Kisah Nazrey RAIHAN dapat hidayah Allah


Oleh Zulkarnain Zakaria

Catatan itu berbunyi begini, “… duduklah saya di sudut rumahnya itu berfikir apa yang hendak saya lakukan. Nak peluk Islam, hati berbelah bagi. Kalau tak masuk Islam pula, ustaz itu tak mahu ajar saya mengaji. Kalau tak mengaji, nanti kena pukul dengan ayah. Saya dalam dilema.

“Akhirnya setelah 15 minit berfikir, saya ambil keputusan untuk ikut arahan ustaz itu. Lebih baik peluk Islam daripada kena marah dengan ayah. Ustaz itu ajar saya mengucap… Asyhadualla ilahaillallah, Wa asyhaduanna Muhammadar Rasulullah…

“Sejurus habis mengucap, bagaikan ada sesuatu diturunkan Allah pada saya. Allah cabut segala kerisauan, kekusutan dan kebimbangan daripada hati dan fikiran saya. Fikiran saya jadi lapang, hati saya terlalu tenang, satu perasaan yang tidak pernah saya rasakan sebelum itu. Alhamdulillah, mungkin inilah cinta dan hidayah Allah pada saya. Ketika itu juga saya bertekad akan mempelajari Islam sepenuhnya. Saya akan cari sendiri pengetahuan tentang Islam walaupun tiada orang yang mahu mengajarinya.”

Begitulah detik awal kemasukan penyanyi nasyid terkenal, Nazrey Johani, ke dalam agama Islam, kira-kira 30 tahun lalu. Mungkin sebahagian daripada kita tahu, Nazrey adalah saudara baru, namun kebanyakan kita tidak tahu bahawa beliau memeluk Islam akibat dipaksa oleh bapanya.

Rupa-rupanya Nazrey memeluk Islam kerana takut dipukul oleh bapanya itu, yang asalnya adalah penganut taat kepada agama mereka.

Rupa-rupanya juga, selepas menjadi saudara baru, Nazrey sanggup berjalan kaki lebih satu kilometer untuk bersolat dan belajar mengaji di masjid. Kemudian, Nazrey korbankan masa bermainnya dan dalam masa enam bulan sahaja, sudah mampu membaca al-Quran, jauh mengatasi kawan-kawan sebayanya yang memang beragama Islam.

Menarik juga untuk diketahui, hampir setahun Nazrey dan kawan-kawan sekolahnya ‘mempermainkan’ guru mereka dengan memakai seluar panjang bagi menutup aurat, yang ketika itu tidak dibenarkan pemakaiannya. Akhirnya berkat usaha mereka, pentadbiran sekolah terpaksa ‘mengalah’ dan pemakaian seluar panjang dibenarkan di sekolah berkenaan.

Anda tidak akan mengetahui kisah menarik ini jika tidak membaca Akhirnya Kutemui Cinta-Mu… lalu aku pun memeluk Islam, sebuah produksi majalah Al Islam. Selain kisah di atas, buku tersebut turut mencatatkan kisah-kisah menarik zaman Nazrey sewaktu masih bersama kumpulan Raihan, hinggakan ada lelaki ‘mat saleh’ yang memeluk Islam dengan menyanyikan lirik syahadah dalam lagu ‘Puji-pujian’.

Kini, Nazrey sedang mencari dana untuk membina maahad tahfiz di kampung halamannya, Ranau, Sabah. Begitulah gigihnya Nazrey selepas memeluk Islam.

Buku Akhirnya Kutemui Cinta-Mu merupakan buku terbaharu terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. yang dilancarkan pada 29 Jun lalu. Ia menghimpunkan hampir 30 kisah saudara-saudara baru yang memilih Islam sebagai agama baru mereka.

Selain Nazrey, ia turut menyiarkan cerita pengislaman tokoh-tokoh terkenal seperti pelakon Susan Manen, Johan Abdullah dan Farid Amirul, Iman Wan (pencipta lagu), Satilah Abdullah (ibu penyanyi, Ning Baizura) serta pendakwah terkemuka, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah, Ustaz Mohd. Farhan Abdullah, Ustaz Abdul Latif Satharan Abdullah, Farhan Tee Abdullah dan Divesh Kumar Danial Kakulal (wartawan penyiaran stesen TV Alhijrah).

Sesiapa sahaja yang membaca buku ini pasti akan berasa insaf dengan dugaan dan pengalaman getir yang dilalui oleh saudara-saudara baru ini. Sebagai contoh, bagaimana Susan Manen terpaksa berdepan dengan halangan keluarga, sokongan bapa yang terlebih dahulu memeluk Islam dan kejadian-kejadian aneh yang makin mendekatkan dirinya kepada agama ini.

Pembaca juga akan berasa hiba dan sebak membaca kisah bagaimana Farid Amirul (memegang watak Inspektor Lim dalam siri TV Gerak Khas) yang menangis sebaik terdengar seruan azan serta membaca surah al-Kauthar dan ad-Dhuha. Kisah pengislaman Ustaz Muhammad Fitri dan Ustaz Farhan pula amat mendebarkan.

Rupa-rupanya, sejak dia dilahirkan lagi, ayah Fitri sudah memberitahu isterinya bahawa apabila besar nanti, dia akan menukar nama bapanya itu kepada Abdullah. Ternyata firasat tersebut menjadi kenyataan.

Walaupun Fitri dididik sehingga menjadi pendakwah besar dalam agama mereka, namun akhirnya beliau memilih Islam selepas melihat kebenaran agama ini. Lalu nama bapanya ditukar kepada Abdullah!

Sanggupkah anda ditembak hanya kerana Islam? Itulah ujian yang dilalui oleh Ustaz Mohd. Farhan, bekas seorang pendakwah sebuah agama lain di Sabah. Dia bukan sahaja dihalau, malah ditembak dengan senapang patah oleh bapanya kerana memeluk Islam. Tetapi tiada siapa menduga, selepas Farhan menamatkan pengajian tahfiz, semua anggota keluarganya dengan mudah turut memeluk Islam. Tidak terkecuali adalah bapanya sendiri yang asalnya merupakan nazir kepada 15 rumah ibadat di Sabah.

Apa yang menarik, melalui buku Akhirnya Kutemui Cinta-Mu juga Ustaz Farhan menceritakan mimpi menginsafkan yang dialaminya hingga menyebabkan hatinya terbuka memilih Islam. Juga bagaimana bapanya tiba-tiba muntah dengan banyaknya selepas meminum air yang telah dibacakan surah Yasin.

Pernahkah anda dengar kisah pengislaman pemain bolasepak Perancis, Frank Ribery, Lauren Booth (adik ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair), Alexander Litvinenko (bekas perisik Rusia), Loon dan Everlast (penyanyi rap), A. R. Rahman (pencipta lagu Bollywood dan pemenang anugerah Oscar), Diam’s (penyanyi rap wanita Perancis), Mike Tyson (juara tinju dunia), Jermaine Jackson (abang kepada Michael Jackson) dan Johann Wolfgang von Goethe (penulis terkenal abad ke 18 Jerman)?

Persoalan benarkah Michael Jackson sudah memeluk Islam turut dijawab oleh Jermaine. Dapatkan buku ini dan anda akan ralit membacanya.

Apa yang menjadikan Akhirnya Kutemui Cinta-Mu ini lebih mantap dan istimewa ialah kerana kisah-kisah tadi diperkukuhkan dengan fakta serta statistik perkembangan terkini Islam di seluruh dunia. Semua ini membangkitkan rasa bangga kepada agama.

Akhirnya Kutemui Cinta-Mu jadi menarik kerana ia dipersembahkan dengan cara yang mudah, ringan serta dekat dengan hati pembaca. Bahasanya santai. Buku ini bersifat terus terang.

Ia tidak menyembunyikan kritikan-kritikan tegas serta panas terhadap masyarakat Islam dan pihak-pihak tertentu yang membiarkan saudara-saudara baru terkontang-kanting.

Ringkasnya, ia merupakan buku istimewa yang membangkitkan perasaan megah kita terhadap Islam.

Dengan harga cuma RM12.90, buku Akhirnya Kutemui Cinta-Mu terlalu murah kalau dibandingkan dengan ketebalannya 212 halaman serta kisah-kisah eksklusif yang dipersembahkannya. Sila dapatkan buku ini di kedai-kedai buku dan majalah berhampiran atau hubungi Bahagian Pemasaran Utusan di 03-89243843 (Hajina) dan 03-89243837 (Siti Rozaida).

Advertisements
Comments
5 Responses to “Kisah Nazrey RAIHAN dapat hidayah Allah”
  1. Diharap dapat sentiasa mengeluarkan makluman mengenai penerbitan buku-buikui seperti ini, walau saya belum menemui atau membacanya namun melalui keterangan yang dijelaskan ia amat menarik dan seharusnya akan mendapah barokah kepada sesiapa yang menyebar luaskan pengedaran/penjualannya. Insya Allah akan saya hubungi penerbitnya Utusan Karya Sdn. Bhd.

  2. syah berkata:

    where i can buy this book..

  3. nor berkata:

    Tolong inform saya d mana leh dapatkan buku be?o148819041

  4. afif berkata:

    tertanya2… apa info terkini tentang maahad tahfiz yg di kelola oleh Nazrey??

  5. zack berkata:

    Masih ada ke buku ni di pasaran.. Saya berminat untuk mendapatkannya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: