Ahli muzik underground jadi pendakwah


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Muhammad Thufail al Ghifari (dua dari kanan) bersama-sama ahli kumpulan muzik underground The Roots of Madinah dari Indonesia.

Networks at work, keeping people calm You know they murdered X And tried to blame it on Islam He turned the power to the have-nots And then came the shot

BAIT-bait di atas merupakan antara seni kata lagu Wake Up yang dipopularkan oleh kumpulan Rage Against The Machine (RATM), iaitu kumpulan muzik yang berasal Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Sebuah kumpulan muzik underground yang mempertahankan irama punk, hip hop dan trash. Lazimnya identiti kumpulan seperti ini adalah mengagungkan budaya negatif dan gaya hidup yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat.

Berbeza dengan kumpulan RATM, mereka tidak dapat dikaitkan dengan perkara yang negatif sehingga menarik perhatian anak muda dari Indonesia ini, Richard Stephen Gosal meminati kumpulan tersebut. Minat yang membawa Richard kepada memeluk Islam.

“Saya amat suka dengan (lagu-lagu) kumpulan RATM ini. Bahkan, sehingga sekarang saya mengagumi meskipun mereka bukannya beragama Islam,” kata Richard yang kini lebih dikenali dengan nama Islamnya, Muhammad Thufail al-Ghifari.

Daripada lagu yang dibawakan oleh RATM itu, Thufail mula mengenali tokoh mualaf kulit hitam AS Malcolm X atau nama Islamnya Malik Shabazz yang memperjuangkan hak asasi kaum kulit hitam.

Rasa kagum terhadap tokoh pejuang hak asasi manusia yang berasal dari AS mendorong Thufail mencari lebih banyak maklumat mengenai kehidupan Malcolm X.

“Saya banyak belajar mengenai Malcolm X yang kemudian membawa saya mengenali bekas peninju juara dunia, Muhammad Ali dan Nabi Muhammad SAW itu sendiri,” ujarnya.

Ketika itu, Thufail yang berdarah Belanda Menado dan dilahirkan di Kota Makasar tetapi dibesarkan di Jakarta adalah penganut Kristian Protestan.

Sementelah ibu bapanya adalah paderi dan mubaligh yang aktif dalam berdakwah dan berpegang kuat kepada ajaran. Mereka menyematkan dalam pemikiran anak-anak mereka bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah gambaran seorang yang suka berperang, kaki perempuan, memiliki janggut, berasal dari suku kedar (Anti Christ), menyesatkan umat manusia dengan kitab al-Quran dan para pengikutnya pasti akan binasa di neraka kelak.

Namun salah satu kisah Malcolm X yang dibaca oleh Thufail ada satu bahagian ayat yang diucapkan oleh petinju legenda Muhammad Ali yang membuatkan hati pemuda ini mula terkesan.

Ketika Muhammad Ali mengecam kaum kulit putih menindas kaum lain terutamanya bangsa kulit hitam, Malcolm X berkata: “Di Mekah, saya lihat mereka yang bermata coklat, biru, hitam serta berkulit putih, hitam, dan coklat semuanya duduk beribadat bersama-sama. Masing-masing tidak ada bezanya apabila berada di hadapan tuhan”.

Kekaguman Malcolm X terhadap umat Islam membuat Thufail semakin tertarik kepada agama tersebut. Meskipun dididik dengan ajaran Kristian Protestan yang cukup ketat, namun Islam bukanlah sesuatu yang baru bagi Thufail.

“Sejak di sekolah menengah, saya banyak bergaul dengan teman-teman yang Islam. Bahkan, mereka sering bertanya bila saya mahu memeluk Islam,” ujarnya.

Daripada belajar mengenai Malcolm X, hingga suatu ketika Thufail merasa hidupnya begitu kosong. Hingga beliau meninggalkan Kristian kerana mula terpengaruh dengan pelbagai fahaman lain seperti sosialisme, komunisme dan berakhir dengan mengaku seorang ateis.

Puncanya, fenomena sweeping terhadap kelompok beraliran kiri di Indonesia yang terjadi pada tahun 2000 sehingga 2001 oleh kelompok Pancasilais.

Semasa sweeping inilah, kata Thufail, ramai tokoh Partai Rakyat Demokratik (PRD) iaitu parti di mana Thufail pernah bergabung menjadi salah seorang anggotanya tidak bertanggung jawab terhadap penahanan mereka yang simpati terhadap kelompok underground di daerah-daerah di Indonesia.

“Para tokoh PRD ini menghilang, ada yang kerana diculik dan ada yang menyembunyikan diri. Di sini menjadi punca saya kecewa dengan yang dinamakan revolusi diri itu,” katanya.

Kekecewaan itu beliau luahkan kepada seorang sahabat yang merupakan ahli kumpulan muzik di komuniti underground.

Dipengaruhi kawan

Thufail mendapati sahabatnya itu seorang yang tidak pernah meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim. Terutama solat sekali pun dalam keadaan yang kurang selesa.

Sifat mulia yang ditunjukkan oleh sahabat itu begitu mempengaruhi Thufail untuk terus memeluk Islam.

Lalu kepada sahabat itu Thufail menyuarakan hasratnya memeluk Islam. Namun beliau amat terkejut, sokongan yang diharapkan tetapi larangan keras pula yang diterima.

“Dia tidak mahu saya memeluk Islam hanya kerana faktor emosi yang berubah-ubah. Satu saat saya ingin memeluk Islam nanti pada satu saat lain saya murtad.

“Jika terjadi begitu pastinya saya akan kehilangan rakan-rakan terutama dari kalangan yang beragama Islam,” katanya.

Tidak putus asa

Namun Thufail tidak putus asa. Beliau membulatkan tekad memeluk Islam. Justeru, beliau menemui rakan-rakan dari kumpulan underground yang lain beragama Islam.

Di tepi jalan berdekatan Kompleks Perumahan Taman Kartini, Bekasi, Thufail akhirnya mengucap syahadah.

“Peristiwa ini terjadi tahun 2002 dan yang menjadi saksi (pengislaman) saya ketika itu adalah teman-teman yang memakai baju kemeja T Sepultura, Kurt Cobain, dan Metallica,” katanya.

Keputusannya memeluk Islam membuatkan orang tuanya amat marah dan menghalau Thufail dari rumah.

Lalu Thufail membawa diri tanpa arah dan tujuan, yang akhirnya menyaksikan Thufail bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji Rp600,000 (RM216) sebulan.

Semasa bekerja pula, Thufail berpeluang berkenalan dengan Ustaz Nur Hasan yang bertugas sebagai imam di Masjid Baitur Rahim di Perumahan Taman Kartini, Bekasi.

“Apabila memberitahu saya baru sahaja memeluk Islam dan saya mengucap hanya ditepi jalan, ustaz khuatir lafaz saya itu tidak sah saya diminta sekali lagi mengucap di Masjid Baitur Rahim,” ujar Thufail.

Sejak itu Thufail mendalami Islam terutama mempelajari bacaan dan isi kandungan al-Quran.

“Pelajaran pertama yang perlu saya pelajari adalah mengenai dua kalimah syahadah. Ketika itu semua anggota halakah diminta bersyahadah termasuk saya sendiri.

“Maka ini bermakna saya bersyahadah sebanyak tiga kali bagi mengesahkan bahawa saya kini merupakan seorang Muslim,” katanya.

Setelah memeluk Islam tentu sekali yang beliau nikmati kini adalah ketenangan hati yang sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata, sehingga beliau mampu melihat hidup ini secara optimis dan bersyukur dengan apa yang ada.

Lalu Thufail ingin sekali mengajak mereka yang memilih hidup dan muzik secara underground kepada Islam.

Antara alasan kuat beliau, tidak ada golongan ustaz atau pendakwah yang sudi masuk dalam kumpulan ini dan menjalankan dakwah terhadap mereka.

Untuk itu, Thufail menubuhkan kumpulan band rock, The Roots of Madinah. Ia untuk mengajak peminat-peminat aliran muzik keras dan tersendiri ini supaya berhijrah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,611 other followers

%d bloggers like this: