, mereka sebenarnya tetap gentar dan bimbang untuk menghadapi tentangan dan serangan daripada tentera Islam. Mereka sedar kekuatan sebenar yang dimiliki oleh tentera Islam, walaupun jika dilihat daripada segi angka, jumlahnya sangat kecil yang lazimnya sangat mudah untuk dikalahkan.

Lalu pihak Yahudi berusaha mendapatkan bantuan anggota tentera tambahan terutama dari kalangan Arab lain yang masih mempunyai cita-cita menentang Rasulullah.

Setelah beberapa puak Arab menolak permintaan daripada Yahudi kerana sedar kini akan kekuatan yang dimiliki oleh tentera Islam, namun terdapat satu puak Arab yang sedia membantu mereka.

Bani Ghatafan yang merupakan puak Arab yang diketuai oleh Uyaynah bin Husn atau lebih dikenali sebagai Al Ahmaq al Muta’ sedia menawarkan anggota tentera tambahan.

Uyaynah disifatkan sebagai seorang ketua yang bodoh tetapi ditaati oleh para pengikutnya.

Sebelum ini, puak Arab Ghatafan itu pernah menentang Rasulullah dalam perang Ahzab dan akibat masih tidak berpuas hati apabila kemenangan tidak berpihak kepada pihaknya, Uyaynah kembali bangun menentang Rasulullah.

Jika dahulu dia sanggup bersekongkol dengan tentera Quraisy Mekah, kali ini Uyaynah sanggup berkerjasama dengan pihak Yahudi, asalkan cita-citanya untuk menghancurkan Islam tercapai.

Uyaynah terus menghantar 1,000 anggota tentera dengan tambahan 4,000 orang lagi untuk membantu Yahudi Khaibar.

Tentu sahaja pihak Yahudi sangat gembira dengan bantuan yang dihulurkan oleh Bani Ghatafan itu, sekali gus memberikan mereka semangat untuk melawan pihak Islam.

Ketika Raulullah dengan bala tentera Islam bergerak menuju ke Khaibar, keadaan yang menantikan mereka ialah 10,000 anggota tentera Yahudi dengan tambahan 1,000 tentera dari Bani Ghatafan.

Ini bererti 11,000 tentera sedang menunggu tentera Islam dan 4,000 lagi anggota tentera tambahan dari Puak Ghatafan sedang bergerak dan berada di belakang tentera Islam.

Kedudukan tentera Islam agak bahaya jika kedua-dua belah pihak musuh yang berada di hadapan dan di belakang mereka itu membuat serangan serentak.

Begitupun, baginda berjaya memintas perjalanan dengan strategi menyerang Khaibar melalui arah Syam. Ini supaya pihak musuh tidak akan dapat lari ke Syam atau mereka dalam keadaan terkepung.

Pada masa itu juga Rasulullah menghantar wakil kepada Uyaynah meminta supaya dia dan seluruh bala tenteranya menarik diri daripada menyertai peperangan. Namun usaha tersebut sia-sia.

“Tidak ada perbincangan lagi antara kita kecuali dengan pedang, yakni perang,” katanya Uyaynah.

Apabila berita itu diberitahu kepada Nabi Muhammad, baginda pun berlapang dada dengan berkata: “Kita berserah sahaja kepada Allah. Allah sahajalah sebaik-baik pembela!”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: