Jalan pintas bernikah undang risiko


Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


PERNIKAHAN di luar negara tanpa kebenaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Keluarga Islam. – Gambar hiasan

Pasangan mahu kahwin di luar negara perlu fikir masalah bakal timbul

JIKA diamati sekarang ini, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira nama, pangkat, darjat dan status, berkahwin di Selatan Thailand sama ada di wilayah Songkhla, Narathiwat atau Pattani. Saya dimaklumkan oleh seorang rakan ketika saya berkunjung ke Kelantan baru-baru ini bahawa di Majlis Agama Islam Narathiwat saja lebih 10 pasangan dinikahkan sehari.

Kalau betul angka itu, bermakna isu ini amat serius dan ia amat membimbangkan. Persoalannya, apakah sebab atau faktor menyebabkan individu tertentu ini mengambil ‘jalan singkat’ tanpa mengira kesannya dari sudut perundangan serta hukum syarak.

Pernikahan di luar negara tanpa kebenaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Akta/Enakmen Keluarga Islam apatah lagi bagi individu yang sudah mempunyai isteri. Wujud pelbagai faktor menyebabkan mereka ini bernikah di luar negara. Antaranya, alasan masalah keluarga.

Ini merangkumi suami, wali sengaja enggan menikahkan atas pelbagai alasan wali sendiri, ibu bapa atau ahli keluarga tidak merestui pernikahan itu disebabkan masih dalam alam pengajian, tidak seketurunan atau keluarga sudah ada calon mereka sendiri.

Kesan ketidakizinan keluarga ini menyebabkan hasrat pasangan bernikah melalui ‘proses biasa’ tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Akibatnya, mereka bernikah di luar negara bagi menyelesaikan permasalahan mereka.

Selain itu, sebilangan pasangan bernikah di luar negara bagi tujuan poligami, kerana sudah mempunyai isteri lain sama ada satu isteri, dua atau tiga. Undang-undang di negara kita menetapkan bagi lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu, perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Namun demikian ada pasangan mengambil jalan mudah untuk nikah di luar negara atas alasan kerana tentangan isteri sedia ada, tidak mahu isteri sedia ada mengetahui atau mengelak diketahui pihak tertentu seperti majikan atau keluarga.

Selain itu, faktor kewarganegaraan juga dikatakan menyumbang kepada penyebab pernikahan luar negara ini. Keadaan di Malaysia pada masa ini ialah ada warganegara asing yang datang berkunjung atau warganegara Malaysia ke luar negara sama ada kerana melancong, belajar, bekerja atau menjalankan urusan perniagaan.

Hal ini secara tidak langsung mendorong hubungan peribadi antara warganegara asing dengan penduduk tempatan. Hasil hubungan itu, sebilangan mereka yang melangsungkan akad nikah di luar Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri atas pelbagai alasan seperti sedang berada di negara berkenaan dan tidak sempat balik ke Malaysia, memerlukan kos tinggi untuk berulang alik dan juga disebabkan pernikahan dengan warganegara asing itu adalah pernikahan poligami.

Faktor undang-undang juga dikatakan berperanan kepada penyumbang berlakunya pernikahan luar negara. Peraturan pernikahan melalui Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang diguna pakai di seluruh negeri di Malaysia, antara lain bertujuan menyusun atur dan mengawal isu berkaitan dengan perkahwinan, perceraian dan hal yang bersangkutan dengannya.

Bagaimanapun, ada segelintir masyarakat beranggapan peruntukan undang-undang yang ditetapkan adalah ketat dan ia menyusahkan dan membebankan. Umpamanya peraturan mensyaratkan setiap pasangan yang hendak bernikah mengisi borang dan melengkapkannya, menghadiri kursus pra perkahwinan, mendapatkan surat akuan bujang, surat akuan mastautin, surat pengesahan HIV, surat pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara bagi pemegang penduduk tetap, menghadiri temubual dan sebagainya yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang.

Malah bagi kes tertentu, ia akan dirujuk ke Mahkamah Syariah dan kelulusan seperti wali enggan, permohonan poligami dan kes yang bersangkutan dengan perceraian. Bagi sesetengah pasangan, peraturan ini sangat membebankan dan menjadi penghalang utama hasrat mereka untuk menjadi pasangan suami isteri. Sebagai langkah alternatif, bernikah di luar negara dengan anggapan prosesnya lebih mudah berbanding di dalam negara sendiri.

Sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih oleh pasangan asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syaratnya. Bagaimanapun bagi memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran untuk melangsungkan pernikahan hendaklah diperoleh terlebih dulu mengikut proses undang-undang.

Pernikahan luar negara mempunyai kesan iaitu memungkinkan pasangan dipisahkan jika pernikahan itu tidak sah, pasangan dikenakan denda atau penjara, serta sukar mendapat hak suami atau isteri. Lantaran itu, setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah, sepatutnya memikirkan kesan pernikahan itu secara mendalam sebelum tindakan nekad diambil bagi mengurangkan masalah baru yang bakal timbul akibat pernikahan itu.

Dari segi perundangan pula, contohnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Seksyen 23(1) mengenai poligami memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan Mahkamah Syariah terlebih dulu.

Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran itu, maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Satu kesan perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan. Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah. Ia satu rekod yang mensahihkan perkahwinan berkenaan, bukan saja menurut undang-undang negeri malah menepati hukum syarak.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa pihak perempuan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah nanti.

Pihak perempuan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara mudah terutama sekali jika ia dilakukan di luar negara, tanpa wali hadir atau tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.

Comments
3 Responses to “Jalan pintas bernikah undang risiko”
  1. hamid harun berkata:

    salam mat Isa… sy tak setuju dgn ulasan anda..anda kena berfikir lebih jauh lg. Sebenarnya Islam ini agama mudah… jangan menyusahkan pekara mudah. jgn memperbanyakan perzina dan kes buang bayi di malaysia ini kerana takut undang2 rekaan manusia semata-semata.Jika seseorang itu nak berkawin bagikanlah. saya nak tanya jika seorang itu nak berzina adakah tuan nak bagi.. sebab takut gi kawin ke Thailand atau dimana2. kamu telah tidak mengiktiraf hukum Allah tapi kamu ikut hukum manusia.Mana lebih baik ikut hukum manusia atau Allah. kamu telah meyempitkan pemikiran kamu sendiri tentang Agama ini. YANG MENJADI KESALAH DALAM HAL INI IALAH BERZINA!!!! KAWIN DI MANA2 JUA ADALAH HALAL DAN AMAT MULIA DI SISI ALLAH S.W.T… FAHAM TAK. JANGAN DUK FIKIR UNDANG YANG DIREKA OLEH MANUSIA.lihat lah berapa banyak perzinaan dan kes buang bayi Di Malaysia ini, di sebabkan berpunca dari kesukaran nk kawin. Artikal seperti di atas adalah antara yang menyukarkan nk kawin, menyebabkan ramai yg ambil jln mudah iaitu berzina. kamu nk tanggung ke?? benda halal jgn nk memberi kesukaran sepatutnya berilah peluang seluas-luasnya. APA NAK JADI DENGAN KAMU NI. SILA LIHAT DI BAWAH INI

    Kahwin Lari di Selatan Thailand
    Keputusan:

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat :

    1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah

    2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah

    3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin.

    4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

    KAMU MEMBUAT ARTIKAL YANG BUKAN2.. GUNA OTAK SIKIT JANGAN DUK GUNA KEPALA LUTUT. ISK2…..

    • Louco berkata:

      Alhamdulillah…. satu komen yang baik…. semoga mudah lah anak2 kita kawin lari ke siam bila afa masalah untuk kawin .dengan restu keluarga. Kenapa nak ikut undang2 keluarga islam yang menyusahkan, lagi pun yang buat undang2 tu Ustaz2, mufti2 dan ahli Agama apa dia org tau? Kita kan lagi pandai. Ha ha ha rock bro

Trackbacks
Check out what others are saying...
  1. […] “JIKA diamati sekarang ini, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira nama, pangkat, darjat dan status, berkahwin di Selatan […]



Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,029 other followers

%d bloggers like this: