Siti Aishah sedih hadapi fitnah munafiq


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEPANJANG siang dan malam, Saidatina Siti Aishah menangis kesedihan mengenangkan nasib dirinya yang menjadi mangsa fitnah yang tidak disangka-sangka.

Walhal, fitnah tersebut sengaja direka oleh Abdullah bin Ubay bagi mengalih perhatian orang ramai terhadap dirinya yang dicela.

Sehingga diturunkan ayat al-Quran apabila dia melakukan fitnah bagi melaga-lagakan perpaduan yang terjalin antara puak Muhajirin dan Ansar sebelum ini.

Dengan perhatian tertumpu kepada Siti Aishah, maka orang ramai akan melupakan isu sebelum ini. Namun ramai yang tidak mempercayai fitnah terhadap isteri Rasulullah itu kerana mereka lebih mengenali siapa sebenarnya Abdullah bin Ubay.

Walaupun tidak percaya tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk mencegah fitnah itu daripada terus tersebar.

Begitupun apabila membabitkan soal maruah dan harga diri, Siti Aishah sangat berharap dirinya mendapat pembelaan.

Beliau menyerahkan semuanya kepada Allah kerana pastinya Allah akan memberi jawapan.

Cuma yang sukarnya kini, jawapan yang berbentuk wahyu itu tidak turun kepada dirinya kerana beliau bukan seorang nabi.

Lalu Siti Aishah amat berharap sekurang-kurangnya Allah akan mendatangkan mimpi yang benar kepada suaminya, Rasulullah.

Sehinggalah Rasulullah akhirnya mengunjungi isteri dan keluarga isterinya di rumah mereka untuk mencari jalan keluar dari kemelut fitnah itu.

Apabila tiba gilirannya, Siti Aishah pun berkata: “Saya seorang perempuan yang masih muda. Saya tidak banyak membaca al-Quran. Demi Allah, sesungguhnya saya mengerti bahawa tuan sudah mendengar berita (fitnah) itu.

“Namun ingin saya katakan kepada tuan, bahawa saya bersih dan tuduhan itu sama sekali tidak benar. Allah lebih Maha Mengetahui saya bersih daripada tuduhan itu dan saya berharap tuan percaya kepada saya.

“Demi Allah, saya pernah belajar dari tuan mengenai nasihat dari ayahanda Nabi Yusuf yang berkata; Maka sabar itu adalah lebih baik dan Allahlah tempat meminta pertolongan atas segala apa yang berlaku!”

Tidak lama selepas itu, malaikat Jibrail pun turun yang bermakna Allah akan menurunkan wahyu.

Rasulullah pun terus melelapkan mata sebagaimana kebiasaan baginda setiap kali menerima wahyu Allah itu.

Abu Bakar As Siddiq yang menyaksikan kejadian itu terus menyelimutkan Rasulullah lebih-lebih lagi melihatkan peluh membasahi dahi dan tubuh badan Rasulullah sehingga baginda menggeletar kerana beratnya menerima wahyu tersebut.

Masing-masing menunggu dengan penuh debar.

Siti Aishah berkata: “Semasa saya melihat Rasulullah dalam keadaan yang demikian, saya sedikit pun tidak merasa takut. Saya yakin saya di pihak benar dan Allah sedang menolong saya, tidak mungkin Allah hendak menganiaya saya.

“Namun saya bimbang melihat ayah dan ibu saya yang kelihatannya begitu gelisah serta cemas kerana bimbang sekiranya Rasulullah menerima wahyu yang menyatakan fitnah itu adalah benar dan yang bukan direka-reka.”

Apabila baginda telah sedar, sebagai tanda wahyu telah selamat diterima, baginda pun bangun dan duduk sambil mengelap sisa-sisa peluh yang masih ada.

Walaupun wahyu tersebut berat namun apabila baginda mula menguntum senyum dan gembira, masing-masing menarik nafas lega.

Wahyu tersebut adalah ayat 11 hingga 21 surah an-Nur yang antara lain membawakan juga bentuk perundangan dan hukum atas perkara menuduh perempuan yang melakukan zina.

“Sesungguhnya mereka yang sengaja menyebarkan berita fitnah itu terhadap golongan yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah itu mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”.

Baginda pun berkata: “Wahai Aishah, sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia sudah melepaskan kamu daripada tuduhan fitnah maka bersyukurlah kamu wahai Aishah.”

Mendengarkan kata-kata menantunya itu dan melihatkan anaknya sendiri tidak cuba berkata apa-apa, bonda Siti Aishah, Ummu Rumman dengan nada yang gembira meminta anaknya itu bangun dan mengucapkan terima kasih kepada suaminya atas turunnya wahyu tersebut.

Bagaimanapun Siti Aishah menjawab sambil menggeleng-geleng kepalanya: “Demi Allah saya tidak akan berdiri bagi berterima kasih terhadap Rasulullah kerana saya tidak akan memuji melainkan kepada Allah sahaja kerana Dialah yang sudah membersihkan nama saya.

“Sesungguhnya, kalian telah mendengar tuduhan fitnah lagi dusta itu. Namun kalian tidak cuba menafikannya dan tidak pula cuba menghapuskan fitnah tersebut.”

Demikianlah Siti Aishah yang tidak bercakap sepatah kata pun kepada baginda selepas turunnya wahyu itu dan tidak mematuhi kata-kata ibunya itu kerana beliau masih kesal dengan apa yang berlaku.

Namun baginda yang memahami perasaan isterinya itu tidak pula berkecil hati malah memberikan masa kepada isterinya itu untuk kembali ‘sejuk’.

Sambil tersenyum baginda sendiri bangun, mengucapkan salam lalu keluar dari rumah mertuanya itu kerana adalah lebih penting kepada baginda memberitahu orang ramai mengenai wahyu yang baru diterimanya sebentar tadi.

Hukuman qazaf

Sangat penting kepada baginda membersihkan nama isterinya yang ternyata Siti Aishah seorang wanita yang suci dan sama sekali tidak layak dipalitkan dengan sebarang tuduhan yang kotor dan keji sebagaimana yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubay.

Kecuali yang membuat onar, seluruh penduduk Madinah kini menyedari kesilapan mereka yang tidak mempertahankan maruah dan kesucian isteri baginda itu.

Malah ada yang menyesal kerana mula termakan dengan kata-kata fitnah Bapa Munafik itu.

Lebih-lebih lagi apabila Rasulullah menyebutkan ayat dari surah an-Nur itu yang maksudnya;

“Mengapa semasa berita itu tersebar, kalangan orang Mukmin tidak bersangka baik kepada diri mereka sendiri dan mengapa mereka tidak berkata ini semua dusta.”

Walaupun segala-galanya telah terjawab dan kebenaran dapat dibuktikan namun ia tidak habis begitu sahaja.

Mereka yang menyebabkan fitnah ini tersebar sehingga menyebabkan hati mereka yang tidak bersalah terguris luka dan menanggung malu, tidak boleh terlepas begitu sahaja.

Lalu Rasulullah menyiasat dengan lebih rapi dan ingin mengajar mereka yang menyebarkan fitnah terhadap isteri baginda dengan melaksanakan hukum mengikut perintah Allah.

Ia seperti yang tertulis dalam wahyu menerusi surah an-Nur itu: Dan mereka yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah (sebat) mereka yang menuduh itu 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian (keterangan) mereka untuk selama-lamanya. Dan mereka itu adalah tergolong sebagai fasik.

Kecuali mereka yang bertaubat sesudah itu serta memperbaiki (dirinya) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (an-Nur: 4-5)

Setelah dikenalpasti, baginda pun berjaya menahan mereka yang terlibat dalam penyebaran fitnah terhadap Siti Aishah yang kononnya bertindak curang terhadap baginda.

Mereka adalah pembantu kepada keluarga Abu Bakar As Siddiq, Ummu Misthah, Hassan bin Tsabit dan Hamnah binti Jahsy.

Mereka tetap dihukum dengan hukum qazaf (hukuman ke atas mereka yang membuat tuduhan zina) walaupun hanya dengan terpengaruh dengan kata-kata fitnah Abdullah bin Ubay bin Salul. Disebabkan mereka tidak menapis atau mempertahankan Siti Aishah malah sanggup menyebarkan fitnah tersebut maka, hukuman dilaksanakan agar kesilapan itu tidak diulangi.

Bagaimana pula dengan dalang yang mereka-reka dan menyebarkan fitnah ini, adakah dia turut menerima hukuman ini?

Rasulullah terus menganggap bahawa Abdullah bin Ubay bukan sahaja seorang yang munafik tetapi terkeluar dari Islam!

Walaupun hukuman tidak dapat dilaksanakan ke atasnya, Rasulullah tahu apa yang bakal menimpa Abdullah di hari akhirat kelak adalah lebih pedih.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: