Isi Ramadhan dengan amal ibadat


Oleh – Norden Mohamed

Alhamdulillah kerana kita berpeluang untuk berpuasa lagi. Sebahagian besar daripada kita tentulah sempat bersahur. Mudah-mudahan kita yang sahur pada jam 3.00 pagi ke atas disenangkan untuk bangun setiap hari hingga ke akhir Ramadan. Tidak ada sehari pun terjaga setelah mentari menjenguk ke dalam jendela.

Tentu sekali puasa melatih diri untuk bersabar. Namun, sebagai manusia, kita mudah sangat terlupa untuk menjaga kesabaran. Mungkin kita sudah pun membunyikan hon pada kereta yang berada di hadapan kereta kita di lampu trafik pagi tadi kerana lewat sesaat untuk bergerak bila lampu bertukar hijau.

Mungkin kita sudah mengeluh bila pemandu kereta di hadapan terpaksa membuka pintu untuk menyentuh kad Touch and Gonya kerana cerminnya sudah rosak. Atau kita geram bila kereta kita dipintas secara tiba-tiba.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, apakah kita memotong queue untuk menaiki bas kerana tidak mahu menunggu lebih lama? Ataupun tidak memberi ruang bagi yang ingin keluar daripada koc komuter atau LRT sebelum kita menginjak menaikinya? Atau menghimpitkan diri ke dalam lif yang sendat kerana takut lewat memasuki pejabat sebentar tadi? Inilah cabaran kesabaran berpuasa.

Tiba awal ke pejabat kerana tidak perlu bersarapan memberi kita lebih banyak masa. Maka, tidak molek jika kita gunakan masa itu untuk membuka laman kenalan sosial, laman permainan, laman gosip artis, laman video hiburan atau segala macam laman fitnah dan ghairah seperti yang selalu kita lakukan.

Menu di bulan puasa perlu berubah kepada membuka laman al-Quran online. Boleh juga e-tadarus dengan mendengar dan mengikut bacaan dengan tujuan memperbetulkan sebutan kita. Atau membuka laman-laman hadis, soal jawab agama, blog-blog ustaz-ustaz yang tentunya mempunyai pelbagai ulasan dan bahan mengenai puasa itu sendiri. Santapan minda yang baik di bulan puasa akan menajamkan fikiran walaupun ia sedikit melayukan mata.

Tentu sekali waktu makan tengah hari juga boleh digunakan untuk bersolat dengan lebih lambat dan khusyuk. Setelah itu masa yang luang boleh digunakan untuk menghafal satu surah baru daripada mana-mana juz Amma. Sekurang-kurangnya kita tidak membaca surah-surah ‘empat Qul’ sahaja setiap kali solat sejak akil baligh hingga ke hari ini. Mudah-mudahan kita dapat menghafal satu surah pada setiap minggu.

Cabaran bazar Ramadan sememangnya menguja nafsu. Terdapat beratus-ratus jenis makanan. Masakan yang dibakar, digoreng, direbus, dicelur kesemuanya ada. Tidak termasuk pelbagai jenis kuih muih dan pelbagai minuman beraneka warna. Ada juga makanan yang hanya muncul setahun sekali seperti air kasira dan bubur lambuk. Kesemua ini mengancam selera.

Apakah kita mengambil sejenis kuih atau membeli selagi tangan larat menjinjing? Hingga akhirnya kesemua makanan itu akan dipetisejukkan dengan niat hendak dihabiskan. Sedangkan bila tiba hari esoknya, kita membeli dan membeli lagi. Jika difikirkan, seisi rumah yang berpeti sejuk tidak perlu langsung membeli makanan setiap hari. Kerana percayalah, seisi rumah tidak akan kebuluran kerana peti sejuk dicipta untuk mengisi stok makanan sehingga seminggu.

Bagi yang berbuka di luar sama ada di gerai mahupun di hotel-hotel, apa yang lebih mustahak ialah untuk mengintai-intai di manakah terdapatnya surau dan tempat berwuduk. Maklumlah, menjamu selera dengan hidangan yang pelbagai juga melalaikan. Lebih-lebih lagi, perut yang berat akan juga membuatkan mata menjadi berat ketika berterawih. Jika kita terlalu santai dengan berbuka dan berebut-rebut untuk bersolat, keseronokan berpuasa dalam suasana tenang telah dinodai dengan kekalutan setelah berbuka, apatah lagi untuk bertadarus.

Pendek kata, kita perlu kurangkan makan, minum dan tidur ketika berpuasa. Apa yang perlu dilebihkan ialah beribadah. Tidak molek lebih makan, lebih minum dan lebih tidur. Berpuasa itu bukan untuk berpuas.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,514 other followers

%d bloggers like this: