Kenal bawa cinta kepada Islam


BAGI pemuda warga Perancis ini, Islam adalah ubat yang paling mujarab menyembuhkan apa juga penyakit yang dihidapi manusia. Tetapi bukan itu sebab yang mendorong Matthieu @ Matthew Cioccocini, 22, memeluk Islam.

“Sebelum mendapat sebarang penyakit sosial, saya cegahnya dengan segera memeluk Islam,” katanya.

Pada umurnya 13 tahun, Matthew dan keluarganya berpindah dari bahagian timur laut (sempadan dengan Belgium) ke bahagian barat Perancis di mana ramai imigran Muslim tinggal di situ.

Ini membolehkan Matthew bergaul baik dan rapat dengan imigran yang kebanyakannya berhijrah dari Maghribi, Turki, Algeria dan Tunisia. Ketika itulah buat pertama kalinya beliau mengenali agama Islam.

Lagi pula sejak kecil, orang tuanya tidak pernah menanam sebarang ajaran dan kepercayaan beragama. Sebabnya, bapa beliau adalah seorang ateis dan ibunya jarang ke gereja walaupun mengaku beragama Kristian Katholik.

Matthew tidak menghadapi masalah bergaul dengan rakan-rakan sebaya daripada golongan imigran Islam itu. Mereka berkawan dan sering bermain bola sepak bersama-sama.

Sehinggalah pada suatu hari sebuah pertubuhan dakwah yang dikenali sebagai Fi Sabilillah mengajak Matthew ke masjid berhampiran untuk bersama-sama mendengar sedikit penerangan mengenai Islam.

Tujuan asal mereka bukan untuk menarik Matthew supaya memeluk Islam. Sebaliknya, mahu Matthew melihat sendiri dan mengenali Islam supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan buruk sebagaimana dilaporkan oleh media Barat.

Di situlah bermulanya pengenalan Matthew dengan Islam yang kemudiannya dia amat terpesona untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai agama itu.

“Saya menjadi amat tertarik mendengar penerangan mengenai Islam. Saya tidak pernah tahu apa pun mengenai agama sebelum ini.

“Apabila pertama kali mendengar dan belajar mengenai Islam, saya bagaikan jatuh cinta. Ia sungguh mengasyikkan,” katanya.

Daripada sekadar hanya untuk mengenali, Matthew menjadi benar-benar berminat menjadikan Islam itu sebagai agama untuk dianuti. Cuma sebagai anak yang masih terlalu muda, niatnya itu mesti diketahui oleh ibu bapanya.

Persoalannya, adakah niatnya itu akan diterima oleh ibu bapanya? Namun dia bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.

Matthew sangat bertuah kerana ibu bapanya tidak menghalang niat anak mereka itu. Ibu bapa Matthew tahu bahawa anak mereka telah membuat satu pilihan yang baik dan selamat kerana sekurang-kurangnya dia akan menghabiskan masa di masjid.

“Adalah lebih baik saya berada di masjid berbanding di jalanan mengganggu orang yang lalu lalang, mencuri dan bergaduh dengan budak-budak lain sebagaimana masalah sosial menimpa anak muda lain yang tidak diikat dengan ajaran agama,” katanya.

Matthew berpendapat Islam adalah ajaran terbaik untuknya walaupun dia tidak didedahkan dengan agama lain selain Islam.

“Sebabnya, dalam Islam semuanya lengkap. Islam juga mengajar umatnya supaya saling menghormati orang lain walaupun berbeza agama.

“Ini yang saya temui apabila rakan-rakan daripada kalangan imigran Muslim begitu baik dan menghormati saya. Maka daripada situ Islam telah membuktikan kebenaran ajarannya.

“Apabila mereka sering bertemu untuk berbicara soal agama pula, bererti Islam juga sangat menitik beratkan soal belajar dan terus belajar atau menuntut ilmu tanpa had dan waktu,” tambahnya.

Namun sayang sekali, beberapa temannya yang diajak untuk memeluk Islam enggan berbuat demikian.

“Akhirnya mereka menjadi penagih dadah, kaki botol dan mengadakan seks sebelum nikah.

“Daripada situ, saya merasakan betapa beruntungnya saya bertemu dan menganut agama Allah ini.

“Ini kerana Islamlah yang banyak menolong saya menjalani kehidupan sehari-hari dengan bersih tanpa memudaratkan diri sendiri,” kata beliau.

Matthew berkata, pada masa kasar kawan-kawan yang belum menganut Islam itu menikmati kehidupan yang menyeronokkan kerana boleh minum arak, bebas bergaul dengan perempuan yang bukan mahram sehinggalah mengadakan seks sebelum nikah.

“Tetapi apa guna semua itu jika akhirnya merosakkan diri sendiri,” katanya yang sedang melanjutkan pengajian dalam sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Victoria, New Zealand.

Bagi pemuda ini, Islam umpama ubat paling mujarab menyembuhkan penyakit masyarakat.

Dalam keadaan yang paling parah sekali pun, iaitu sama ada sehingga dihukum penjara mahupun ketagihan dadah atau alkohol yang teruk, maka ubat yang paling mujarab adalah Islam.

“Islam akan membawa mereka kepada taubat nasuha, kerana yang pertama bakal dirawat oleh Islam adalah hati.

“Apabila hati kembali sihat dan bersih maka ia mampu melawan apa juga penyakit yang dideritai.

“Sesungguhnya Allah SWT adalah doktor yang paling hebat yang boleh ditemui untuk merawat kita. Jika kita sungguh-sungguh untuk bertemu dengannya terutama dalam setiap solat dan doa maka Dia akan banyak membantu kita,” kata Matthew.

Sejak melafazkan dua kalimah syahadah, Matthew mengaku beliau tidak menghadapi sebarang tabu atau dipersoalkan sebagai seorang Eropah, kulit putih yang memeluk Islam.

Namun beliau tidak menafikan, di Eropah, kalangan terutama warga kulit putih mulai ketakutan melihat perkembangan Islam yang begitu pesat.

“Mereka melihat Islam sebagai agama yang terlalu cepat masuk ke Eropah dan ramai yang bimbang melihat semakin ramai kalangan warganya yang memeluk Islam, bukan jumlah yang semakin ramai disebabkan kemasukan pendatang Islam,” katanya.

Masyarakat Perancis sendiri, kata Matthew, pada umumnya mudah percaya dengan apa yang dilaporkan oleh media massa mengenai Islam.

Antaranya, Muslim adalah pengganas dan mereka senang berpoligami sehingga merendahkan kedudukan wanita dan pelbagai lagi citra negatif tentang Islam dan Muslim.

“Namun, untungnya mereka yang di sekeliling saya mulai memahami bahwa Islam tidak seburuk yang disangka apabila mereka melihat perilaku dan perubahan sikap saya pada mereka.

“Mereka melihat saya mampu menjadi seorang mahasiswa yang baik dan Islam tidak sejahat seperti yang mereka percaya selama ini.

“Saya cuma ingin berpesan pada semua, berusahalah untuk mengenal Islam. Bukalah buku! Membaca dan belajar bukan suatu yang sukar untuk dilakukan. Insya-Allah, Allah SWT akan menolong kita semua menemui kebenaran yang hakiki,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: