ULAMA’ DAN KEPENTINGAN ILMU DAN WAKTU


Oleh : Ibn Rajab As-Syafie.

Diantara tulisan-tulisan yang masyhur di dalam bab ini ialah kitab yang dikarang oleh ustaz as-Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah yang bertajuk : Nilai Masa Di Sisi Ulama’. Beliau telah mengumpulkan beberapa karangan yang membukti betapa ulama’ terdahulu mengambil berat masalah ilmu dan waktu.

Buku ini amat sesuai dimiliki oleh penuntut-penuntut ilmu dan mereka yang ingin memaksimakan masa dan usia mereka dengan ilmu. Kisah-kisah ulama’ tersebut amat sesuai dijadikan panduan dan pedoman yang berguna.

Kisah Ibn Abd. Qais : Pegang Matahari.

Beliau merupakan seorang tabie yang kuat beribadah, serta zuhud orangnya. Pada suatu hari datang seorang lelaki meminta beliau bercakap-cakap dengannya, lalu beliau berkata: Peganglah matahari.

Kata-kata Ibn Qais tadi menunjukkan kepada kita bahawa matahari sentiasa berjalan di atas paksinya dengan tidak henti-henti. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa masa dan usia tidak akan menunggu sesiapa, jadi bagaimana beliau hendak bercakap-cakap (yang sia-sia) dengan lelaki tersebut, sedangkan masa tidak mengizinkan.

Kisah Abu Yusuf.

Beliau merupakan salah seorang sahabat Imam Hanafi ra. Kisah ini diriwayatkan oleh salah seorang muridnya (Ibrahim bin al-Jirah) yang datang melawat semasa sakitnya: Apabila Abu Yusuf jatuh sakit, aku melawatinya, dan aku dapati beliau sedang berada di dalam keadaan tidak sedar diri. Apabila sedar, beliau berkata: Wahai Ibrahim, apakah kamu mempunyai sesuatu persoalan? Aku menjawab: Sedangkan kamu dalam keadaan begini? Katanya lagi: Tidak mengapa, kitakan sedang belajar, semoga persoalan yang bakal kita bincangkan akan memanfaat manusia yang meminta.

Oleh kerana aku tidak mempunyai sebarang persoalan, beliau pun mengemukakan kepadaku satu soalan: Wahai Ibrahim, mana satu lebih afdal (baik) melontar, dalam keadaan berjalan ataupun berkenderaan? Aku menjawab: Dalam keadaan berjalan. Katanya: Salah. Kataku lagi: Dalam keadaan berkenderaan. Katanya: Juga salah.

Aku bertanya: Jadi, mana satukah yang betulnya? Jawab beliau: Bagi seseorang yang ingin berdoa di samping melontar hendaklah dia melontar sambil berjalan, manakala yang tidak ingin berdoa, eloklah melontar sambil menaiki kenderaan.

Kemudian aku berjalan ingin pulang, sesampainya aku di muka pintu rumah beliau aku mendengar teriakan yang mengatakan beliau telah meninggal dunia, rahimahullah.

Kisah Ibn Khaqaan.

Beliau adalah seorang sasterawan dan penyair, selalu mencari peluang menuntut ilmu walaupun selepas dilantik menjadi menteri khalifah al-Mutawakil (al-Abbasi). Oleh kerana sayangnya pada ilmu pengetahuan, beliau menyimpan khazanah ilmunya di dalam stokin, apabila beliau menuju ke tandas ataupun ke masjid, beliau akan mengeluarkan kitab tersebut dan membacanya sambil berjalan. Begitu juga semasa pulang daripada tempat-tempat tersebut. Dan apabila khalifah ingin keluar, beliau juag akan mengeluarkan kitabnya dan membaca sehingga khalifah kembali berada di sisi.

Program Imam at-Tabari.

Beliau seorang ahli tafsir yang masyhur. Beliau juga terkenal dengan pengawasannya terhadap ilmu pengetahuan. As-Simsimi berkata: Beliau menulis setiap hari empat puluh helaian dalam masa empat puluh tahun.

Muridnya (al-Qadhi Abu Bakar) telah meriwayatkan bahawa beliau seorang yang terlalu menjaga rutin hariannya. Selepas mengambil sarapan pagi beliau akan tidur kemudian bangun dan solat zohor. Sejurus kemudian beliau akan mula menulis hingga masuk waktu Asar. Pabila selesai menunaikan Fardhu Asar, dia akan bersama murid-muridnya menelaah ilmu sehingga Maghrib. Selepas Maghrib pula beliau akan mengajar ilmu Feqah sehingga larut malam.

Kalau kita perhatikan, betapa beliau pandai membahagikan masa dan usianya demi kepentingan agama, masyarakat dan dirinya sendiri. Beliau tidak pernah membazirkan walaupun sesaat pada perkara yang tidak berfaedah, masa baginya biarlah digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah ataupun untuk mengambil faedah daripada orang lain. Inilah dia ikutan kita, seorang ahli agama yang menggadaikan umurnya semata-mata untuk agama, untuk Allah, untuk beribadah dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebuah kisah lain, antara lainnya mengisahkan kehidupan Imam at-Tabari yang tidak boleh terpisah daripada ilmu. Kisah ini diriwayatkan oleh salah seorang sahabat beliau (al-Murafi bin Zakaria) yang datang menziarahi waktu sakitnya. Apabila Imam at-Tabari mendengar salah seorang pelawat membaca doa ke atasnya lalu dia berkata, tolong ambilkan aku sebatang pen dan sehelai kertas, kemudian beliau menulis doa tersebut. Salah seorang daripada mereka bertanya: Apakan kamu masih menulis ilmu sedangkan kamu dalam keadaan begini? Jawab beliau: Sememangnya menjadi kewajipan setiap manusia untuk tidak meninggalkan ilmu berlalu pergi begitu sahaja hingga mati.

Kisah al-Bairuni.

Pada suatu hari datang seorang sahabat melawat baginda yang pada ketika itu berusia tujuh puluh lapan tahun. Katanya: Wahai sahabatku, bagaimana kamu mengira bahagian (pesaka) seorang nenek? Jawab sahabat berkenaan: Pada usiamu yang begini? Katanya lagi: Wahai sahabat, adalah lebih baik aku meninggalkan dunia fana ini dalam keadaan aku mengetahui jalan penyelesaiannya daripada aku meniggal dengan kejahilan.

Oleh yang demikian sahabat berkenaan mengulangi cara pengiraan sebagaimana yang dikehendaki, kemudian beliau berundur balik. Sesampainya beliau di tengah jalan, beliau mendengar jeritan orang yang mengatakan kewafatan al-Bairuni rahimahullah.

Kisah Sulaim ar-Razi.

Imam Sulaim ar-Razi ini merupakan seorang yang amat mementingkan masa dan ilmu, warak dan selalu menghisab dirinya. Beliau tidak pernah meninggalkan sedetik waktu tanpa faedah. Samada beliau akan belajar, mengajar, menyalin ataupun membaca. Diriwayatkan daripada beliau sendiri: Aku sempat menghabiskan satu juzuk (bab) bacaanku di dalam perjalanan pulang ke rumahku.

Perkara ini diakui oleh salah seorang sahabat beliau (al-Muammil bin al-Hassan) : Aku terlihat Sulaim mengasah pensel sambil mulutnya terkumat kamit menyebut sesuatu. Pabila ditanya, aku mengetahui beliau sedang membaca al-Quran semasa mengasah pensel nya, kerana ditakuti masa akan berlalu begitu sahaja tanpa beliau mengambil apa-apa faedah ataupun suatu tindakan yang positif. Inilah dia seorang ulama’ Islam yang hidup di zaman silam, oelh sebab itulah tidak dinafikan bahawa Islam pada zaman mereka telah melalui satu zaman kegemilangan yang tidak ada tolok bandingnya.

Bila Imam al-Juwaini Tidur dan Makan ?

Beliau adalah Imam masjid al-Haram dan masjid an-Nabawi. Katanya: Aku tak tidur dan tak makan pada kebiasaannya, tetapi apabila terlalu mengantuk aku tertidur, samada pada waktu malam ataupun siang, begitu juga aku makan jika aku terasa nak makan, tidak kira masa dan ketika. Hal ini menggambarkan betapa kelazatannya hanya tertumpu pada ilmu semata-mata.

Kisah Abu al-Wafa’.

Imam Abu al-Wafa’ pernah berkata: Tidak bisa untukku persiakan setiap detik kuniaan yang Maha Esa buatku, hatta kalaulah lidahku kelu untuk meneruskan hafalan dan mataku penat menatapi patah tulisan, aku akan berusaha menggerakkan fikiranku dengan memikirkan sesuatu cadangan maupun permasalahan, aku tidak akan berasa lega dan berpuas hati melainkan setelah aku mendapati jalan penyelesaiannya.

Aku juga mendapati, kesusahan menghadapi ilmu ini pada usiaku lapan puluhan lebih daripada usiaku dua puluhan. Aku juga berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan masa makanku, kadangkala aku hanya memadai dengan sepotong kek dan seteguk air sejuk. Sehingga aku dapat meluangkan semaksima masa yang mungkin untuk ilmu pengetahuanku. Sesungguhnya harta yang paling berharga di sisi ulama ialah waktu dan ilmu. Kerana waktu itu tidak akan menunggu seseorang sebaliknya tanggungjawab yang datang bertandang pula bertindan-tindan.

Setelah tiba saat kewafatan beliau, kedapatan wanita menangis kerana tidak mahu terpisah daripada insan tersayang, tetapi beliau dengan tenang berkata: “Sesungguhnya aku takut berbuat dosa pada Tuhan Yang Rahman selama lima puluh tahun. Kerana selama masa tersebut aku telah mengeluarkan fatwa-fatwa yang mungkin tidak bertepatan dengan kehendak Allah. Maka doakanlah agar aku diampuni-Nya.”

Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa pesaka melainkan kitab-kitab nya yang banyak serta beberapa helai pakaian yang hanya cukup untuk dijadikan kain kafan serta membayar segala hutang-hutangnya. Lihatlah betapa agungnya pengorbanan seorang hamba terhadap tuhannya yang Esa. Walaupun telah banyak mengorbankan masanya demi kepentingan agama, tapi masih tidak berpuas hati, masih lagi takut seksa Ilahi. Tapi kita, apakah yang kita cari? Renungilah perbuatan-perbuatanmu wahai diri.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,645 other followers

%d bloggers like this: