Ketelitian nabi Muhammad s.a.w dalam bertindak


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

TENTU sahaja Zaid bin Arqam tidak dapat menerima dakwaan Abdullah bin Ubay sebagai gurauan kerana beliau mendengar sendiri betapa bapa munafik itu menabur duri-duri fitnah yang berapi sedangkan Muhajirin dan Ansar sudah mula berbaik-baik semula atas soal yang sedikit itu.

Lalu Zaid mengadu perbuatan Abdullah kepada Rasulullah supaya baginda mengambil tindakan terhadap musuh dalam selimut itu.

Aduan Zaid itu turut menyebabkan Umar bin Khattab marah membuak-buak hungga mahu membunuh Abdullah.

Namun Rasulullah tidak mahu terburu-buru. Malah baginda menguji akan kebenaran aduan Zaid kerana bimbang mungkin yang berlaku hanya satu salah faham.

“Barang kali kamu yang marah-marah Ibnu Ubay atau kamu yang salah dengar,” kata baginda.

“Demi Allah ya Rasulullah sungguh saya mendengarnya berkata begitu. Tidak ada sebab saya hendak memarahi Abdullah kecuali dia yang telah menyebabkan saya sangat marah selepas mendengar dia mengeluarkan kata-kata fitnah itu,” tegas Zaid.

Saat itu juga Zaid sangat berharap dan berdoa supaya Allah menurunkan wahyu bagi membenarkan segala apa yang beliau adukan kepada Rasulullah itu.

Umar pula berkali-kali meminta kebenaran baginda untuk membunuh Abdullah yang pandai bermuka-muka itu.

Namun baginda tetap berpendirian tidak mengambil tindakan secara terburu-buru sehingga baginda bertemu sendiri dengan Abdullah.

Ketika bertemu baginda bertanya:

“Wahai Abdullah, sekiranya kamu terlanjur berkata sebagaimana yang saya dengar, bertaubatlah kamu kepada Allah. Sekiranya tidak hendaklah kamu menunjukkan kebenaran kamu dengan bersumpah kepada Allah.

“Yang demikian itu bagi menunjukkan yang kamu tidak berkata seperti yang dikatakan oleh Zaid kepadaku.”

Sesuai dengan gelarannya sebagai bapa munafik, Abdullah terus berbohong.

Dia berkata: “Demi Zat yang sudah menurunkan kitab ke atas tuan, wahai Muhammad, sungguh, saya tidak berkata seperti yang dikatakan oleh si Zaid. Kerana sesungguhnya Zaidlah yang berdusta kepada tuan. Dusta kepada kita semua.”

Sungguh malang nasib Zaid, sudahlah aduannya tidak dapat diterima oleh Rasulullah ditambah Abdullah pula sanggup bersumpah atas nama Allah.

Memburukkan lagi keadaan, ahli keluarganya sendiri menuduhnya sengaja mencari kemarahan Rasulullah.

Tetapi Zaid tetap mempertahankan dirinya.

“Demi Allah! Aku benar-benar mendengarkan kata-kata fitnah lagi dusta daripada mulut Abdullah bin Ubay.

“Sekalipun yang berkata jahat seperti itu datangnya dari mulut bapaku sendiri, tetap aku adukan juga kepada baginda,” ujarnya tegas.

Walaupun Zaid berasa sedikit kecewa dengan nasib yang menimpanya tetapi beliau yakin kebenaran akan terserlah juga pada suatu hari nanti.

Namun seperkara yang sangat menarik, tidak sahaja para sahabat dan umat Islam lain yang semakin tidak berpuas hati dengan tindak tanduk Abdullah yang munafik itu, malah anaknya sendiri sangat malu dengan perlakuan bapanya itu.

Sebagai seorang yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, Khubab anak lelaki Abdullah menawarkan diri kepada Rasulullah untuk membunuh bapanya kerana beliau sedar kata-kata bapanya itu adalah satu cubaan jahat untuk menjatuhkan Islam.

Baginya, kata-kata fitnah itu juga merupakan senjata, walaupun tidak nampak bentuk dan tajamnya tetapi mampu membunuh sebarang kehidupan di muka bumi.

Sebagaimana Umar al Khattab, Khubab juga berulang-alik menemui Rasulullah untuk mendapatkan kebenaran membunuh bapanya sendiri.

“Ya Rasulullah, saya sudah mendengar berita tuan hendak membunuh bapa saya.

“Sekiranya benar, saya minta tuan perintahkan sahaja kepada aku, anaknya untuk melaksanakan tugas yang berat ini, akan saya membawa kepala bapa saya itu kepada tuan.

“Demi Allah, daripada tuan perintahkan orang lain, lebih baik tuan perintahkan saya sahaja untuk membunuh bapa saya itu,” kata Khubab.

Mungkin Rasulullah tidak berputus asa untuk menyedarkan Abdullah. Dengan harapan bapa munafik itu akan insaf dan menjadi seorang mukmin yang sejati, baginda turut menolak permintaan Khubab itu.

Walaupun kecewa, Khubab beliau sempat menahan bapanya dan memberikan amaran keras kepada bapanya: “Demi Allah, bapa jangan masuk ke Madinah sebelum bapa mengaku, bapalah yang hina dina dan sesungguhnya Rasulullah itulah yang mulia! Kecuali jika baginda izinkan bapa masuk ke Madinah supaya bapa mengerti siapakah yang hina dan siapakah yang hina, bapa atau Rasulullah,” tegas Khubab.

Advertisements
Comments
One Response to “Ketelitian nabi Muhammad s.a.w dalam bertindak”
  1. Habib Ahmad berkata:

    HARI INI MAJLIS HAUL AKBAR DI MASJID NEGERI SHAH ALAM MULAI JAM 5.30 PM – SEMUA DI JEMPUT HADIR

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,072 other followers

%d bloggers like this: