Ramadan bermakna buat Molly


Susunan ZUARIDA MOHYIN

KETIKA umat Islam menyambut Ramadan pada tahun 2005, gadis yang berasal dari Minnessota, Amerika Syarikat ini baru tujuh bulan bergelar saudara Muslim atau mualaf. Malah dia pada saat itu masih tinggal bersama ibunya, namun belum tergamak untuk membuka rahsia pengislaman dirinya kepada ibu tercinta. Jadi, Ramadan pertama gadis bernama Molly Carlson atau Molly Ann Elian adalah satu penyamaran.

Apatah lagi dengan bekerja sepenuh masa, maka tiada halangan untuknya berpuasa dek kerana masanya banyak dihabiskan di pejabat. Pada waktu rehat tengah hari, Molly akan menghabiskan waktu itu dengan berehat di bilik belakang melaksanakan solat zuhur, mendengar ceramah dan tidak melayan nafsu lapar serta dahaga yang terpaksa dilalui saat itu.

“Pengalaman paling sukar sepanjang Ramadan itu adalah ketika waktu sahur kerana saya tidak mempunyai penjelasan yang rasional untuk diberitahu kepada ibu mengapa saya perlu bangun pada pukul empat pagi untuk makan sahur. Kalau kata hendak sarapan tentu itu satu alasan yang cukup pelik bukan?

“Lantas itu, untuk memastikan rahsia tidak terbongkar, terpaksalah saya membeli pelbagai makanan kering seperti biskut bijirin, roti, mentega kacang dan air mineral dan disembunyikan dalam sebuah kotak plastik sebelum diletakkan di bawah katil.

“Sebelum tidur saya akan kunci jam loceng dan setiap kali sampai waktunya, tangan saya terus mencapai makanan yang berada di bawah katil, makan dan minum, sebelum secara senyap-senyap turun ke tingkat bawah untuk mengambil wuduk. Semuanya dilakukan dengan begitu berhati-hati. Kadang-kadang ada juga ibu terjaga tetapi saya beri alasan yang saya tidak dapat tidur,” cerita Molly akan kepayahan yang terpaksa dilalui pada tahun pertamanya berpuasa.

Pada sebelah petangnya pula, Molly tidak menghadapi sebarang masalah berbuka puasa kerana dia bekerja. Kebiasaannya, dia akan ke masjid bersama-sama rakan-rakan Muslim. Malah kerap juga dia melaksanakan solat sunat tarawih. Bagi Molly, itulah saat paling indah kerana dapat berkongsi bersama teman-teman yang memberi sokongan.

Cuma pada hujung minggu, Molly akan kembali menghadapi masalah kerana dia tidak bekerja. Ditambah apabila ibu melihatnya tidak makan tengah hari serta tidak mahu mengikutnya keluar bersarapan. Pernah juga beberapa kali Molly tidak dapat mengelak dan terpaksa membatalkan puasanya kerana diadakan jamuan makan keluarga.

“Sesungguhnya Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati saya ini. Syukur kerana mempunyai keluarga angkat rakyat Pakistan yang melayan saya seperti anak mereka sendiri. Dengan merekalah banyak waktu saya dihabiskan.

“Pada 10 malam terakhir Ramadan, sewaktu ibu pergi membuat pembedahan rutin, sayalah yang bertanggungjawab menghantar dan mengambilnya di hospital.

“Saya seperti tidak sabar memberitahunya yang saya sudah memeluk agama Islam dan pada masa yang sama, bimbang jika ia terus berlarutan, manalah tahu ibu gagal diselamatkan ketika dalam prosedur pembedahan tersebut.

Ketika dalam perjalanan Molly cuba memberanikan diri untuk memberitahu ibunya.

Tetapi ketika dia mencari-cari ayat yang sesuai tiba-tiba terpacul dari mulut ibunya perkataan yang tidak disangka-sangka: “Jangan beritahu saya yang awak sudah Muslim?

Molly benar-benar terkejut ketika itu.

“Sungguhpun air mukanya ada sedikit kekesalan tetapi dia tetap menghormati keputusan saya dan dia akan sentiasa menyayangi saya.

“Sejak itu ibulah menjadi tulang belakang dan memberi sokongan dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

Alhamdulillah, 10 malam terakhir itu merupakan tempoh waktu yang paling mudah buat Molly kerana dia boleh bersahur dan berbuka puasa bersama ibunya. Malah ibunya juga mengucapkan Aidilfitri kepadanya pada pagi raya itu.

Pun begitu, Molly mengambil masa beberapa tahun untuk memberitahu pengislamannya kepada keseluruhan ahli keluarga yang lain. Sama ada mereka terima atau tidak, itu semua tidak menjadi hal buat Molly kerana insan yang paling penting dalam hidupnya dan tidak perlu dibelakangkan ialah ibunya.

“Ibulah segala-galanya dalam hidup ini,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,051 other followers

%d bloggers like this: