Kemenangan gemilang di bulan Ramadhan


RAMADAN datang lagi, menuntut umat menambah iman, mengulangi taubat, serta membersih dosa dan noda. Ketika Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan, umat Islam sangat digalak merebut segala kelebihan dan ganjaran yang diberikan oleh Allah. Inilah masanya untuk menambah amal soleh dengan melakukan pelbagai ibadat sunat yang dijanjikan Allah ganjaran berlipat ganda.

Puasa adalah ibadat yang difardukan oleh Allah ke atas Nabi Muhammad saw dan umat Baginda. Kefarduan ini dinyatakan secara jelas oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa, seperti mana yang telah difardukan ke atas umat terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Mereka yang berpuasa akan menikmati pelbagai hikmah.

Dari segi biologi, puasa membina kesihatan. Ini kerana dengan mengatur amalan pemakanan dan tidak terlalu banyak makan, makanan dapat dicernakan dengan lebih baik dan perut mempunyai ruang untuk ‘berehat’.

Perut adalah sumber perkembangan penyakit. Perut juga dikenal pasti sumber yang boleh mengganggu kesihatan akal dan hati. Lukman ul-Hakim berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, apabila perutmu terlalu kenyang, maka otakmu tidur, fikiranmu rosak dan badanmu malas beribadat.”

Dari segi mental dan jiwa, melalui puasa, jiwa dan hati akan ‘dibersihkan’ daripada penyakit hati seperti hasad dengki, iri hati dan rasa sombong, takbur dan riak. Hati yang sentiasa mengingati Allah dan mencari kesempatan untuk berbuat kebaikan, akan melahirkan sifat terpuji yang secara automatik menyebabkan mulut ingin sentiasa berzikir. Hati yang lembut juga akan memupuk fikiran bersih yang diselaputi sifat kemanusiaan yang dijalin atas kasih sayang.

Dari segi moral dan akhlak pula, puasa adalah satu sistem latihan bagi membentuk akhlak mulia.

Sebenarnya, Ramadan bukan saja mempunyai banyak fadilat, kelebihan dan hikmat, malah sejarah bulan itu sendiri mengagumkan. Pada Ramadan, diturunkan al-Quran, iaitu wahyu Allah yang menjadi petunjuk hidup manusia.

Pada tarikh 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, bersamaan Jumaat, berlaku Perang Badr al-Kubra, satu peperangan besar yang pertama kali membabitkan kaum Muslimin melawan kaum musyrik.

Pertempuran itu berlaku di sebuah lembah dekat kota Madinah, iaitu di Badr. Kaum Muslimin ketika itu hanya mempunyai kekuatan 300 orang dengan setiap dua orang menaiki seekor unta, berbanding dengan kekuatan golongan kafir kira-kira 1,000 orang dengan perincian 700 orang menaiki unta dan lebih 100 lagi anggota pasukan berkuda.

Ini bererti seorang Muslim berdepan dengan tiga orang musuh. Atas kekuasaan dan pertolongan Allah, peperangan itu dimenangi oleh golongan Muslimin.

Pada tarikh 18 Ramadan tahun kelapan hijrah pula, Rasulullah bersama 12,000 kaum Muslimin bertolak dari Madinah menuju Makkah untuk membebaskan Makkah. Peristiwa pembebasan kota Makkah ini begitu terkenal dengan sebutan ‘Futuh Makkah’.

Pembebasan kota Makkah oleh golongan Muslimin menandakan satu era baru dalam Islam, selepas kaum Muslimin diseksa dan ditindas, bahkan yang terakhir dikepung oleh pasukan tentera Ahzab (sekutu) selama berminggu-minggu di Madinah.

Malahan, Rasulullah menyifatkan pembebasan Makkah itu begitu penting, melalui sabda Baginda, yang bermaksud: “Kaum Quraisy tidak akan berani lagi mendatangi (menyerang) kamu selepas tahun ini, lenyap musnah kekuatan mereka, dan mereka tidak akan memerangi kita selepas hari ini dan sekarang giliran kita akan memerangi mereka, insya-Allah.”

Pada Ramadan juga, dalam tahun ke-91 Hijrah, kaum Muslimin di bawah pimpinan Thariq bin Ziad, berjaya membuka Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang dikenali sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar Islam apabila Thariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat di antara Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.

Setelah tentera Islam menyeberangi selat berkenaan, Thariq memerintahkan agar semua kapal perang Islam dibakar, sambil berpidato dengan penuh semangat bagi merangsang jiwa angkatan Islam : “Musuh di depan kamu. Apabila kamu mundur, lautan di belakang kamu. Pilihlah yang mana lebih tinggi kehormatannya, berjuang di jalan Allah atau mati ditelan lautan.”

Ucapan Thariq membakar semangat tentera Muslimin untuk berjuang bermati-matian kerana yang ada di depan hanyalah berjuang sekuat tenaga dan mengharap pertolongan Allah. Semangat ini berjaya membolehkan satu demi satu kota musuh jatuh ke tangan kaum Muslimin dan akhirnya, Andalusia berjaya ditakluki tentera Muslimin pada Ramadan.

Sejak itu, Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan mercu peradaban manusia yang tersohor pada zamannya, sehinggakan kemajuan teknologi yang dimiliki Eropah sekarang adalah warisan teknologi umat Islam masa silam.

Selain itu, daerah Ghaal di Peranchis atau kini Pays des Gualles, juga ditakluki Islam ketika Ramadan.

Justeru, dalam kita meraikan ketibaan Ramadan, marilah kita sama-sama menghayati sejarah kegemilangan tamadun Islam, kekuatan tentera Islam berperang dalam keadaan berpuasa, tanpa sedikit pun melunturkan iman mereka.

Ramadan seharusnya menjadi titik tolak untuk kita bertambah kuat dan bersatu mempertahankan agama Islam kerana daripada sejarah, banyak kegemilangan Islam dicatatkan dalam bulan ini.

Pada Ramadan ini, selain menambah amal ibadat, umat Islam juga perlu berusaha dan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam suatu ketika dulu. Mudah-mudahan pada Ramadan ini, umat Islam diberikan kekuatan dan keredaan Allah untuk menghadapi segala cabaran bagi mempertahan dan menjulang nama Islam di persada dunia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,051 other followers

%d bloggers like this: