Seni hiasan lampu masjid


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

Lampu Masjid Mesir awal abad ke 20M/awal abad ke 14H.

 


 

MASJID pada hari ini kebanyakannya menggunakan lampu yang berbagai bentuk dan warna terutamanya chandelier import yang digantung di bawah kubah utama dan sekali gus menjadi hiasan dewan sembahyang masjid.

Selain menjadi hiasan utama dan sumber cahaya, chandelier juga menjadi lambang kemewahan dalam sesebuah masjid pada hari ini.

Dalam sejarah kesenian Islam, terdapat satu barangan kesenian yang dibuat khusus untuk masjid dan diberi nama lampu masjid.

Lampu masjid diperkenalkan sewaktu zaman pertengahan Islam pada abad ke 13 dan 14 Masihi di kawasan seperti Mesir, Syria dan Turki. Lampu masjid adalah sejenis lampu minyak yang selalunya diperbuat daripada kaca.

Industri barangan kaca yang berkaitan dengan lampu masjid dikatakan bermula di Syria seawal abad ke 12 Masihi dan kemudiannya tersebar ke Mesir dan kawasan lain selepas itu.

Pembuat barangan kaca di Syria dan Mesir pada abad tersebut dikatakan amat mahir dalam pembuatan barangan kaca berenamel. Barangan kaca berenamel mempunyai pelbagai warna.

Lampu masjid mempunyai bentuk yang sama walau di mana sekalipun ia dihasilkan. Ia mempunyai dua bahagian iaitu atas dan bawah.

Bahagian atas ialah bahagian terbuka yang dikategorikan sebagai mulut. Ia mempunyai mulut yang kembang sebelum ia menguncup di bahagian tengah dan kembang semula di bahagian bawah iaitu badan yang berbentuk bundar. Di bahagian bawah inilah minyak disimpan dan menjadi sumber kepada penyalaan api.

Pada zaman pertengahan Islam, lampu minyak dan lilin merupakan sumber cahaya yang utama kerana tenaga elektrik masih belum ditemui.

Lampu masjid biasanya digantung secara berkumpulan di tempat yang luas seperti di dewan sembahyang utama masjid ataupun digantung sederet di bahagian koridor masjid.

Di bahagian tengah dewan sembahyang lampu masjid ini disusun dan digantung secara bentuk bulatan pada selingkar besi yang menggunakan sistem takal supaya boleh diturunkan dan dinaikkan untuk tujuan penyalaan api dan mengisi minyak.

Jumlah lingkaran lampu masjid selalunya lebih daripada dua di bahagian tengah dewan sembahyang utama. Jumlah lampu masjid yang banyak di kawasan ini secara tidak langsung menyebabkan ia lebih terang berbanding kawasan yang lain.

Sewaktu zaman pemerintahan kerajaan Mamluk, lampu masjid disediakan oleh khalifah yang memerintah. Ini dianggap lambang kuasa yang dimiliki oleh seseorang khalifah pada waktu itu kerana cahaya yang menerangi dewan sembahyang diibaratkan sebagai kuasa pemerintah yang menerangi dan melindungi kehidupan rakyat di dalam empayarnya.

Lampu masjid sering dihiasi dengan ayat al-Quran yang berkaitan dengan cahaya sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar, pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (an-Nur: 35)

Hari ini lampu masjid masih digunakan di dalam masjid lama seperti di Mesir, Syria dan Turki tetapi dengan menggunakan mentol elektrik.

Terdapat juga lampu masjid yang diperbuat daripada seramik dan digantung sebagai hiasan untuk menyambung tradisi yang telah lama diamalkan di negara-negara tersebut walaupun ia tidak mempunyai fungsi praktikal.

Lampu masjid turut dijadikan motif pilihan untuk menghiasi tenunan sejadah atau tikar sembahyang bagi umat Islam. Beberapa artifak lampu masjid ada dipamerkan di galeri seramik Muzium Kesenian Islam Malaysia.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 12,892 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 12,892 other followers

%d bloggers like this: