Bir Maunah, satu tragedi


Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Peta yang menunjukkan kedudukan Bir Maunah yang menjadi lokasi 70 anggota rombongan mubaligh Islam diserang hendap.

KELUARAN lalu menceritakan Abdullah bin Unais yang mempamerkan kehebatannya tersendiri apabila hanya secara solo dapat membunuh Khalid bin Sufyan al Hudzali, musuh Rasulullah yang sekali gus menjadi musuh kepada Islam.

Malangnya kejayaan itu disusuli dengan dua peristiwa duka menimpa umat Islam apabila Rasulullah kehilangan ramai sahabat dan para pengikut termasuk mereka yang hafiz al-Quran dan para pendakwah yang baik.

Kedukaan menyebabkan Rasulullah melakukan Qunut Nazilah selama 30 hari mengiringi setiap solat baginda.

Sebenarnya apa sahaja peristiwa yang berlaku dalam sejarah Islam seharusnya diketahui oleh umat Islam pada hari ini.

Namun apabila berlakunya Peristiwa Syuhada Perigi Ma’unah atau Bir Maunah dan Peristiwa Maa’ Al Raji’ (Air Al Raji’), ia merupakan antara peristiwa yang tidak boleh luput dalam ingatan umat Islam.

Kedua-duanya begitu sarat dengan pengajaran walaupun mungkin sukar untuk kita memahaminya jika hanya membaca sekali harung.

Ini kerana ia turut melibatkan soal budaya, cara hidup orang Arab yang terdiri dari pelbagai suku dan kaum.

Setiap mereka mempunyai pendirian sama ada untuk menyokong atau menolak Rasulullah tetapi lebih merbahaya lagi kalau yang bersikap munafik, bermuka-muka, baik di hadapan Rasulullah tetapi sebaliknya apabila di belakang baginda!

Peristiwa Bir Maunah berlaku pada bulan Safar 4 Hijrah apabila seorang ketua suku yang besar di kalangan orang Arab pada masa itu, dikenali sebagai Abu Barra atau nama sebenarnya Amir bin Malik dari daerah Najd datang menemui Rasulullah di Madinah.

Sebelum ini, beliau telah mendengar mengenai Islam dan tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama itu dari Rasulullah sendiri.

Maka sangguplah dia datang dari jauh dan menghabiskan masa bersama baginda.

Baginda sendiri tentu sahaja amat mengalu-alukan kehadiran Abu Barra. Malah segera dakwah itu disampaikan dengan dibacakan ayat-ayat al Quran dan penjelasan demi penjelasan mengenai Islam kepada tetamu itu.

Abu Barra mendengar dengan baik akan segala dakwah yang disampaikan oleh baginda. Namun dia dikatakan berterus terang masih belum mahu mengikut agama yang diajarkan kepadanya itu.

Sama ada Abu Barra mempunyai muslihat tertentu kerana katanya beliau hanya akan memeluk Islam jika baginda menghantar wakil atau utusan untuk mengajar kaumnya di Najd mengenai Islam.

“Ya Muhammad, saya mengusulkan kepada tuan, alangkah baiknya tuan mengutus beberapa orang utusan kepada kaum Najd bagi menyampaikan seruan tuan ini seperti yang tuan lakukan kepada saya.

“Manalah tahu sekiranya mereka mahu mengikuti seruan tuan itu. Ini kerana semua yang tuan serukan itu adalah perkara-perkara yang sangat baik belaka.

“Kalau seluruh suku aku masuk atau memeluk Islam, aku akan masuk agama mu ini bersama mereka,” kata Abu Barra.

Apabila mendengarkan usul atau cadangan daripada Abu Barra dan berpegang untuk tidak berlaku paksa memaksa dalam urusan menukar agama, Rasulullah pun bersetuju menerima cadangan itu.

Bagi baginda SAW cadangan itu tidak menampakkan sebarang muslihat yang bakal memakan diri baginda dan kepentingan agama Islam.

Walaupun sesetengah riwayat yang lain menceritakan baginda terus bersetuju kepada cadangan Abu Barra namun sesetengah yang lain meriwayatkan baginda tidak begitu setuju untuk terus menghantar utusan sebagaimana yang dipinta.

Ini kerana baginda tetap bimbang berlaku pengkhianatan oleh suku-suku Arab yang tidak diketahui akan niat sebenar mereka, bimbang mereka hanya bermanis di muka, pahit dan masam dalam hati.

Dikatakan Abu Barra berusaha memujuk Rasulullah berkali-kali malah dia menjamin akan soal keselamatan dan keamanan para utusan yang bakal dihantar oleh baginda itu.

Malah Abu Barra yakin jika misi itu berjaya, kedudukan baginda dan Islam akan bertambah kukuh.

Namun baginda tetap merasa berat di hati hendak melepaskan para sahabat demi keselamatan mereka. Mereka tentu akan selamat pergi tetapi belum tentu selamat kembali ke Madinah.

Oleh kerana Abu Barra dikatakan ketua suku yang dihormati dan disegani lawan dan kawan terutama daripada kalangan kaumnya sendiri maka baginda akhirnya setuju dengan permintaan itu.

Ini kerana menurut adat atau budaya di kalangan bangsa Arab, apabila ketua sesuatu kabilah berjanji bagi melindungi dan menjamin keselamatan kabilah yang lain, maka tiada siapa pun daripada kabilahnya dan kabilah-kabilah yang lain berani untuk menganggu dan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini!

BAGINDA Rasulullah pun menyediakan hampir 70 sahabat dan pengikut yang terpilih untuk menjayakan misi sebagai mubaligh islam ke daerah Najd.

Mereka dikatakan terdiri daripada empat orang sahabat dari kalangan Muhajirin dan 66 lagi dari kalangan Ansar yang diketuai oleh Mundzir bin Amir.

Mereka yang mengikuti misi itu sebahagian besar daripadanya adalah sahabat pilihan yang sangat arif atau memahami hukum-hukum agama dan masing-masing menghafaz seluruh bacaan dan isi kandungan al-Quran.

Lalu mereka pun berangkat menuju ke daerah Najd dengan Abu Barra pulang terlebih dahulu untuk memberitahu berita gembira kepada seluruh kaumnya mengenai kejayaan membawa masuk 70 utusan dari Nabi Muhammad SAW bagi menyampaikan dakwah Islam itu.

Begitupun rombongan itu tidak sahaja mempunyai matlamat untuk berdakwah kepada penduduk di daerah Najd yang diketuai oleh Abu Barra, malah kesempatan itu turut diambil untuk menyebarkan Islam kepada mana-mana suku dan kaum lain yang mereka temui sepanjang menuju ke Najd.

Akhirnya rombongan tersebut tiba di tempat yang dikenali sebagai Telaga Maunah atau Bir Maunah yang terletak antara tanah milik Bani Amir dan Harrah Bani Sulaim.

Bani Amir, satu lagi suku Arab diketuai oleh Amir bin Tufail. Tanpa ahli rombongan itu ketahui bahawa Amir adalah seorang yang kuat memusuhi Islam walaupun dikatakan dia merupakan anak saudara kepada Abu Barra.

Namun kesempatan tetap diambil bagi menghantar wakil dari rombongan Rasulullah, iaitu Haram bin Milhan untuk menyampaikan sepucuk surat dari baginda mengajak kepada Islam kepada Amir selaku ketua kabilah.

Namun surat itu telah dikoyak-koyakkan. Amir sangat marah dengan kehadiran utusan Nabi Muhammad itu.

Tidak cukup dengan itu, Amir memerintahkan orang suruhannya membunuh Haram. Lalu Haram dibunuh dengan ditikam dengan tombak dari arah belakang.

Haram yang tidak menyangka layanan seburuk itu sempat berteriak saat darahnya membuak-buak keluar akibat tikaman tombak itu: “Aku sudah berjaya! Aku sudah berjaya! Aku sudah berjaya demi Tuhan Kaabah!”

Mendengarkan teriakan itu, para ahli rombongan yang lain menyangka bahawa misi Haram berjaya, iaitu Amir bin Tufail bersetuju menerima Islam sedangkan Haram sebenarnya hendak memberitahu bahawa beliau sebenarnya sudah syahid!

Ia juga sebagai amaran kepada ahli rombongan supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk daripada Amir bin Tufail.

Telahan tersebut benar, kerana selepas itu tidak cukup dengan membunuh Haram secara curi, Amir juga memerintahkan agar ahli rombongan lain turut dibunuh!

Ini kerana beliau sedar adalah menjadi satu kesalahan besar dalam adat budaya Arab membunuh sesiapa sahaja yang diutus menjadi wakil.

Oleh itu, supaya kesalahannya tidak diketahui oleh kalangan kabilah yang lain, Amir mahukan anggota tombongan mubaligh Islam yang lain turut dibunuh.

Namun dia tidak mampu melakukannya seorang diri atau hanya berharap kepada ahli-ahli sukunya melainkan terpaksa meminta bantuan suku-suku Arab lain yang berdekatan untuk sama-sama menghapuskan rombongan Rasulullah itu.

Lalu apa yang berlaku selepas itu, amat memeranjatkan seluruh anggota rombongan. Mereka diserang hendap.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,072 other followers

%d bloggers like this: