Umat Islam enggan bertahalul


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

KERANA merasakan Perjanjian Hudaibiah menguntungkan kaum Quraisy, umat Islam enggan bertahalul walaupun diperintahkan oleh Rasulullah. – Gambar hiasan

SETELAH berjaya menyejukkan hati Umar Al Khattab yang tidak berpuas hati mengenai Perjanjian Hudaibiah, Rasulullah SAW pun terpaksa membatalkan ibadat umrah dan haji yang hendak mereka lakukan di Kota Mekah.

Lalu baginda memerintahkan agar semua rombongan umrah dan haji dari Madinah itu supaya bertahalul (mencukur kepala atau menggunting rambut), sebagai tanda mereka tidak perlu lagi memakai ihram.

Mereka juga diperintahkan menyembelih unta-unta yang telah disediakan untuk tujuan korban.

Sebanyak tiga kali baginda menyeru kepada seluruh ahli rombongan supaya melaksanakan perintah tersebut.

Tetapi alangkah terkejutnya baginda apabila tiada sesiapa yang patuh kepada perintah itu. Mereka tidak mahu bangun untuk bertahalul apatah lagi menyembelih korban.

Kali ini bukan sahaja Umar yang tidak berpuas hati malah rupa-rupanya seluruh ahli rombongan baginda masih merasa tidak puas hati dan gelisah terhadap isi perjanjian damai dengan Quraisy yang mereka sangkakan begitu merugikan umat Islam.

Malah mereka sebenarnya menuntut supaya perjanjian tersebut dibatalkan atau dihapuskan sahaja dan tetap ingin masuk ke Kota Mekah tanpa mengira apa yang bakal terjadi.

Malah ramai juga yang keliru bahawa bertahalul dan melakukan korban lazimnya apabila telah selesai melakukan ibadat umrah atau haji. Tetapi kini Rasulullah memerintahkan supaya melakukan semua itu sedangkan mereka belum seinci pun berada di Kota Mekah untuk melakukan ibadat yang sangat mereka rindukan selama ini.

Namun melihatkan keengganan para pengikut Islam untuk melaksanakan perintah tersebut, baginda kehilangan kata-kata.

Baginda merasa sangat sedih kerana itulah buat pertama kalinya para pengikut baginda sendiri enggan mematuhi arahan.

Tetapi itu bukan bermakna para penganut Islam sudah tidak taat kepada baginda. Tetapi apa yang dibimbangkan Rasulullah jika Allah akan menurunkan seksaan terhadap pengikutnya kerana dengan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah bercukur dan menyembelih korban itu.

Lalu baginda pun membawa diri ke dalam khemah dengan keadaan bermuram durja. Kebetulan isteri baginda, iaitu Ummu Salamah ada dalam khemah tersebut maka kepada isterinya itulah baginda mengadu mengenai umat Islam yang tidak mendengar arahan untuk bertahalul dan melakukan korban.

Sebagai isteri, Ummu Salamah sangat memahami apa yang terjadi. Bagi beliau umat Islam bukanlah ingkar atau secara sengaja tidak mahu mematuhi arahan baginda itu.

Bahkan mereka masih menaruh keyakinan masih boleh melakukan ibadat umrah dan haji itu setelah bersusah payah datang dari jauh dan Mekah kini hadapan mata.

Terlalu berat untuk mereka meninggalkan Mekah begitu sahaja tanpa langsung berpeluang untuk beribadat.

Bagi mententeramkan baginda, Ummu Salamah pun memujuk akan suaminya itu: “Ya Rasulullah, maafkanlah para pengikut mu itu. Perjanjian ini mungkin terlalu besar dan terlalu berat untuk diterima oleh mereka dengan mudah.

“Jika panjang umur dapatlah kita mengerjakan umrah dan haji pada tahun hadapan sebagaimana mengikut isi perjanjian itu. Tetapi bagaimana jika ada yang tidak panjang umur sedangkan peluang untuk beribadat itu telah ada di hadapan mata?

“Walaupun begitu wahai tuan, jika kita perlu membatalkan niat kali ini cuba tuan sendiri yang melakukan tahalul dan menyembelih korban itu. Moga-moga dengan cara seperti itu apabila mereka tuan mengerjakannya, pasti mereka akan mengikut tuan.”

Mendengarkan nasihat isterinya itu, baginda pun tidak teragak-agak lagi lalu keluar dari khemah terus melakukan tahalul dan menyembelih unta dengan disaksikan umat Islam yang lain.

Melihatkan baginda melakukan semua itu, mereka pun akhirnya seorang demi seorang bangun melakukan tahalul dan menyembelih korban.

Baginda sungguh gembira melihat umat Islam kembali bersatu dan melaksanakan apa yang diperintahkan yang tentunya bukanlah dari kepentingan peribadi baginda tetapi sebagaimana yang menjadi syariat dalam Islam.

Apabila semuanya telah selesai bertahalul dan melakukan korban, seluruh ahli rombongan kemudiannya bersiap-siap dan mereka pun pulang semula ke Madinah.

Walaupun kesedihan dan perasaan hampa masih menyelubungi, tetapi mereka tetap memberikan lambaian ke arah Kaabah dan seolah-olah berjanji akan datang kembali pada tahun hadapannya.

Berikutan itu, maka turunlah Surah Al Fath (Pembukaan) sebagai surah terbaik bagi menceritakan peristiwa dan hikmah disebalik Perjanjian Hudaibiah yang membawa kepada peristiwa besar, pembukaan Kota Mekah.

Surah itu diturunkan ketika Rasulullah dan para pengikutnya dalam perjalanan pulang meninggalkan Hudaibiah menuju ke Madinah dan kemudian mereka singgah di sebuah desa bernama Qura’ul Ghamim (suatu lembah terletak di Asfan).

Diturunkan dalam satu surah yang lengkap mengandungi 29 ayat sebagai pengubat kehampaan dan kekecewaan umat Islam yang terpaksa pulang dengan ‘tangan kosong’.

Sesudah dibacakan surat tersebut oleh Rasulullah kepada para ahli rombongan, mereka semua merasa sangat gembira terutamanya Umar Al Khattab

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,583 other followers

%d bloggers like this: