Memperkukuhkan kembali akidah umat


Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN

 

AGAMA Islam sejak permulaan dakwahnya sehingga kini sering menghadapi cabaran dan rintangan. Umat Islam yang mempunyai kekuatan iman memahami bahawa setiap Rasul yang diutuskan ke dunia sering menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran sehingga terdapat di antara mereka dibunuh oleh masyarakat bukan Islam seperti mana terjadi kepada Nabi Zakaria dan Nabi Yahya.

Bagi memperkukuhkan akidah, umat Islam perlu merenung kelemahan diri sendiri dalam menghayati ajaran Islam. Sejauh manakah umat Islam melaksanakan ajaran agama telah banyak dibahaskan.

Ramai umat Islam terlalu ghairah dengan perkara-perkara keduniaan sehingga terlupa bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah sebelum kembali menemui Allah. Umat Islam kurang muhasabah diri dalam memperkukuhkan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Keasyikan terhadap kegiatan-kegiatan yang boleh melalaikan diri seperti terlalu mengejar keduniaan sehingga terlupa untuk mengisi keperluan kerohanian telah mengheret umat Islam ke kancah kemusnahan.

Remaja-remaja Islam semakin hari ramai melibatkan diri dalam pengambilan dadah, keruntuhan akhlak dan kurang mampu untuk mengharungi cabaran dan rintangan dalam kehidupan.

Sikap terlalu bergantung kepada kerajaan dalam setiap aspek kehidupan menjadikan umat Islam kurang aktif dan pasif untuk memperbaiki taraf kehidupan dan pendapatan.

Ini disebabkan mereka kurang diberi kesedaran bahawa keringat atau membanting tulang untuk mendapatkan sesuap nasi lebih diberkati Allah daripada mengharapkan bantuan daripada orang lain.

Di sini timbul persoalan adakah suasana dan gejala begini mempunyai hubung kait dengan kelemahan akidah dan keimanan? Ramai umat Islam kurang memahami konsep akidah dan keimanan Islam dalam perspektif yang luas.

Pemahaman terhadap akidah dan keimanan jika hanya didasarkan kepada kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman tanpa memahami huraiannya secara mendalam boleh mengakibatkan umat Islam menjadi fanatik dan tidak terdaya untuk menghadapi cabaran dunia yang sering berubah mengikut arus zaman dan keadaan.

Dalam pendakwahan Islam, tumpuan utama yang perlu disemat dalam sanubari umat ialah kepercayaan kepada tauhid iaitu hanyalah Allah Tuhan Yang Esa, Pencipta alam dan Tuan kepada semua makhluk.

Pemahaman terhadap Allah Yang Maha Esa bukan sahaja boleh memberi satu keyakinan yang mantap dan sukar untuk digugat tetapi ia juga boleh mendorong umat Islam mempertahankan maruah dan harga diri secara rasional dan dihormati.

Kepercayaan Allah sebagai Tuan kepada makhluk dan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di dunia ini boleh membuka minda dan hati nurani umat Islam tentang hakikat maruah dan harga diri mereka.

Keyakinan bahawa tidak ada konsep hamba dan tuan sesama manusia boleh mendorong umat Islam menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap masyarakat, negara dan agama tanpa terlalu mengharapkan kedudukan, pangkat dan ganjaran kerana mereka memahami tugas dan pekerjaan seharian mereka adalah amanah daripada Allah.

Hasil daripada kefahaman dan keyakinan ini boleh mendorong umat Islam tekun dan berhemah dalam pekerjaan tanpa melibatkan diri dalam kancah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan rakus terhadap kebendaan dan keduniaan.

Kejayaan umat Islam pada masa silam dalam membina tamadun yang gemilang dalam jangka masa yang pendek (lima ratus tahun) jika dibandingkan dengan Greek (lebih kurang satu ribu tahun) dan Rom (lebih kurang tujuh ratus tahun) adalah hasil daripada kefahaman konsep tauhid dalam perspektif yang luas.

Setiap individu Islam yang mempunyai keyakinan terhadap konsep tauhid yang mendalam meletakkan dirinya sebagai hamba Allah yang paling tawaduk. Jika seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dalam hal ehwal keagamaan dan dunia, dia sentiasa menonjolkan diri sebagai orang yang jahil dalam ilmu, sentiasa menghormati orang lain walaupun orang itu yang jahil dan berdosa.

Umat Islam yang mempunyai kefahaman akidah Islam dalam perspektif yang luas tidak akan menganggur dan ganas kerana perkataaan ‘Islam’ itu bermakna ‘taslim’ (menyerahkan diri kepada Allah) dan ‘salam’ (aman). Menyerahkan diri kepada Allah bukan bererti mengharapkan Allah menurunkan hujan emas dari langit tanpa berusaha dan berikhtiar.

Allah tidak akan memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya jika mereka malas dan sentiasa bergantung kepada orang lain kerana fitrah kehidupan makhluk-Nya di dunia ialah bekerja dengan menggunakan tenaga tubuh badan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia ini kerana perkataan ‘dunia’ memberi pengertian ‘dunia bekerja’.

Umat Islam dalam tahun 2010 ini perlu memperbaiki kesilapan dengan menunjukkan sikap yang lebih berhemah dalam setiap aspek kehidupan. Perpecahan dan pergeseran sesama umat Islam sama ada dalam arena politik dan pentadbiran akan mengundang kerugian.

Perselisihan politik sepatutnya dianggap sebagai satu cara untuk memperbaiki suasana kepimpinan dan pentadbiran, bukan berdasarkan kepada permusuhan perbezaan fahaman politik sehingga konsep persaudaraan sesama Islam terjejas dan hancur.

Umat Islam adalah saudara dalam akidah Islam. Persaudaraan dalam akidah merupakan ajaran Islam yang mulia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 53,659 other followers

%d bloggers like this: