Muslihat kalahkan musuh


Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Pergerakan  senyap tentera
Islam pada waktu malam adalah taktik  perang yang berkesan untuk
melakukan serangan mengejut dan  dapat menawan musuh dengan lebih
mudah. – Gambar hiasan

BAGI memerangi Kabilah Bani Asad yang merancang menawan Kota Madinah,
Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Salamah selaku Ketua Tentera supaya
seluruh anggota tentera Islam seramai 150 orang itu berjalan hanya pada
waktu malam. Pada waktu siang mereka diminta bersembunyi di
lereng-lereng gunung.

Jalan yang hendak dilalui pula mestilah laluan yang berbeza. Bukan
jalan yang biasa dilalui orang. Ini agar kedatangan pasukan tentera
Islam tidak diketahui oleh pihak musuh.

Pada awal bulan Muharam tahun ke-4 Hijrah, pasukan tentera Islam mula
berangkat dari Madinah secara senyap-senyap dan terus menuju ke daerah
Najd, perkampungan Bani Asad.

Dalam beberapa hari sahaja mereka sampai ke perkampungan itu tanpa
diketahui para penduduknya. Lalu tanpa membuang masa, seluruh
perkampungan itu terus dikepung oleh tentera Islam.

Pada asalnya, kabilah Bani Asad telah merancang membuat serangan
mengejut ke atas Madinah. Bagaimanapun, mereka cukup terkejut apabila
mendapati mereka pula akhirnya yang terkepung.

Setelah mendapat arahan daripada Abu Salamah, tentera Islam terus
melakukan satu serangan ke atas penduduk Bani Asad yang menyebabkan
mereka tidak dapat bertahan sehingga terpaksa lari menyelamatkan diri.

Ini termasuklah ketua-ketua mereka yang sebelum ini begitu berkobar-kobar mahu bangkit menentang Rasulullah.

Tetapi kini merekalah yang paling pengecut dan yang paling dahulu melarikan diri bagi menyelamatkan tengkuk sendiri.

Mereka digempur habis-habisan sehingga seluruh perkampungan itu
bertukar menjadi kelam kabut dan ditawan dengan mudahnya oleh tentera
Islam.

Lalu Abu Salamah memerintahkan sebahagian anggota tenteranya supaya
terus menawan perkampungan Bani Asad. Sebahagian lagi diarahkan memburu
musuh-musuh yang melarikan diri.

Maka dalam tempoh yang singkat sahaja, keseluruhan perkampungan Bani Asad dapat ditawan.

Kabilah itu dapat dikalahkan. Segala harta benda dan haiwan ternakan mereka dijadikan harta rampasan perang.

Hasil kejayaan itu, anggota tentera Islam kembali semula ke Madinah
dengan membawa harta rampasan perang yang apabila dibahagi-bahagikan
setiap seorang mendapat tujuh ekor unta dan beberapa ekor kambing.

Perang itu dikatakan berlangsung dalam tempoh 10 hari. Malangnya Abu
Salamah yang berjaya dalam misinya itu meninggal dunia sejurus pulang
dari memerangi Kabilah Bani Asad.

Ia ekoran kecederaan yang dialaminya semasa Perang Uhud.

Begitulah semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pahlawan seperti
Abu Salamah yang tetap bertempur untuk melawan musuh-musuh Islam
walaupun dirinya sendiri dalam keadaan yang masih luka dan cedera.

Tidak cukup dengan Bani Asad yang merancang menyerang dan
menghapuskan umat Islam di Madinah, satu lagi kabilah Arab turut
merancang melakukan serangan yang sama.

Baginda mendapat tahu kabilah tersebut, iaitu Kabilah Urnah (satu
kabilah yang tinggal di sebuah lembah berdekatan dengan Arafah, Mekah).

Kabilah yang diketuai Khalid bin Sufyan Nabaih al Hudzali dikatakan
sudah mengumpul pengikutnya dan menyusun strategi serta kekuatan bagi
memerangi umat Islam di Madinah.

Mendengarkan semua ini, Rasulullah segera memerintahkan Abdullah bin
Unais, seorang lagi pahlawan Islam yang gagah lagi pintar bertindak
sebagai perisik untuk menemui sendiri ketua kabilah Urnah itu bagi
memastikan kesahihan berita yang diterima itu.

“Berangkatlah kamu untuk menemui sendiri Khalid bin Sufyan dan
siasatlah, benarkah dia ada mengarahkan supaya para pengikutnya untuk
menyerang kedudukan kita di Madinah ini,” ujar baginda.

Abdullah pun yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menjayakan misi
itu telah meminta baginda menerangkan bagaimana rupa paras dan sikap
Khalid bin Sufyan itu.

“Sekiranya kamu bertemu dengan Khalid, seakan-akan kamu berjumpa
dengan seekor syaitan. Antara tanda-tandanya, Khalid seorang yang
berambut panjang dengan rupa paras yang pasti membuatkan kamu takut
melihatnya.

“Namun kamu jangan bimbang, jika kamu pintar dan bijak, pastinya
syaitan ini boleh ditundukkan. Andai benar dia merancang untuk menyerang
umat Islam, kamu tiada pilihan kecuali Khalid mesti dibunuh,” kata
baginda.

Abdullah memahami sepenuhnya segala penjelasan dan arahan baginda itu
lalu segera memohon untuk berangkat seorang diri bagi menjayakan satu
misi penting yang boleh mencetuskan segala kemungkinan

Andai tersilap langkah, segala-galanya akan menjadi padah!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,514 other followers

%d bloggers like this: