Serambi Masjid: Nazar ulama hampir karam


 

Oleh Ismail Muhamad

KEUNIKAN seni bina Masjid Kampung Laut di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan, mampu menggamit sesiapa yang melihat untuk singgah menunaikan solat atau sekadar melihat keindahannya.

Masjid yang mengekalkan 90 peratus seni bina asal, selain dipenuhi dengan ukiran tangan itu adalah antara pusat agama penting pada akhir abad ke-19 dan diiktiraf masjid tertua di negara ini, bahkan di Nusantara.

Masjid ini asalnya didirikan di Kampung Laut, Tumpat, tetapi dibangunkan semula dan ditempatkan berhadapan dengan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Nilam Puri, Kota Bharu sebagai pusat pembelajaran agama dan kegiatan pelajar.

Usia masjid itu dipercayai melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan dengan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu pada abad ke-17 Masihi.

 

Selain diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini, masjid itu turut disenaraikan sezaman dengan Masjid Nat Tanjung dan Wadi Hussin di Thailand, Masjid Demak di Jawa, Indonesia dan Masjid Kono di Kemboja.

 

Difahamkan, masjid itu didirikan sekumpulan ulama yang berulang-alik dari Champa, Pattani dan Jawa. Dalam pelayaran, kapal ulama itu mengalami kerosakan dan bernazar jika sampai di daratan, mereka akan mendirikan masjid.

Dengan izin Allah, mereka mendarat di Kampung Laut dengan selamat dan menunaikan nazar dengan kerjasama masyarakat setempat.

Masjid itu dibina menggunakan empat batang tiang beratap daun nipah dan menjadi tempat persinggahan alim ulama di Nusantara.

Masjid itu diperbesarkan dengan membina bumbung setinggi tiga tingkat, serambi, menara, balai, kolah, dan loteng.

Pada akhir abad ke-19, ditambah keluasan bilik solat, serambi, dan menara. Selain itu, 20 batang tiang dibina untuk menampung binaan tambahan itu dan ia menggunakan teknik ‘tebuk-pasak’ yang amat unik.

Ia dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan paku dan atap rumbia diganti dengan genting.

Tiang daripada empat ditambah menjadi 20 batang dari kayu cengal manakala lantainya daripada kayu sama.

Banjir besar yang melanda Kelantan akhir 1966 menyebabkan masjid itu rosak teruk.

Justeru, kerajaan negeri menerima cadangan Persatuan Sejarah Malaysia memindahkan masjid itu dengan membuka struktur asal sebelum dibina semula di tanah kepunyaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Nilam Puri, Kota Bharu.

Pada 1988, masjid itu dibaik pulih dan dibesarkan 13 kali daripada masjid asal.

Kini, masjid itu hanya digunakan sebagai tempat solat, selain pusat pembelajaran agama.

Sejak 1999 hingga kini, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dengan kerjasama dan bantuan kewangan daripada Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia menjalankan kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pengindahan masjid itu.

Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Che Ibrahim Mohamed, berkata masjid itu menjadi tumpuan kerana seni bina yang unik dan penuh kreativiti.

Beliau berkata, selain untuk solat lima waktu, masjid itu menyediakan pelbagai prog ram agama.

“Kami warga kerja dan juga pelajar dari Kias serta pelajar dari kawasan sekitarnya datang solat berjemaah di masjid ini selain mengikuti program pengisian agama seperti kuliah dan pengajian kitab lama,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: