Memasyarakatkan Masjid


                                            SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
                                Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

MASJID, bukan tempat untuk solat semata-mata, medan itu ternyata mempunyai berjuta peranan. Di situlah tempatnya Nabi Muhammad SAW merangka strategi peperangan, mengadakan mesyuarat dan penggerak kepada perkembangan Islam seanteronya.

Itu sebahagian aktiviti pada zaman Baginda dan para sahabat yang aktif mengimarahkan rumah ibadat. Hari ini banyak masjid dibina, tersergam indah tetapi sunyi sepi. hanya lima waktu tersebut – Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak terisi dengan jemaah. Itu pun dipenuhi orang-orang tua yang tidak seramai saf ketika Solat Jumaat.

Justeru, budaya mencintai masjid perlu dipupuk dalam diri generasi muda hari ini agar timbul rasa sayang akan rumah ALLAH SWT itu bukan dengan kunjungan untuk solat sahaja, bahkan lebih dari itu melalui program dan aktiviti pengimarahan.

“SESIAPA yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan ALLAH SWT, maka ALLAH akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga”. (Riwayat Bukhari)

Sungguh bermakna hadis itu kepada individu yang menjadikan masjid sebagai rumah keduanya.

Mendukung usaha sama, TV AlHijrah mengadakan Karnival Cinta Masjid di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur yang turut disertai juara program realiti Solehah musim pertama 2011, Amie Sofia Ahmad, 26. Ternyata program ini memahat budaya mengimarah masjid dalam ruang lingkup sebenarnya.

BUKAN UNTUK TATAPAN

Amie ketika ditemui Rehal pada program tersebut berkata, memang masjid adalah rumah ALLAH untuk beribadat, tapi jangan kecilkan skop itu hanya untuk beribadat sedangkan masjid adalah tempat berkumpulnya umat Islam, persinggahan kepada golongan bermusafir dan tempat untuk mencari ketenangan seperti membaca al-Quran.

“Karnival seperti ini dapat mengembalikan semangat cinta dan sayangkan masjid, kita adakan pelbagai aktiviti, kelas mengaji dan memperbaiki bacaan untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta berhibur berlandaskan Islam tetapi dalam masa sama, sebaik azan berkumandang kita bersama-sama berjemaah,” kata Amie pada program yang berlangsung dari 4 dan 5 Februari itu.

Amie yang mula menghafal al-Quran ketika umur 11 tahun dan khatam hafazan seawal usia 14 tahun berkata, perkara yang dilakukan selagi mendekatkan diri dengan masjid tidak salah malah ia menjadi ibadah.

Menurutnya, program cinta masjid sangat bagus kepada golongan belia dan remaja yang memang tidak boleh lari daripada berhibur, jadi ia adalah alternatif terbaik dalam pembentukan generasi Y.

Katanya, masjid di Malaysia besar, cantik dan tersergam indah, malah dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi. Disebabkan itu, ia sentiasa dikunci dan sesetengahnya ada pengawal keselamatan bagi mengelak kecurian, namun di sebalik tindakan itu menjadikan masjid lebih hambar dan sunyi.

“Mengikut pengalaman dan pemerhatian sepanjang saya berada di Mesir, sejuk mata memandang masjid di sana kerana setiap kali tiba waktu solat, berpusu-pusu umat Islam datang walaupun masjidnya tidak besar dan tidak cantik seperti di negara kita.

FAHAMI KONSEP MASJID

“Pada saya masyarakat Islam di sana sangat memahami konsep sebenar pembinaan masjid. Mereka mengimarahkannya, bukan untuk tatapan dan solat pada waktu tertentu sahaja. Sebaliknya, ia adalah nadi kegiatan ummah mencakupi aspek kerohanian dan keduniaan seperti kegiatan keagamaan, ekonomi, sosial, keilmuan dan pentadbiran negara,” kata anak jati Kedah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Universiti al-Azhar, Mansoura, Mesir ini.

Sejarah Islam menceritakan bagaimana Rasulullah setibanya di Madinah terus mengambil beberapa pendekatan yang berkesan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk Islam di situ, antaranya segera mendirikan Masjid Nabawi.

Amie berkata, kaedah yang diambil kekasih ALLAH itu bertindak sebagai cahaya, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelosok dunia. Di samping pusat ibadat, Baginda menjadikan masjid sebagai pusat pemerintahan, pentadbiran negara, nadi gerakan Islam, penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu, pusat hubungan dengan ALLAH serta manusia sesama manusia.

“Ringkasnya, pada zaman Rasulullah, masjid dijadikan sebagai pusat peradaban Islam. Manakala individu-individu yang mengimarahkan masjid dipuji oleh ALLAH sebagai golongan yang menyucikan diri mereka daripada najis zahir dan najis batin (dosa).

Firman ALLAH bermaksud: “Kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan ALLAH Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah al-Taubah, ayat 108)

MAKMURKAN RUMAH ALLAH

Menurut Amie, masjid sepatutnya ‘hidup’ atau makmur, bukan sekadar tempat bersolat lima waktu tetapi perlu diisi dengan empat amalan yang diamalkan semasa zaman Rasulullah iaitu dakwah, taalim wa taalum, ibadah dan khidmat.

“Para sahabat sentiasa ada 24 jam dalam masjid dengan melaksanakan amalan-amalan tersebut. Mereka bergilir memberi masa untuk agama dan berdakwah walaupun mempunyai keluarga untuk disara. Mereka juga mempunyai kebun, ladang ternakan dan perniagaan tetapi lebih mengutamakan agama daripada segala yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata, apabila masjid tidak makmur dengan amalan tadi maka ia hanya menjadi pusat ibadah semata-mata, kadang-kadang menjadi pusat pengajian majlis ilmu. Sekiranya masjid dibuka 24 jam dan ada orang yang sentiasa mengimarahkannya maka sudah tentu tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sebagai umat Nabi, seseorang Muslim itu sepatutnya mengamalkan cara Baginda membudayakan masjid seperti yang dilakukan masyarakat pada zaman Rasulullah, antaranya menjadikan ia sebagai pusat pendidikan Islam, pusat perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang akidah, syariah dan akhlak, tempat menyampaikan wahyu, kegiatan kesusasteraan dan persuratan Islam kerana ada sahabat yang menyampaikan syairnya di dalam masjid.

Terlalu banyak aktiviti boleh diadakan di dalamnya, termasuk kegiatan sosial dan kehakiman, berkaitan dengan nikah kahwin dan penyelesaian masalah umat Islam, tempat menyimpan harta negara serta tempat membuat perisytiharan kepada umat termasuk mengisytiharkan pelantikan khalifah. (Abu Shuhbah, al-Sirat Nabawiyyat Fi al- Qur’an Waal-Sunnat jilid: 2 halaman: 31).

“Saranan saya untuk golongan berkerjaya, mereka haruslah bijak mengatur masa contohnya solat berjemaah pada waktu Subuh (lelaki), Maghrib, Isyak dan ikutilah ceramah di masjid setiap hujung minggu. Rebutlah peluang itu! janganlah kita meninggalkan langsung program di masjid.

“Pihak pengurusan sesebuah masjid juga perlu melihat situasi penduduk setempat yang membolehkan mereka untuk turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan masjid,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,072 other followers

%d bloggers like this: