Madinah dambaan umat Islam


Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA

 

MADINAH Al-Munawwarah merupakan kota kedua suci bagi umat Islam selepas Mekah Al-Mukarramah. Ia menjadi dambaan bagi umat Islam untuk mengunjunginya walaupun sekadar sekali sepanjang hayat.

Terletak di utara Mekah kira-kira 447 kilometer (km) atau lebih kurang tujuh jam perjalanan dari Mekah. Sebelah utara Kota Madinah disempadani dengan Bukit Uhud dan sebelah selatan disempadani dengan Bukit ‘Iyr.

Di sebelah timur disempadani dengan laba hitam yang dinamakan Harrah al-Sharqiyyah dan di sebelah barat dengan laba hitam yang dinamakan Harrah al-Gharbiyah.

Madinah dahulunya dikenali sebagai Yathrib sempena dengan nama orang yang mula-mula membuka penempatan di sana iaitu Yathrib bin Ubayl bin Iwadh dari keturunan Sam anak Nabi Nuh a.s

Tempat-tempat menarik

Terdapat banyak tempat menarik dan bermakna untuk dilawati di bandar suci ini. Di bandar Madinah itu sendiri terutama di dalam kawasan penempatan jemaah haji (Markaziyah), tempat tumpuan utama dilawati adalah Masjid Nabawi.

Pagar Masjid Nabawi dahulunya merupakan tempat terdirinya Kota Madinah semasa zaman Rasulullah SAW.

Untuk melalui pintu masuk utama masjid ini, perlu melewati dataran jam yang kadangkala diserikan dengan kicauan burung merpati. Daripada pintu ini kita akan terus berjalan menuju ke pintu utama belakang masjid (Bab Malik Fahad).

Apabila masuk sahaja ke pintu ini lebih kurang 10 meter ke sebelah kanan terdapat sekeping jubin berbentuk bulatan dan berwarna kehitaman. Ia ditutup dengan karpet dan dijaga oleh seseorang.

Di sinilah dahulu terletaknya perigi Madinah yang menjadi sumber minuman penduduk zaman Rasulullah SAW.

Apabila kita menuju ke hadapan dalam masjid sambil menghadap kiblat, lebih kurang pada kedudukan 50 meter dari pintu masuk utama atau pada tempat letak kasut bernombor 200 dan ke atas, akan kita dapati bahagian Masjid Nabawi yang terbuka.

Kawasan yang terbuka inilah diberitakan merupakan kebun kurma seorang sahabat yang diwakafkan untuk didirikan masjid iaitu Abdul Rahman bin Auf.

Apabila kita maju ke hadapan lagi, pada sebelah kirinya kita akan mendapati satu tempat sedikit tinggi dan berpagar. Inilah tempat ahli suffah iaitu satu tempat di mana para-para sahabat beriktikaf untuk mempelajari atau menerima hadis daripada Rasulullah SAW. Antaranya adalah Abu Hurairah r.a

Di hadapan tempat berpagar ini, ada satu kawasan berpagar dan bertembok batu berwarna hijau. Inilah hujurat iaitu rumah Aisyah isteri Rasulullah SAW. Di dalamnya terdapat kubur Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda iaitu Abu Bakar dan Umar.

Sementara itu, antara makam Nabi dengan Mimbar Nabi adalah raudah iaitu taman di antara taman-taman syurga menjadi tempat rebutan umat Islam yang berkunjung ke Madinah. Bersebelahan dengan mimbar sekarang iaitu di sebelah kiri mimbar utama terdapat mihrab solat lama dipercayai mihrab Nabi SAW.

Selain itu, sebaris mihrab utama iaitu tempat imam mengetuai solat sekarang kira-kira 10 meter sebelah kiri mihrab ini terdapat mihrab lama dipercayai mihrab Khalifah Uthman. Menghadap kiblat atau mihrab solat utama di sebelah kanannya adalah pintu utama Bab Salam tempat utama umat Islam masuk ke masjid dan sebelah kiri mihrab adalah pintu Babul Baqi’. Berhadapan pintu ini terdapat perkuburan umat Islam Madinah dikenali sebagai Perkuburan Baqi.

Perkuburan Baqi pada asalnya mempunyai dua tempat iaitu Baqi Ummahatul Rasul dan Baqi Ul-Gharqad.

Pada zaman Khalifah Uthmaniyah, perkuburan itu disatukan dan jemaah haji lelaki sahaja dibenarkan untuk menziarahinya. Bagi jemaah haji wanita, mereka boleh melihat dari luar pagar perkuburan.

Daripada pintu utama perkuburan ini, menghadap sebelah kiri adalah perkuburan lama yang terdiri daripada ahli keluarga nabi termasuk bapa saudara baginda.

Ia dibuka selepas subuh sehingga pukul 8 pagi dan selepas asar sebelum masuk waktu maghrib.

Apabila kita maju ke hadapan, terdapat perkuburan anak-anak perempuan Rasulullah SAW.

Pada jalan utama menuju ke belakang terdapat perkuburan isteri-isteri Rasulullah SAW diikuti kubur Imam Malek bin Anas. Diikuti kubur Imam Qiraat Nafi. Kemudian kubur Ibrahim anak Rasulullah SAW dan kubur Syuhada Hurrah.

Apabila kita berjalan terus ke belakang, kita akan menjumpai kubur sahabat nabi SAW iaitu Uthman bin Affan. Di sebelah penjuru kiri perkuburan Baqi’, terdapat perkuburan Fatimah bt Said iaitu ibu kepada Saidina Ali dan diikuti perkuburan Said al-Khudri.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,051 other followers

%d bloggers like this: