Gerakan halus sesatkan Orang Asli


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Masyarakat Orang Asli perlu selalu didekati agar mereka sentiasa dekat dengan Islam.

DAIF! Begitulah situasi yang dapat digambarkan keadaan surau di beberapa perkampungan Orang Asli yang diibarat bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’.

Keadaan sekeliling yang dipenuhi semak samun setinggi hampir setengah meter dengan longgokan sampah sarap di sekitar kawasan surau pastinya mengundang pelbagai tanggapan negatif. Malah hanya menyakitkan mata sesiapa yang memandangnya. Langsung tidak mencerminkan rumah ibadat orang Islam yang mana kebersihan merupakan sebahagian daripada iman.

Lebih menyedihkan, hanya beberapa bilah cermin berdebu tebal yang tinggal pada tingkap sekeliling dinding surau tersebut. Tangga yang diperbuat daripada kayu untuk jemaah naik bagi menunaikan solat pula kelihatan semakin usang dan reput dimamah anai-anai.

Jelas sekali menunjukkan rumah Allah setinggi dua tingkat itu sudah lama tidak dikunjungi dan berpenghuni.

Namun, keadaan yang sebaliknya berlaku di kawasan sama. Kelihatan sebuah binaan persis banglo tersergam indah di sebuah kawasan lapang tidak jauh dari surau tersebut.

Siapa sangka dalam perkampungan pendalaman yang serba kekurangan itu terdapat sebuah binaan yang indah. Dilengkapi dengan segala kemudahan bekalan elektrik dan air. Tidak kurang kawasan lapang yang sesuai digunakan untuk mengadakan pelbagai aktiviti.

Terdapat pula sebuah pondok kecil berhampiran banglo tersebut yang dipenuhi anak muda untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama rakan tidak kira usia.

Alangkah terkejutnya, apabila ditanya, binaan yang cantik itu adalah sebuah rumah ibadat agama lain yang digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan berkumpul di kampung tersebut.

Gerakan halus penyebaran agama lain terbukti telah berjaya menambat hati penduduk kampung yang terletak di negeri Pahang itu. Sehingga hampir keseluruhan isi keluarganya adalah bukan Islam.

Keistimewaan Islam sebagai agama rasmi persekutuan ternyata tergugat dengan gerakan-gerakan menyaingi gerakan dakwah Islamiah.

Gerakan halus tersebut yang disebarkan atas pelbagai aktiviti terutama yang berasaskan kebajikan termasuk menjanjikan kemewahan tentu mempengaruhi pemikiran masyarakat yang berada di atas pagar.

Tinjauan Mega di 25 perkampungan Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia ketika mengikuti anggota Jelajah Silaturrahim Orang Asli Seluruh Malaysia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), mendapati rata-rata perkampungan Orang Asli pernah dimasuki oleh gerakan ajaran agama lain.

Gerakan tersebut dipercayai mengambil kesempatan menyebarkan ajaran agama mereka secara perlahan-lahan dan tidak disedari.

Bermula dengan menghulurkan sumbangan dan memberikan pengharapan lalu mengubah kepercayaan penduduk mengikuti ajaran mereka.

Batin Kampung Tanah Merah, Yusof Komeng, 50, berkata, dengan menyatakan alasan prihatin terhadap perkembangan pendidikan Orang Asli di kampung tersebut, sebuah gerakan agama lain memasuki kampungnya.

Yusof berkata, kumpulan itu yang pada mulanya ingin memberikan perubahan dan pendidikan kepada kampung itu akhirnya mendirikan sebuah rumah ibadat.

“Kumpulan itu pada asalnya datang untuk memberikan bantuan dari segi keperluan isi rumah dan pendidikan. Mereka seterusnya mendirikan sebuah rumah ibadat dengan alasan untuk menjadikan tempat untuk kelas pengajian.

“Saya tidak menghalang kerana menyangka niat mereka baik untuk memajukan pendidikan di kampung ini. Tambahan pula dengan penempatan kampung ini yang jauh dari bandar.

“Namun akhirnya saya sedar bahawa rumah ibadat itu sengaja dibina untuk mempengaruhi penduduk kampung,” katanya.

Yusof yang pada mulanya enggan menerima pelawaan gerakan tersebut untuk mendirikan rumah ibadat apatah lagi dibina di kawasan tanah rumahnya bagaikan terpukau dengan pujuk rayu halus yang dibawa oleh kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya gerakan itu kini semakin kurang aktif memasuki kampung itu berbanding dulu.

“Jika dulu sebulan dua atau tiga kali mereka memasuki kampung ini untuk menjalankan aktiviti, tetapi kini tidak lagi.

“Kira-kira lebih dua bulan mereka tidak lagi memasuki kampung ini. Kita juga akan sentiasa memantau pergerakan mereka dari semasa ke semasa. Jika mereka mula menyebarkan ajaran yang pelik, kita akan sekat,” katanya.

Kekurangan pendakwah

Sementara itu, menurut Batin Kampung Orang Asli Pos Buntu, Pahang, Amran Yokpam, 31, menganggarkan lebih empat bulan tiada pendakwah Islam yang datang ke kampungnya.

“Setahu saya, sudah lama tiada seorang pendakwah Islam yang datang memasuki kampung ini. Walaupun kebanyakan penduduk di kampung ini adalah bukan beragama Islam, tetapi kita tidak pernah menghalang mana-mana pertubuhan datang ke sini.

“Malah kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan sesiapa yang ingin menjalankan aktiviti di kampung ini selagi tidak menimbulkan kekacauan,” katanya.

Hal ini menjadikan masyarakat Orang Asli yang penganut agama Islam terbiar dan tersisih tanpa mendapat bimbingan sewajarnya. Ini mengakibatkan Islam mereka hanya pada nama sahaja.

Dalam masa sama, pelbagai pertubuhan keagamaan cuba mengambil peluang menyebarkan dakyah kepercayaan agama masing-masing di kampung yang terbiar tersebut.

Malah tinjauan Mega juga mendapati wujudnya kelemahan kepada pendakwah Islam yang kurang prihatin dan memberikan perhatian terhadap kebajikan pegangan agama masyarakat Orang Asli yang telah berjaya diIslamkan.

Ia boleh mengundang kepada gerakan agama lain untuk mengambil kesempatan menyebarkan dakyah kepada masyarakat atas pagar itu sehingga mempengaruhi kepercayaan mereka serta berjaya mendirikan rumah ibadat mereka.

Justeru, pendakwah Islam perlu mengambil peluang dan bertindak pantas menyebarkan dakwah Islamiah sebelum dakyah agama lain terus meluas.

Tambahan pula ujarnya, kedudukan kampung tersebut yang merupakan laluan pintas Orang Asli dari kampungnya untuk ke Slim River, Perak membuatkan ia sentiasa dikunjungi dan dimasuki penduduk kampung bersebelahan.

“Lokasi kampung ini yang terletak berhampiran pusat rekreasi Lata Lembik menjadikan ia tumpuan pelbagai organisasi termasuk yang bukan Islam.

“Sehinggakan ada juga yang telah berkahwin dengan orang luar termasuk masyarakat dari bandar,” kata Amran.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: