Perjuangan hebat dalam perang Uhud


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Umat Islam yang datang mengerjakan
umrah dan haji tidak akan melepaskan peluang menziarahi Makam Syuhada
para pejuang Perang Uhud yang terletak di kaki Bukit Uhud, iaitu
kira-kira satu jam perjalanan menaiki kenderaan dari Bandar Madinah.

SELAIN daripada Saad bin Rabi, para sahabat turut menemui seorang
lagi pahlawan di pihak Islam dalam keadaan luka yang amat parah dan
sedang menghabiskan saki baki nafas terakhi, iaitu Amru bin Tsabit.
Beliau mempunyai kisahnya yang tersendiri.

Para sahabat sebenarnya hairan apabila Amru turut bersama dengan umat
Islam lain untuk berperang menentang musuh, iaitu golongan kafir
Quraisy sedangkan dia sebelum ini dikatakan enggan menerima Islam.

“Wahai Amru, apakah sebabnya kamu datang untuk berperang di medan
Uhud ini? Adakah kerana kamu simpati kepada kaum kamu atau kamu
sebenarnya berminat untuk masuk Islam?” Tanya para sahabat.

Walaupun dalam keadaan hampir kehilangan nyawa itu, Amru masih mampu
menjawab: “Bahawa aku sebenarnya mempunyai keinginan untuk memeluk agama
yang dibawa oleh Muhammad dan aku telah sempat beriman kepada Allah dan
RasulNYA dan terus terpanggil untuk sama berjihad di medan Uhud ini.

“Sehinggalah aku mengalami kecederaan yang teruk seperti ini seperti
yang kamu lihat, yang tidak memungkinkan aku dapat hidup lebih lama
lagi,” katanya.

Sebaik sahaja beliau berkata demikian Amru pun menghembuskan nafasnya untuk pergi buat selama-lamanya.

Apabila diceritakan kepada Rasulullah, baginda memberitahu bahawa
Amru adalah penghuni syurga walaupun tidak pernah mendirikan solat.

Sebuah lagi kisah yang tidak kurang juga menarik ialah apabila para
sahabat menemui Quzman yang telah berjuang dan berjaya membunuh antara
tujuh hingga lapan orang tentera Musyrikin.

Tetapi akhirnya Quzman ditemui dalam keadaan separuh nyawa kerana menanggung kecederaan parah.

Lalu Quzman segera di usung pulang ke kampungnya, Bani Zafar untuk dirawat.

Bagi meringankan penderitaan para sahabat menghiburkan hatinya dengan
berita gembira bahawa Quzman pasti telah menempah dirinya ke syurga
Allah.

Tetapi Quzman berterus terang dengan jawapan yang sama sekali tidak diduga.

“Demi Allah, aku berperang ini hanya kerana semata-mata untuk menjaga
nama baik kaumku sahaja. Kalau tidak kerana itu, tentu aku tidak akan
turun untuk turut serta dalam peperangan ini,” katanya.

Apabila keadaan lukanya semakin parah dan tidak menunjukkan
tanda-tanda untuk pulih, Quzman yang tidak berdaya menahan sakit
mengambil jalan mudah dengan membunuh dirinya sendiri.

Apabila Rasulullah mendengarkan kisah Quzman, dengan berat hati
baginda memberitahu bahawa Quzman termasuk di kalangan ahli-ahli neraka.

Inilah akibatnya mereka yang berperang semata-mata kerana semangat
kebangsaan. Bukannya berperang kerana menegakkan agama Allah termasuki
Quzman yang berperang di bawah panji-panji Islam dan para sahabat dan
umat Islam yang lain.

Perang Uhud turut disertai oleh seorang Yahudi. Tetapi menariknya
beliau berjuang di pihak Islam. Mukhayriq adalah Yahudi dari Bani
Tha’labah yang sebelum meletusnnya Perang Uhud itu telah menyeru dan
mengajak kaumnya agar turut berganding dengan tentera Islam.

“Wahai sekalian orang Yahudi, demi Allah, kamu pun tahu bahawa adalah
menjadi kewajipan kepada kamu semua untuk menolong Muhammad dalam
peperangan ini,” seru Mukhayriq.

Tetapi kaumnya menjawab: “Hari ini adalah hari Sabtu. Adakah kamu lupa wahai Mukhayriq?”

Hari Sabtu adalah hari kebesaran untuk penganut Yahudi beribadat
sahaja. Malah untuk keluar mencari rezeki pun tidak dibenarkan apatah
lagi berperang.

“Pedulikan hari Sabtu kamu itu berbanding membuktikan perjanjian
keselamatan kita dengan Muhammad, untuk bersama-sama menghadapi sebarang
masalah dan serangan dari pihak musuh,” kata Mukhayriq.

Lalu beliau pun menghunuskan pedang dan melakukan persiapan untuk
pergi berperang sambil berkata lagi: “Kalau apa-apa terjadi kepadaku,
segala harta bendaku akan menjadi milik Muhammad, terserahlah kepadanya
bagaimana kesemua harta itu hendak diuruskan.”

Mukhayriq pun bersama-sama dengan umat Islam yang lain menuju ke Medan Uhud dan berjuang habis-habisan sehingga terbunuh.

Baginda pun sangat menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh pemuda
Yahudi itu dan berkata: “Mukhayriq adalah sebaik-baik orang Yahudi,
semoga akan ada tempat dan pembalasan yang baik dari Allah buatnya.”

Demikianlah sebahagian dari kisah-kisah yang menuntut kita supaya
mengambil ingatan dan pengajaran bahawa perjuangan di jalan Allah
menuntut segala macam pengorbanan.

Allah pasti akan membalasnya dengan balasan yang syurga Firdaus,
syurga yang paling tinggi kedudukannya, yang paling indah sehingga tidak
ada perkataan dapat menggambarkan keindahannya itu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: