Fitnah : Al-Quran Berbaris Dan Tidak Berbaris


Oleh: zharifjenn

Al-Quran berusia 1400 tahun, tidak mempunyai baris
Baru-baru
ini, sesetengah golongan menimbulkan isu mengenai al-Quran berbaris dan
al-Quran tidak berbaris. Pada masa yang sama golongan ini mempersoalkan
ketulenan al-Quran berbaris dengan melemparkan tohmahan tidak berasas
bahawa al-Quran berbaris itu sudah diseleweng. Sungguh
keras tohmahan itu, ia juga satu fitnah. Sungguh cetek juga pengetahuan
golongan itu terhadap realiti. Isu ini ditimbulkan oleh golongan kafir
yang cuba mencari kesalahan Al-Quran. Malangnya ada segelintir umat
Islam yang terpengaruh dengan hal ini.
Saya
hanya boleh tersenyum kepada golongan ini, mereka mungkin tidak tahu
dua jenis realiti. Satu, realiti sejarah dan satu lagi ialah ‘realiti
sebab’.
Realiti Sejarah (Mengapa Disusun)
Dari
sudut sejarah penyusunan ayat-ayat al-Quran, ia tidak perlu diterangkan
secara panjang lebar di sini kerana umum yang celik sejarah Islam sudah
mengetahui sejarah penyusunan itu dan mengapa ia dilakukan. Penyusunan
al-Quran dibuat untuk memudahkan umat Islam membaca dan menghafal.
Bagaimanapun,
kita hanya imbas sedikit mengenai sejarah penyusunan al-Quran sebagai
maklumat kepada yang belum mengenali sejarah penyusunan mushaf al-Quran.
Ketika zaman kewahyuan dan kenabian Rasulullah, ayat-ayat wahyu yang diturunkan telah ditulis oleh para sahabat terutama Ali,Muawiyah, `Ubai bin K`ab dan Zaid bin Thabit,.
Ayat-ayat suci itu pula ditulis di atas pelepah kurma, kulit binatang
dan sebagainya. Ia ditulis bagi memudahkan umat pada ketika itu untuk
membaca dan menghafal ayat-ayat yang diturunkan. Malah, ayat-ayat itu
ditulis di hadapan Rasulullah sendiri oleh para sahabat, lazimnya pada
ketika selepas wahyu diturunkan. Proses serupa itu berlarutan sehingga
sejarah kewahyuan tamat apabila baginda wafat.
Al-Quran masih lagi di catatkan di atas kulit kayu di Afrika
Walaupun
belum ditulis secara mushaf (bahasa mudahnya ialah dalam bentuk buku),
al-Quran sebenarnya sudah sedia mushaf dalam ingatan umat Islam (para
sahabat yang taat) ketika itu. Selepas kewafatan Rasulullah, ayat-ayat
ini dikumpul semasa zaman khalifah-rasyidin.
Kerja pengumpulan dan merekodkan al-Quran dalam bentuk tulisan secara serius bermula ketika zaman kekhalifahan Abu Bakar
yang begitu garang memerangi golongan murtad. Perang melawan golongan
murtad juga menyebabkan sebilangan besar umat Islam yang menghafal
al-Quran telah terkorban.
Kebimbangan
terhadap bilangan penghafal al-Quran yang semakin berkurangan (ramai
gugur syahid dalam memerangi golongan murtad) menyebabkan Umar
yang risau dengan perkembangan itu telah berjumpa dengan Abu Bakar.
Umar mencadangkan supaya al-Quran ditulis dan disusun dalam bentuk buku
kerana para hafiz sudah ramai terkorban.
Abu
Bakar pada mulanya menolak cadangan itu. Namun selepas khuatir melihat
bilangan para penghafal yang ramai terkorban, maka difikir semula
terhadap cadangan itu selepas beberapa kali dipujuk Umar. Abu Bakar
kemudian bertemu Zaid bin Sabeit (Zaid adalah antara tahfiz terawal
sejak tahun-tahun kenabian Rasulullah) dan menceritakan kebimbangannya
kepada Zaid mengenai kemungkinan satu masa nanti sudah tiada lagi umat
yang mengingati ayat-ayat al-Quran.
Quran
kemudian ditulis di atas lembaran-lembaran dan diserah kepada Abu
Bakar, kemudian pada tahun 13H iaitu setelah mangkat Abu Bakar, lembaran
itu diserahkan pula kepada Umar. Sesudah mangkat Umar, diserahkan pula
kepada anaknya iaitu Hafsah. Kemudian semasa kekhalifahan Uthman,
lembaran itu diambil semula daripada Hafsah. Demikian serba ringkas
mengenai sejarah penyusunan mushaf. Jika ingin mengetahui lebih
terperinci mengenai sejarah penyusunan al-Quran, sila rujuk bahan yang
berkaitan.
Bermula zaman khalifah Uthman, timbul pula masalah pembacaan al-Quran dalam pelbagai dialek Arab
ketika itu. Maka, tiba masanya supaya al-Quran disusun sebutan
dialeknya supaya tepat mengikut cara sebutan lidah Rasulullah dalam
dialek Quraisy. Ia kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah dan
diucapkan baginda dalam sebutan ‘asal’ mengikut lidah Rasulullah semasa
ayat-ayat itu diturunkan. Rasulullah adalah ‘penerima wahyu al-Quran’,
sedarlah realiti ini. Sebutan asal di sini pula bermaksud sebutan ayat
suci seperti yang disebut oleh Rasulullah dalam dialek Quraisy kerana
Rasulullah adalah seorang Arab dari kelompok Quraisy. Maka, kaedah
sebutan (dialek) al-Quran dibuat mengikut cara ia disebut oleh
Rasulullah, setiap perkataan perlu mengikut lenggok lidah Rasulullah
dalam dialek Quraisy, ia perlu, kerana begitulah bunyinya (dari segi
dialek) ketika ayat al-Quran keluar dari mulut Rasulullah semasa
disampaikan Jibrail.
Realiti Sebab (Mengapa Mempunyai Baris)
Baris dapat mewujudkan sebutan yang seragam di seluruh dunia
Jika seseorang mempelajari hukum bahasa, dia sudah tentu tahu apa itu ‘fonetik’ atau ‘phonetic
atau bahasa mudahnya ialah sistem ejaan mengikut bunyi dialek yang
menggunakan simbol tertentu bagi mewakilkan ‘bunyi asal’ sesuatu
perkataan itu. Sistem simbol bagi mewakilkan ‘sesuatu bunyi tepat’ itu
juga harus dipelajari supaya ia boleh disebut dengan tepat mengikut
dialek asalnya.
Baris-baris
(fatahah, kasroh, dommah) dan simbol-simbol (sukun, syaddah dan
sebagainya) diletakkan dalam mushaf bagi memberi penekanan ‘tone’ kepada
sesuatu perkataan supaya ia tepat dengan dialek seperti yang diucapkan
Rasulullah mengikut lidah dialek Quraisy. Ia juga bagi
mewujudkan sebutan yang seragam, tidak pelbagai, iaitu sebutan bagi
sesuatu ayat atau perkataan itu tepat dari segi sebutan dan maknanya
.
Perletakan
baris juga adalah untuk membantu bacaan supaya sebutan itu tepat dari
segi dialek dan cara yang sepatutnya ia disebut. Sebelum mushaf
diletakkan baris, al-Quran disebut, dilafaz dan dibaca dalam pelbagai
dialek Arab. Namun selepas baris-baris diletakkan, ia membantu
pembacaan supaya sebutannya menjadi standard mengikut dialek yang
disebut oleh Rasulullah
, seperti dilafaz oleh nabi semasa wahyu itu diturunkan.
Namun
kalau kita merenung realiti ‘proses belajar’ membaca al-Quran, kita
akan dapati bahawa orang Arab sendiri perlu belajar mengenal baris
sebelum dapat membaca al-Quran dengan betul. Ini realiti.
Walaupun
al-Quran itu dalam bahasa Arab, namun orang Arab sendiri perlu belajar
mengenal baris, perlu belajar mengeja mengikut baris, perlu mengenal
hukum-hukum bacaan, perlu belajar tajwid sebelum dapat membaca al-Quran
dengan betul. Ini juga realiti.
Ia
juga bagi menjaga kesucian al-Quran itu sendiri. Orang Arab juga ada
yang Kristian, tidak semua Islam. Jika orang Arab tidak perlu belajar
membaca al-Quran, maka orang Arab beragama Kristian juga akan dapat
memahami maksud al-Quran dengan mudah. Tapi, perkara ini (orang Arab
Kristian membaca al-Quran dan mentafsir sesuka hati) akan dapat dikawal
sekiranya diletakkan baris. Ini bemakna, orang Arab juga perlu belajar
membaca al-Quran, perlu mengenal baris, perlu mengenal simbol dan perlu
tahu setiap tone dalam menyebut sesuatu perkataan al-Quran bagi
mendapatkan maksud yang tepat.
Semasa
saya masih belajar (dalam negara), saya ada mengenali seorang pensyarah
berbangsa Arab (rakyat Mesir) dan beberapa kali berkunjung ke rumahnya
di kawasan kampus. Saya pernah berkata kepada pensyarah itu: “Senang ya
orang Arab, tak perlu susah-susah belajar mengenal baris untuk belajar
al-Quran.”
Tapi
pensyarah saya balas: “eh.. orang Arab pun kena belajar kenal baris.
kalau tak kenal baris, macam mana nak baca al-Quran? Baris itulah yang
membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran.”
“cuba
kamu pergi di bilik hujung itu (sambil menunjukkan jari). Cuba kamu
dengar apa yang isteri saya sedang buat bersama anak saya,” kata
pensyarah itu yang fasih berbahasa Melayu kerana sudah lebih 8 tahun
mengajar di universiti tempatan tempat saya belajar dulu.
Saya pun pergi ke bilik hujung di rumah pensyarah saya itu dengan izinnya sendiri, saya dengar:
“..
Sa fataha, sa. Jim fataha, ja. Ha fataha, ha. Qho fataha, qho….” saya
dengar isteri pensyarah sedang mengajar anaknya mengeja mengenal baris.
Jawapan
balas daripada pensyarah dan pengalaman itu buat saya tersedar satu
realiti, realiti terhadap kepentingan baris itu sendiri.Baris itulah yang membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran. Baris itu diletakkan bagi memelihara kesucian al-Quran itu sendiri. Ia adalah ciri unik dalam menjaga kesucian al-Quran.
Jika
ada lagi yang masih semberono mengatakan al-Quran berbaris itu tidak
tulen, dan mengatakan al-Quran yang asal itu tidak berbaris, maka fikir
semula.
Al-Quran
diturunkan secara lisan, bukan secara bertulisan. Maka di mana asasnya
dakwaan pihak berkenaan mengenai al-Quran itu asalnya tiada baris
sedangkan al-Quran itu diturunkan secara lisan, jika secara lisan, dari
mana wujud pertikaian barisnya?
Al-Quran
diletakkan baris bagi menjadikan sesuatu perkataan atau ayat itu
mengikut cara sebutan yang diucapkan Rasulullah sepertimana ia
diturunkan dan dilafazkan semasa Jibrail melakukan tugasnya menurunkan
wahyu kepada baginda. Ia juga bagi memudahkan bacaan dalam sebutan yang
betul, seterusnya memudahkan proses menghafal.
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Quran, al-Hijr: 9)
Jika
ada yang mempertikai baris al-Quran, cuba fikir semula dengan waras.
Al-Quran itu dibukukan (mushaf) dengan baris-baris supaya mudah dibaca
dan dihafal serta sebagai usaha dijauhkan dari tangan-tangan kafir yang
sentiasa mahu mengubah isi kandungannya bagi menyesatkan akidah Islam.
Juga supaya muncul generasi tahfiz, adalah lebih baik belajar menghafal
al-Quran daripada mempertikaikan barisnya.
Golongan
yang mempertikai baris al-Quran itu pula, adakah mereka hafal al-Quran?
Atau sekadar tahu mempertikai dan hanya merujuk terjemahan al-Quran
dalam bahasa Melayu sahaja? Jika merujuk terjemahan al-Quran dalam
bahasa Melayu, memang benarlah al-Quran itu tiada baris, kerana bahasa
Melayu memang tiada baris. Tetapi bahasa al-Quran diletakkan baris bagi
menjaga ketulenan dan kesuciannya, ia juga bagi membezakannya dengan
bahasa Arab yang difahami semua bangsa Arab tidak kira Arab Muslim atau
Arab kafir. Jika diletakkan baris, ia hanya boleh dibaca oleh orang
Islam yang tahu membacanya selepas belajar cara membacanya.
Kepada
golongan yang mempertikai baris al-Quran, nasihat di sini ialah
berkawanlah dengan semua orang, jangan taksub dengan fahaman sendiri
yang sempit. Berkawanlah dengan semua orang supaya akan dapat banyak
pengetahuan berguna, seperti pengalaman yang saya ceritakan tadi. Mohon
maaf jika saya tersilap dalam menyampaikan maksud artikel ini. jika ada
yang masih belum jelas, rujuklah kepada mereka yang lebih berilmu dalam
hal ini. Saya hanya sekadar menyampaikan mengikut sudut pandangan yang
saya fahami.
Allah lebih mengetahui terhadap segala perancangan-Nya dalam memelihara agama-Nya
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,645 other followers

%d bloggers like this: