Rasulullah difitnah sebab kahwini Zainab


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Wahyu Allah yang memerintahkan rasulullah menikahi Zainab bertujuan menghapuskan amalan jahiliah yang menyamakan anak tiri dengan anak kandung.

APABILA Rasulullah SAW tidak segera mengahwini Zainab binti Jahsy sebagaimana diperintahkan Allah kerana bimbang timbul cemuhan masyarakat kerana mengahwini bekas isteri anak angkatnya sendiri, Allah menurunkan satu lagi wahyu buat baginda.

Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (al-Ahzab: 37)

Apabila Rasulullah menerima wahyu itu, baginda perlu memberitahunya kepada Zainab agar wanita itu mengetahui maksud sebenar di sebalik perkahwinan yang bakal berlangsung.

Akhirnya mereka pun berkahwin setelah Zainab tamat idah dari perceraiannya dengan Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah.

Dikatakan Zainab sangat gembira kerana merasakan perkahwinan dengan Rasulullah itu sangat istimewa.

Beliau dikatakan berkata kepada Rasulullah: “Rasulullah, bahawa aku (perkahwinan) sangat berbeza dengan isteri-isterimu yang lain. Mereka dikahwinkan oleh wali-wali mereka seperti ayah, saudara lelaki atau sanak keluarga. Sementara aku, Allahlah yang mengahwinkan aku denganmu.”

Namun seperti yang dijangka, apabila baginda mengahwini Zainab apa yang dikhuatiri akhirnya terjadi. Masyarakat mula bercakap mengenainya.

Berita baginda mengahwini janda anak angkatnya sendiri tersebar di seluruh pelosok dan Kota Madinah itu sendiri.

Sedangkan hikmah di sebalik perkahwinan itu semata-mata bagi menghapuskan tradisi Arab jahiliah sebelum ini yang menganggap anak angkat mempunyai taraf seperti anak kandung.

Bukan sahaja tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa angkat bahkan bagi menunjukkan bahawa anak angkat benar-benar berbeza keadaannya dengan anak kandung, bekas isteri mereka boleh dikahwini oleh bapa angkat.

Bekas isteri kepada anak angkat tidak termasuk dalam senarai calon isteri yang haram dinikahi dalam Islam sebagai mana ditetapkan oleh Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 23-24.

Namun, perkahwinan Rasulullah dengan Zainab tetap diputarbelitkan oleh para musuh Islam dari dahulu sehinggalah kini.

Walaupun telah jelas sebab musabab dan hikmah di sebalik perkahwinan itu, namun Rasulullah tetap dituduh dan difitnah.

Sesetengahnya mencipta kisah perkahwinan Rasulullah itu dengan menokok tambah cerita daripada peristiwa yang sebenarnya berlaku.

Antaranya, dikatakan selang beberapa hari selepas terjadinya perkahwinan antara Zaid dengan Zainab, Rasulullah ke rumah Zaid untuk mengunjungi anak angkat baginda itu. Kebetulan Zaid tidak ada di rumah pada masa itu, yang ada hanyalah isterinya, Zainab seorang diri.

Zainab dikatakan memberanikan diri bersemuka dengan Rasulullah dan berkata: “Zaid tidak ada di rumah, Ya Rasulullah! Silalah masuk dahulu!”

Namun Rasulullah pun memalingkan muka dengan cepat kerana adalah lebih baik lagi baginda beredar daripada menerima ajakan dari Zainab.

Akan tetapi secara tiba-tiba, angin bertiup agak kencang sehingga menyingkap hijab yang menutup wajah Zainab.

Maka dengan secara tidak sengaja, maka ternampaklah akan rupa paras Zainab yang menyebabkan baginda terpukau dan terpikat dengan kecantikan Zainab itu.

Namun baginda terus mengucapkan: “Maha Suci Allah yang mengawal hati!” berulang-ulang kali sehingga dapat didengari sendiri oleh Zainab.

Maka tahulah Zainab bahawa Rasulullah sudah jatuh hati terhadapnya.

Selepas itu Zaid pun pulang ke rumah lalu diceritakan oleh Zainab kepada Zaid akan kehadiran Rasulullah dan termasuk juga mengenai baginda yang kononnya sudah jatuh hati terhadapnya.

Mendengarkan itu dengan keadaan yang sangat marah Zaid pun segera menemui Rasulullah lalu berterus terang dengan baginda.

“Ya Rasulullah! Benarlah bagai dikatakan bahawa Zainab itu memang panjang lidahnya dan banyak mulutnya.

“Oleh itu saya hendak menceraikannya!”

Namun Rasulullah menasihatkan Zaid supaya bersabar dengan tingkah laku Zainab itu.

“Saya tidak tahan lagi dengannya, dia sangat suka bercakap yang bukan-bukan ya Rasulullah,” kata Zaid.

“Sekiranya begitu, ceraikanlah Zainab itu kalau itu jalan terbaik yang mampu kita lakukan,” kata baginda.

Sesudah itu, Zainab pun diceraikan oleh Zaid. Selang beberapa lama kemudian, Rasulullah pun meminang Zainab untuk diri baginda.

Akhirnya terjadilah pernikahan antara Zainab dan Rasulullah yang kononnya tidak ada kena mengena langsung dengan soal menghapuskan adat lama. Tetapi disebabkan Rasulullah sendiri dikatakan telah terpikat dengan Zainab.

Pembohongan terhadap Rasulullah

Pelbagai kisah bohong seperti itu dikatakan banyak terdapat dalam kitab-kitab sejarah lama dan baru, yang memberikan kesimpulan bahawa:

1) Rasulullah mungkin sudah menyimpan hati terhadap Zainab sebelum wanita itu berkahwin dengan Zaid lagi.

Ini apabila dikatakan Rasulullah dikatakan beberapa kali cuba menghalang anak angkatnya dari meminang Zainab dengan segala macam alasan, termasuk soal pelbagai perbezaan darjat.

Oleh kerana Zaid tetap berkeras, terpaksalah baginda membenarkan permintaan Zaid untuk meminang itu dengan meminta Ali bin Abi Talib sendiri yang menemui keluarga Zainab itu.

2) Bagi menyampaikan keinginan dan hasrat hati baginda yang terpaut dengan Zainab, maka dikatakan baginda sering kali berjalan-jalan di hadapan rumah Zaid terutama semasa anak angkat baginda itu tidak ada di rumah dan berpura-pura untuk mencari Zaid.

Tetapi dikatakan baginda hendak mengambil kesempatan untuk melihat wajah Zainab dan Zainab menyedari kecantikannya membuatkan baginda terpikat kepadanya.

3) Sebagai perempuan yang rupawan dan bangsawan dan mengetahui baginda Rasulullah menyukai dirinya sudah tentu Zainab lebih suka menjadi isteri Rasulullah daripada menjadi isteri kepada Zaid, seorang bekas hamba.

Ini menyebabkan Zainab sering membuat pelbagai kerenah dan menghina Zaid dengan maksud supaya dia segera diceraikan oleh Zaid.

Musuh-musuh Islam terutama musuh dalam selimut cuba membuktikan bahawa baginda sebenarnya hendak merebut isteri Zaid dengan cara tipu helah. Perkahwinan baginda itu dikatakan berdasarkan nafsu semata-mata.

Walaupun didedahkan kisah yang sebenar terutamanya turunnya wahyu-wahyu yang berkaitan peristiwa itu, tetapi masih ada yang termakan dan percaya dengan kisah yang direka-reka itu.

Namun, sebagai mana yang kita maklum, bahawa Rasulullah yang mempunyai akhlak terpuji yang melakukan sesuatu atas wahyu Allah itu tentu sahaja tidak seburuk tuduhan kaum kafir itu.

Sesunggunya, Rasulullah tidak bertindak mengikut hawa nafsu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,645 other followers

%d bloggers like this: