2011 bersama perkasakan perundangan Islam


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Lihat kesilapan lalu, cari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun mendatang

TELAH BEBERAPA hari kita sama-sama meninggalkan 2010 dan beranjak memasuki 2011. Rasa masa berlalu sangat pantas dan mustahil masa yang berlalu dapat dikembalikan, sebaliknya kita hanya boleh merenung semuanya sebagai sejarah.

Sejarah mengajar kita lebih bertamadun dan bersedia menghadapi segala kemungkinan yang mendatang. Ada banyak perkara berlaku sepanjang 2010 yang memberi kesan kepada masyarakat.

Dari aspek perundangan, seperti tahun sebelumnya, 2010 menyaksikan beberapa perkara membabitkan perbincangan hebat kedudukan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama perkara 121 (1A) masih hangat diperbahaskan.

Beberapa kes menyentuh isu ini sehingga membawa kepada perbincangan sama ada Malaysia negara Islam atau tidak. Landskap politik yang berbeza dengan tahun sebelumnya turut memberi kesan kepada perundangan negara.

Malah, peruntukan lain yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan orang Melayu turut dipersoalkan walaupun ia sudah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan. Dokumen tolak ansur antara kaum sering dilupakan sejarahnya apabila sesuatu kaum menuntut bagi pihak kaumnya.

Digambarkan di negara ini seolah-olah kaum minoriti ditindas walaupun hakikatnya kaum Cina dan India mendapat banyak kelebihan.

Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 masih menjadi tajuk penting dalam perbahasan semasa. Peruntukan itu menetapkan pihak yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan petisyen untuk perceraian dengan syarat petisyen itu tidak boleh difailkan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pasangannya memeluk Islam.

Apabila membubarkan perkahwinan itu, mahkamah boleh membuat perintah kepada isteri atau suami untuk kepentingan anak kepada perkahwinan itu, jika ada, ataupun meletakkan syarat apabila membubarkan perkahwinan itu.

Mahkamah yang dimaksudkan di sini adalah mahkamah sivil. Seksyen 51 ini hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam itu memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah.

Pihak memeluk Islam tidak langsung mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan. Jika pihak yang tidak memeluk Islam enggan memfailkan petisyen atas alasan tertentu maka tidak ada sebarang remedi dan jalan keluar bagi pihak yang memeluk Islam.

Kita berharap pindaan terhadap seksyen itu dibuat dengan segera demi keadilan kedua-dua pihak sama ada yang Islam atau tidak Islam kerana Seksyen 51 ini seolah-olah menganggap memeluk Islam itu suatu kesalahan dan kerana itu orang yang masuk Islam perlu dihukum dengan menarik hak mereka untuk mendapatkan perceraian.

Persoalan murtad pula sudah dituntaskan termasuk dalam bidang kuasa mahkamah syariah. Namun, masih ada yang enggan menerima hakikat kewujudan mahkamah syariah dan bidang kuasanya.

Hingga ada yang cuba menidakkan bidang kuasa mahkamah syariah dengan mencampur adukkan bidang lain yang tidak termaktub di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Pernikahan bawah umur juga dijadikan polemik walaupun Islam membenarkan seorang yang mencapai umur baligh bernikah. Perspektif dari lensa dan norma hidup Barat mengehadkan pernikahan setelah mencapai umur 18 tahun dipegang erat sesetengah golongan walaupun agama membenarkannya.

Ketuanan Melayu, hak istimewa orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak juga tidak lepas dari menjadi perbahasan. Begitu juga kedudukan Raja-Raja Melayu yang ada kalanya dicabar pihak tertentu.

Politik sering mendapat tempat teratas semasa perbualan harian khususnya orang Melayu. Benih-benih kebencian antara orang Melayu berbeza fahaman politik juga terzahir.

Kita wajar menoleh ke belakang melihat kesilapan yang berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun akan datang. Berpindah ke tahun baru sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar.

Kita ingin melihat negara berjaya mencapai status negara maju dengan nilai murni dipertahankan. Semoga 2011 membuka lembaran lebih baik serta membawa kebaikan untuk semua khususnya bagi perundangan Islam.

Terlalu banyak perkara menanti pada 2011. Jika kita masih tidak melakukan anjakan paradigma sudah pasti 2011 akan berlalu tanpa sebarang pencapaian membanggakan. Semoga 2011 akan menjadi tanda aras kejayaan kita. Selamat tahun baru.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 16,894 other followers

%d bloggers like this: