Keunikan Masjid Tok Ku Paloh


Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

MASJID Almarhum Engku Syed Abd Rahman atau Masjid Tok Ku Paloh di Kampung Paloh, Kuala Terengganu mungkin tidak segah atau secantik masjid baru sekarang, namun rumah Allah berusia 149 tahun itu ada rahsia dan kelebihan tersendiri.

Dibina pada 1862 berasaskan kayu cengal dan tembesu berdekatan dengan Sungai Paloh, masjid itu dipindah ke kawasan lain selepas tebing sungai mengalami hakisan sebelum dipindahkan kali kedua ke tapak masjid sekarang.

Penasihat yang juga imam masjid itu, Syed Mustapha Syed Abdullah, berkata masjid itu dibina ulama besar Terengganu, Tok Ku Paloh di tepi sungai bagi memudahkan jemaah mengambil wuduk, namun selepas mengalami hakisan ia dipindahkan ke kawasan lain dan bertahan selama beberapa tahun.

“Pada 1960 atas persetujuan ramai, masjid itu dipindah semula ke tanah wakaf Tok Ku Paloh berdekatan Muzium Losong dan kekal sehingga sekarang sebagai tempat ibadat penduduk Kampung Losong dan Pulau Rusa.

 

“Memandangkan masjid itu mempunyai nilai sejarah, ia yang diasaskan ulama besar Terengganu abad ke-19 yang juga penasihat utama Sultan Zainal Abidin III, ramai berkunjung ke sini setiap tahun.

 

“Mereka bukan saja datang merakam gambar atau menyelami rahsia Tok Ku Paloh, malah beribadat serta mempelajari Kitab Maarif Luffan iaitu antara 11 kitab yang ditulis sendiri Tok Ku Paloh,” katanya.

Syed Mustapha atau lebih mesra dipanggil Tuan Baru di kalangan penduduk berkata, dia antara cucu Tok Ku Paloh yang masih ada dan bertanggungjawab menguruskan hal ehwal masjid berkenaan sejak 1968.

“Mengikut cerita bapa saya serta orang tua, masjid itu mempunyai karamah dan ia tidak sewenang-wenangnya boleh diubah suai mengikut cita rasa sendiri, jadi 99 peratus reka bentuk asal masjid itu masih dikekalkan sehingga sekarang.

“Kami tidak mengubah reka bentuk masjid itu cuma menambah keluasan serta menyerikannya lagi dengan menara yang dibina pada 1964 hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, pernah seorang ustaz dan jemaah yang cuba mengalih mimbar ke sudut lain kononnya ingin membuat perubahan jatuh sakit menyebabkan mimbar itu dialih semula ke tempat asal.

“Bermula daripada peristiwa itu, jemaah atau sesiapa saja bimbang untuk membuat sesuatu perubahan pada masjid secara sesuka hati.

“Kayu cengal dijadikan tiang utama dewan solat dengan ukuran lilit 6 x 6 inci dikekalkan sehingga kini selain mimbar tradisional berwarna hijau yang melambangkan kebersihan dan kesucian,” katanya.

Tambahnya, masjid itu mampu memuatkan 400 jemaah dalam satu masa.

“Geduk yang juga dipanggil beduk atau tabuh digunakan untuk memanggil jemaah bersembahyang dengan cara memukulnya pada kulit belulang.

“Paling menarik timba tembaga berusia 51 tahun masih digunakan untuk menceduk air di dalam telaga yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung.

“Tempat mengambil wuduk iaitu kolah masih dikekalkan, tetapi diperbesarkan dengan meletak marmar di sekeliling dinding,” katanya.

Bercerita mengenai tangga asal masjid itu, katanya, dulu tangga kayu itu mempunyai sembilan anak tangga dan agak curam serta tiada penghadang atau tempat untuk berpaut.

“Tangga masjid kini mengalami perubahan mengikut keadaan semasa apabila dikurangkan kepada empat anak tangga walaupun begitu tangga kayu ini jarang digunakan selepas tangga simen yang lebih selesa dibina,” katanya.

Syed Mustapha berkata, Tok Ku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dilakukan di masjid itu sepanjang tahun termasuk majlis ilmu serta sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, majlis berbuka puasa serta gotong-royong membuat bubur asyura.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: