Mencari pemimpin setulus Umar bin Abdul Aziz


Susunan Zulkiflee Bakar

Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz menangis teresak-esak. Melihat keadaan beliau itu, beberapa penyair datang dengan maksud bagi menghiburkannya tetapi Khalifah Umar menolak dengan baik.

Sikap Khalifah Umar itu turut mendapat perhatian anaknya yang resah melihat ayahnya menangis hampir sepanjang hari. Walaupun dia berusaha menjadi penyebabnya namun anak Umar gagal mendapat jawapannya.

Berikutan itu isteri Umar, Fatimah bertanya kepada suaminya: “Wahai suamiku, mengapa engkau menangis seperti ini?” Umar pun menjawab: “Sesungguhnya aku telah diangkat untuk memimpin urusan umat Nabi Muhammad SAW.

“Aku termenung memikirkan nasib para fakir miskin yang sedang kelaparan, orang-orang sakit yang tidak boleh diubati, orang-orang yang tidak mampu membeli pakaian, orang-orang yang selama ini dizalimi dan tidak ada yang membela, mereka yang mempunyai keluarga yang ramai tetapi hanya memiliki sedikit harta, orang-orang tua yang tidak berdaya, orang-orang yang ditawan atau dipenjara, serta orang-orang yang menderita di pelosok negeri ini.

“Aku sedar dan memahami bahawa Allah pasti akan meminta pertanggungjawabanku berikutan amanah yang aku pikul. Namun, aku bimbang tidak sanggup memberikan bukti bahwa aku telah melaksanakan amanah ini dengan baik sehingga aku menangis”.

Khalifah Umar kemudian membaca firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 15 yang bermaksud: Sesungguhnya aku takut kepada seksa hari yang besar (kiamat) jika menderhakai Tuhanku.

Persoalannya berapa ramaikah pemimpin pada masa ini yang mempunyai semangat dan roh seperti Khalifah Umar.

Ada pula antara mereka hanya bijak menjadi Khalifah Umar sebagai alat politik tetapi dari corak pentadbiran jauh sekali dengan apa yang dilakukan oleh beliau.

Begitu juga ada di kalangan kita begitu ghairah untuk merebut jawatan dan kedudukan tanpa mahu memahami bahawa setiap yang dilakukan itu pasti dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak.

Tetapi beginilah dunia, keghairahan untuk berkuasa menyebabkan kita terlupa terhadap pembalasan yang menanti.

Kuasa dan kedudukannya bukan lagi dilihat sebagai satu amanah tetapi lebih banyak diperalatkan untuk kepentingan diri mahu pun kelompok masing-masing.

Adalah sesuatu malang akibat keghairahan ingin berkuasa ini yang menjadi mangsa ialah rakyat kecil yang tidak mengerti apa-apa.

Ada antara mereka hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Mereka tidak tahu soal kuasa dan kedudukan, apa yang mereka tahu ialah mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan di alam fana ini.

Namun, malangnya ada di antara pemimpin kita yang hidup dalam kemewahan tanpa mahu merenung rakyat bawahan. Lihat sahaja bagaimana Khalifah Umar meletakkan kedudukan selepas dilantik menjadi khalifah, menyedari masih ramai rakyatnya miskin, menderita dan sengsara, Umar membuat keputusan tidak tinggal di istana, tapi hanya menempati rumah sederhana tanpa pengawal peribadi mahupun pengawal keselamatan.

Beliau juga menolak menggunakan kemudahan negara, termasuk pelbagai perhiasan yang diwariskan Khalifah Malik bin Marwan untuk isterinya.

Namun kita sekarang menempuh situasi berbeza, terlalu ramai pemimpin yang lupa daratan apabila sudah dilantik sebagai pemimpin.

Segala janji yang dibuat ketika berkempen bagi mendapatkan kedudukan hanya tinggal janji, tiada satu pun yang ditunaikan.

Apabila rakyat menuntut janji itu maka pelbagai alasan diberikan tanpa mahu mengakui bahawa hakikat janji yang dibuat hanyalah semata-mata bagi meraih sokongan.

Atas sebab itulah Allah SWT mengingatkan golongan ini dalam surah al-Hasyr ayat 19 yang bermaksud: Janganlah kamu seperti orang orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Justeru adalah wajar jika mereka yang bergelar pemimpin menyedari tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Janganlah ghairah untuk berkuasa sehingga sanggup memperdayakan rakyat yang amat mengharap adanya pemimpin seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.

Ingatlah kuasa dan kedudukan tidak kekal lama, sebaliknya ia adalah amanah yang boleh disifatkan sebagai satu bebanan yang di akhirat akan dipersoalkan

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 17,514 other followers

%d bloggers like this: