Harta fai’ bantu kaum Muhajirin


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

DALAM Perang Bani Nadhir terdapat begitu banyak harta rampasan perang yang diperolehi tentera Islam.

Namun segala hasil rampasan itu tidak dipanggil sebagai rampasan perang atau ghanimah kerana ia tidak diperoleh secara perang tetapi dengan kaedah pengusiran.

Lalu ia dinamakan fai’ yang menyebabkan ia tidak boleh dibahagi seperti yang diperoleh daripada Perang Badar dan perang-perang yang lain.

Segala harta yang diperoleh daripada Bani Nadhir itu terus diserahkan kepada Rasulullah SAW yang kemudiannya akan menentukan bentuk pembahagiannya. Harta yang berupa tanah perkampungan, kebun-kebun dan segala hak milik Yahudi Bani Nadhir yang menjadi harta Fai’ itu dibahagikan dengan bijak oleh baginda.

Namun kepada siapa baginda membahagi-bahagikan harta tersebut? Sebahagian tanah yang luas itu baginda berikan kepada kaum Muhajirin (yang berhijrah dari Mekah) dengan sebahagian tanah lagi diberikan kepada golongan fakir miskin.

Fakir miskin itu termasuk para sahabat daripada golongan Ansar iaitu Abu Dujanah dan Sahal bin Hunaif yang kedua-duanya hidup dalam kemiskinan. Malah lebih miskin berbanding golongan Ansar yang lain.

Pembahagian yang dilakukan oleh baginda itu tentu dilihat seperti tidak adil dan tidak sama rata untuk semua.

Sebenarnya tidak. Ia sebagaimana yang diperintah Allah, kalangan kaum Ansar sendiri gembira. Tidak timbul sebarang perasaan kurang senang apabila saudara-saudara mereka daripada kalangan Muhajirin beroleh sedikit harta.

Ini bermakna sedikit sebanyak golongan Muhajirin tidak lagi membebankan golongan Ansar.

Sejak golongan Muhajirin berhijrah dan datang ke Madinah, kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada para sahabat dan saudara baru mereka, kaum Ansar.

Bayangkan mereka tidak membawa apa pun ketika berhijrah walaupun ketika di Mekah mereka kaya dan berharta.

Maka dengan pembahagian harta Fai’ oleh Nabi Muhammad SAW sedikit sebanyak dapat membantu kaum Muhajirin untuk terus hidup di Madinah tanpa bergantung sepenuhnya terhadap bantuan golongan Ansar.

Andai mereka beroleh kebun, maka kebun itu akan diusahakan bagi memberikan sumber pendapatan kepada golongan Muhajirin itu.

Maka dengan itu, kedua-dua belah pihak dapat saling meringankan beban masing-masing. Golongan Ansar terlepas daripada kewajipan menolong para Muhajirin dan kaum Muhajirin menikmati kebebasan dan berdikari sehingga tidak perlu lagi mengganggu atau memberatkan saudara-saudara mereka daripada kalangan kaum Ansar.

Pembahagian harta secara fai’ itu dijelaskan dalam surah al-Hasyr di samping Allah memuji akan semangat setiakawan dan persaudaraan yang terjalin di kalangan Ansar dan Muhajirin. Terutama golongan Ansar yang sedikit pun tidak bersifat dengki atau kecil hati dengan kaedah pembahagian harta tersebut.

Firman Allah dengan maksudnya: (Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaan-Nya, serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Setelah selesai urusan pembahagian harta tersebut maka segala urusan pulih kepada sedia kala, tanpa sebarang gangguan dari pihak musuh terutama kalangan puak Yahudi itu sendiri. (al-Hasyr: 8-9)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,514 other followers

%d bloggers like this: