Judi masa kini


 

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

DALAM artikel lepas, telah dikupas serba sedikit mengenai bahana judi kepada individu, keluarga, masyarakat dan sistem ekonomi secara keseluruhannya.

Pelbagai pendedahan yang dibuat menunjukkan elemen judi sudah membarah dalam masyarakat sehingga dirasakan seperti sukar untuk dikikis.

Antara faktor yang menyumbang kepada wujudnya suasana negatif dan tidak sihat itu adalah kerana kurangnya kesedaran masyarakat tentang bahayanya judi.

Ia juga mungkin berlaku kerana kurangnya ilmu berkenaan judi dan unsur-unsur yang boleh membawa kepada berlakunya judi.

Lebih-lebih lagi dewasa ini banyak aktiviti perjudian berselindung di sebalik pelbagai nama peraduan atau pertandingan.

Para pembaca mungkin terus boleh mengatakan aktiviti-aktiviti berikut adalah judi seperti lumba kuda, loteri, kasino, laga ayam dan sebagainya kerana sudah biasa mendengar.

Namun, terdapat bentuk-bentuk perjudian moden yang kurang diketahui oleh masyarakat.

Banyak taktik dan strategi barudigunakan untuk mempengaruhi dan mengaburi mata masyarakat supaya terlibat dengan perjudian tersebut.

Antaranya, dengan menawarkan hadiah yang lumayan dan menjenamakan perjudian tersebut dengan jenama yang menarik untuk mengaburi mata masyarakat.

Akhirnya, ramai yang terjerumus dalam kancah perjudian itu tanpa disedari.

Aktiviti yang biasa dan banyak terdapat elemen perjudian di dalamnya adalah yang melibatkan pertandingan atau peraduan.

Pertandingan atau peraduan boleh menyebabkan berlakunya perjudian apabila terjadinya dua perkara.

Pertama, melihat kepada permainan yang dianjurkan. Sekiranya permainan berkenaan bergantung kepada tuah atau nasib untuk memenanginya, maka ia dikira sebagai judi terutama apabila peserta yang ingin terlibat perlu membayar sejumlah wang sebagai yuran.

Sekiranya ia tidak melibatkan sebarang bayaran seperti cabutan bertuah yang biasa dianjurkan di majlis-majlis, maka hukumnya adalah harus.

Namun, jika cabutan bertuah yang dianjurkan mengenakan bayaran sebagai syarat menyertainya, maka ia sudah dikira sebagai judi.

Ini seperti yang dijelaskan di dalam Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) Pin. 1983 bahawa penganjuran atau penyertaan atau permainan seperti acara cabutan bertuah yang berasaskan kepada nasib atau kepandaian dan nasib bagi pertaruhan wang atau barang ganti wang nasib adalah termasuk dalam pengertian judi yang tidak dibenarkan.

Apabila sesuatu peraduan itu memerlukan bayaran tambahan sebagai syarat menyertainya, maka hukumnya adalah haram. Sebagai contohnya, peraduan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Biasanya, untuk menyertai peraduan ini, pihak peserta perlu berbalas SMS dengan pihak penganjur yang mengemukakan soalan.

Pihak penganjur pula membuat provokasi supaya peserta meneruskan peraduan sampai kepada soalan yang terakhir. Ayat-ayat seperti: “Anda mungkin pemenangnya”, “Anda sudah hampir ke garisan penamat”, “Anda mungkin akan membawa pulang kereta baru hari ini”.

Perkataan-perkataan begini biasanya digunakan untuk mempengaruhi peserta mengambil bahagian sehingga tamat walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi setiap kali menghantar SMS.

Peserta akan kecewa dan marah apabila tidak berjaya memenangi peraduan berkenaan kerana telah membayar caj yang agak tinggi.

Maka di sinilah timbulnya permusuhan dan pergaduhan antara satu sama lain. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (al-Maidah: 91)

Tinggalkan komen

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 62.1K other subscribers