Perangkap Ma’bad mengena dalam Perang Uhud


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEBAIK sahaja mendapat arahan daripada Rasullulah Ma’bad pun mengatur strategi untuk memperdaya tentera Quraisy yang masih bercita-cita untuk kembali menyerang umat Islam.

Ma’bad telah bertemu dengan Abu Suffian dan berkata: “Tidak sahaja kemarahan mereka meluap-luap terhadap kamu wahai Abu Suffian, mereka yang ketinggalan dalam peperangan yang kamu menang kali ini turut sama menyertai Muhammad kali ini.

“Mereka sungguh menyesal kerana terlepas peluang untuk ikut berperang dan kali ini mereka tidak mahu melepaskan peluang walau apa pun yang bakal terjadi.

“Di kalangan mereka membuak-buak rasa dendam terhadap kamu yang tidak pernah ku lihat sebelum ini,” kata Ma’bad.

“Jahanam kamu, apa yang kamu katakan ini wahai Ma’bad,” kata Abu Suffian dengan nada yang marah.

“Demi Allah, aku berpendapat lebih baik kamu pergi sahaja dari sini. Lupakan sahaja niat kamu untuk menyerang kembali Muhammad dan para pengikutnya itu, sebelum barisan tentera Islam di sebalik bukit ini nampak kelibat kamu di sini. Mereka telah bersiap sedia lebih daripada apa yang kamu sangkakan,” balas Ma’bad.

“Demi tuhan juga wahai Ma’bad, kami pun sudah seia sekata untuk melancarkan serangan terhadap mereka. Sehingga ke lubang cacing sekali pun kami akan buru dan hapuskan kesemua tentera Islam itu,” kata Abu Suffian tegas.

“Terpulanglah wahai Abu Suffian. Aku sekadar memberitahu dan memberi nasihat sahaja. Jika kau masih berdegil juga dan mahu juga pergi berperang dan terjadi pula apa-apa yang kamu tidak sukai, maka jangan salahkan aku. Jangan pula kata aku tidak pernah nasihatkan kamu sebelum ini,” kata Ma’bad sambil berlalu dengan wajah yang pura-pura kesal.

Segala yang diberitahu oleh Ma’bad itu turut diketahui oleh anggota tentera Quraisy yang lain dan mereka yakin berita itu benar.

Daripada cara apa yang disampaikan oleh Ma’bad itu, memang tidak mustahil tentera Islam kini sebenarnya mempunyai kekuatan yang luar biasa untuk menghancurkan mereka.

Abu Suffian tidak mempunyai pilihan lain kecuali terpaksa akur dengan desakan anak-anak buahnya supaya mereka teruskan sahaja perjalanan pulang ke Mekah.

Beliau begitu kecewa dengan pembatalan untuk menyerang tentera Islam itu. Baginya apalah erti kemenangan di Bukit Uhud itu jika seorang musuh tidak dapat ditawan, apatah lagi dapat merampas mana-mana harta perang!

Walaupun tidak puas hati namun beliau terpaksa juga pulang ke Mekah.

Namun Rasulullah terus berada di Hamra Al Asad pada hari Isnin, Selasa dan Rabu, iaitu 10, 11 dan 12 Syawal tahun 3 Hijrah sebagai langkah berjaga-jaga.

Setelah yakin pihak Quraisy tidak akan memberi sebarang ancaman, pada hari keempat barulah baginda pulang ke Madinah.

Walaupun tidak berlaku sebarang pertempuran antara pihak Islam dan tentera Quraisy namun peristiwa itu disebut dalam sejarah Islam sebagai Perang Hamra Al Asad.

Namun ekoran Perang Hamra Al Asad ini, dua musuh Islam berjaya dibunuh ketika tentera Islam pulang ke Madinah.

Pembelot yang dimaksudkan ialah Abu Azzah (Amar Abdullah) yang diampunkan oleh baginda sebelum ini kerana terlibat menentang pihak Islam dalam Perang Badar.

Setelah dapat ditawan, Abu Azzah meminta dibebaskan kerana dia ada ramai anak.

Baginda pun membebaskannya dengan syarat tidak lagi menentang Islam. Tetapi semasa perang Uhud, Abu Azzah lupa akan syarat dan janji tersebut.

Dengan kepakaran dan kemahiran bersyair, Abu Azzah berjaya meniupkan semangat tentera Quraisy untuk bangkit menentang tentera Islam.

Perbuatannya itu tidak dapat diterima lalu apabil dia ditawan semula ketika Perang Uhud baginda tidak lagi memberi sebarang peluang kepadanya.

“Tidak, demi Allah, kamu tidak boleh sampai di Mekah nanti, lalu kamu akan berkata: Saya berjaya menipu Muhammad (atau menyihir Muhammad) sebanyak dua kali,” kata Rasulullah.

Dalam sesetengah riwayat lain, baginda sebenarnya berkata: “Jangan sampai orang yang beriman itu disengat sehingga dua kali pada lubang (sengatan) yang sama”.

Lalu Abu Azzah dipenggal lehernya oleh Ashim Tsabit sebagai balasan kerana melanggar janji itu.

Seorang lagi yang berjaya diburu dan dibunuh ialah Muawiyah bin Mughirah, pemuda Quraisy yang dikatakan sering melakukan kerja-kerja pengintipan terhadap umat Islam.

Diriwayatkan dia berada lebih daripada tiga hari yang dibenarkan di Madinah setelah mendapat perlindungan atas permintaan Uthman bin Affan sebagai keluarganya yang terdekat.

Muawiyah datang menemui Uthman yang merupakan anak saudaranya di Madinah bagi mendapatkan perlindungan keamanan, lalu Uthman meminta kepada Nabi untuk membenarkan Muawiyah tinggal bersamanya di Madinah.

Baginda bersetuju dengan syarat tidak boleh lebih daripada tiga hari. Jika lebih dari itu dikhuatir Muawiyah sebenarnya melakukan kerja-kerja pengintipan bagi pihak Quraisy di Mekah.

Sebab itu, apabila baginda pulang semula ke Madinah pada hari keempat untuk memburu tentera Quraisy yang bermarkas di Hamra Al Asad itu, didapati Muawiyah masih berada di Madinah. Ini menyebabkan baginda mengarahkan Muawiyah dikejar dan dibunuh.

Mangsa ejekan munafik

Sekembalinya dari Perang Uhud dan Hamra Al Asad itu, Nabi Muhammad berserta tentera Islam yang lain masih dalam keadaan penat dan letih.

Luka-luka yang dideritai oleh baginda dan anggota tenteranya juga belum sembuh dan perlukan masa yang lama untuk mereka kembali kuat seperti sedia kala.

Maka dalam keadaan lemah seperti ini, kaum Muslimin menjadi mangsa ejekan kaum munafik terutamanya oleh ketua mereka, Abdullah bin Ubay bin Salul yang mengejek dan mentertawakan kaum Muslimin.

Dengan sombongnya mereka berkata: “Sekiranya mereka itu (yang dimaksudkan adalah kaum muslimin) mengikut kata kita, tinggal bersama kita, nescaya mereka tidak akan dibunuh (dalam perang Uhud). Lihat sekarang, mereka terpaksa menanggung sengsara atas kedegilan mereka sendiri.”

Tidak cukup menjadi mangsa cercaan Abdullah dan para pengikutnya, kaum Yahudi di Madinah juga turut berbuat demikian.

Kedua-duanya, golongan munafik dan Yahudi berlagak sombong, riang gembira, bertepuk tangan mengejek Nabi dan kaum Muslimin yang lain.

Sehingga ada yang berkata: “Muhammad itu hanya hendak mencari kerajaan dan kekuasaan sahaja. Sekiranya dia betul-betul seorang nabi, tentu tidak begini jadinya (kalah di medan Uhud).

“Tidak ada seorang Nabi atau Rasul tuhan sebelum ini yang sampai mendapat kekalahan dan bahaya seperti ini.

“Jika dirinya sendiri mendapat ancaman yang membahayakan nyawanya sendiri apatah lagi para pengikutnya.”

Semua itu menjadikan baginda menghadapi dugaan yang lebih besar kerana mempunyai ancaman musuh dari luar dan dalam kota Madinah.

Pihak-pihak yang sebelum ini mengikat tali perjanjian untuk setia bersama dengan baginda pasti merasakan bahawa kedudukan mereka akan terancam dengan kekalahan tentera Islam di Medan Uhud.

Maka tiada gunanya untuk terus menyokong kerana dengan kekalahan di Medan Uhud itu, kononnya bukti Islam kini adalah lemah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 59,630 other subscribers
%d bloggers like this: