Cara bina rumah tangga bahagia


Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

MENGHAYATI ayat al-Quran di atas menyerlahkan tanggungjawab suami dan isteri dalam kehidupan berumah tangga. Pastinya, setiap pasangan yang berkahwin mengimpikan kehidupan yang sejahtera, tenang dan bahagia.

Bagaimanapun, untuk mencapai tahap kebahagiaan itu memerlukan kepada ilmu rumah tangga. Ia pula amat berkait dengan kefahaman keagamaan yang ada pada pasangan suami isteri.

Sebabnya, antara langkah awal menentukan kebahagiaan berumah tangga adalah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW dalam bab memilih pasangan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Wanita dinikahi kerana empat faktor: hartanya, kedudukannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu pilih wanita yang bagus agamanya (keislamannya), agar dirimu selamat. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama amat terdedah kepada keruntuhan rumah tangga sekiranya tiada kesabaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berkata, kajian Jakim pada 2008 itu mendapati, pada tempoh berkenaan perkahwinan menghadapi cabaran hebat seperti rumah tangga mudah goyah sehingga berlakunya perceraian.

Dalam pada itu, katanya, dalam kajian pada 2007 pula mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian.

Selain itu, 27.7 peratus perceraian berlaku untuk tempoh enam hingga 10 tahun pertama perkahwinan.

“Kajian juga menunjukkan 44.9 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing selain masalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga,” kata Othman.

Oleh itu, penting untuk kita meletakkan matlamat utama perkahwinan adalah mencari reda Allah, insya-Allah rumah tangga akan selamat dan bahagia ke akhir hayat.

Demikian ditegaskan oleh pendakwah bebas yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dalam Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Memperkasa Institusi Keluarga’ di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Ia adalah anjuran bersama Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor dan Masjid An-Nur.

Seorang lagi ahli panel ialah Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman.

Ia dipengerusikan oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk, Bahagian Undang-undang Keluarga JAIS, Zainal Abidin Yusof.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor, Hashim Muhamad dan Nazir Masjid An-Nur, Harun Abd. Rahman.

Kamaruddin berkata, satu lagi perkara penting dalam mengekalkan kerukunan rumah tangga adalah cara berkomunikasi suami isteri.

Beliau berkata, suami perlu bijak mengurus rumah tangga agar berupaya memimpin isteri dan anak-anak mendapat ketenangan dan kegembiraan.

Menurutnya, sesuai dengan ayat Allah yang suami itu pemimpin, mereka perlulah membuktikan ‘kepemimpinan’ dalam rumah tangga.

“Untuk itu, paling kurang seminggu sekali suami kena jadi imam di rumah. Jangan pula dah kahwin 20 tahun tetapi tak pernah sekali pun mengimamkan solat dengan keluarga.

“Tidak kisahlah kalau setiap kali solat baca surah al-Kauthar dan al-Ikhlas asalkan sekurang-kurangnya mampu mengimamkan isteri dan anak-anak.

“Apabila suami mencapai tahap begini, barulah isteri dan anak-anak lebih hormat. Anak-anak pun turut bangga kerana bapa mereka boleh jadi imam,” katanya.

Sementara itu, Aluwi berkata, Nabi SAW telah memberi panduan bagaimana mengikat kasih sayang dan mencapai bahagia dalam rumah tangga.

Antaranya, suami isteri hendaklah solat berjemaah sekurang-kurangnya satu waktu dalam sehari semalam.

“Suami juga hendaklah makan makanan yang dimasak oleh isteri selain suami isteri selalu tidur bersama,” jelasnya.

Menurut Aluwi lagi, antara tanda rumah tangga bahagia adalah mempunyai isteri atau suami yang soleh.

Isteri yang soleh kata beliau, adalah apabila dipandang, suaminya rasa terhibur dan hilang penat, kalau disuruh dia taat dan apabila ditinggalkan musafir oleh suami, dia menjaga kehormatannya.

“Tanda-tanda lain adalah mempunyai anak-anak yang baik dan mempunyai rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang baik-baik akhlaknya,” tambah beliau

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 12,899 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 12,899 other followers

%d bloggers like this: