Sejarah Penulisan al-Quran


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Penulisan al-quran sebagaimana yang terdapat dalam mushaf hari ini memudahkan kita membaca ayat-ayat suci tersebut.

 

RAMAI di kalangan umat Islam pada hari ini kurang mengkaji berkaitan penulisan al-Quran. Alasan mudah ialah mengapa perlu dilakukan kajian terhadap penulisan di zaman dahulu sedangkan pada era ini al-Quran telah dicetak dengan lengkap dalam pelbagai bentuk yang menarik dan hiasan yang memukau.

Lebih daripada itu al-Quran pada ketika ini boleh di dapati dalam bentuk digital sama ada berbentuk cekera padat, pengisian komputer mahupun dimuat turun melalui telefon bimbit.

Namun perlu diingat hasil yang canggih pada hari ini bermula dengan usaha yang bersungguh dan berterusan generasi sebelum ini.

Jika mereka tidak memulakan penulisan al-Quran pada ketika itu sudah tentu generasi pada hari ini tidak akan melihat mushaf al-Quran dengan begitu baik dan tak mampu mereka cipta bentuknya yang canggih.

Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT yang terakhir. Baginda tidak boleh membaca dan menulis (ummi). Meskipun begitu ia bukanlah merupakan kekurangan kepada Rasulullah saw bahkan menjadi bukti kukuh kepada kebenaran ajaran yang dibawanya.

Sifat ummi pada Rasulullah adalah bukti yang amat jelas bahawa al-Quran bukan hasil penulisannya tetapi ia datang daripada Allah SWT.

Jika Nabi Muhammad boleh membaca dan menulis sudah tentu golongan musyrikin ketika itu akan membuat tuduhan bahawa al-Quran ini adalah tulisan tangan Rasulullah hasil daripada pembacaannya.

Semua orang perlu berfikir betapa baginda yang tidak tahu membaca dan menulis tetapi menyampaikan kalam yang suci yang tidak boleh ditandingi seluruh intelektual manusia meskipun mereka berkumpul untuk menandinginya.

Maka benarlah al-Quran itu adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Setiap kali wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad, baginda mengarah para sahabatnya menulis wahyu tersebut. Perkara ini telah bermula ketika Nabi Muhammad berada di Mekah lagi.

Peristiwa keislaman Umar Ibn Khattab ketika beliau hendak memegang helaian al-Quran yang tertulis padanya surah Taha menunjukkan bahawa al-Quran telah ditulis semasa Rasulullah di Mekah meskipun ketika itu umat Islam begitu lemah dan bilangannya tidak begitu ramai.

Setelah baginda berhijrah ke Madinah, penulisan al-Quran terus berkembang seiring dengan pertambahan orang yang memeluk agama Islam. Lebih menarik tentang perkembangan penulisan al-Quran ini apabila Rasulullah SAW telah menerima pandangan Abu Bakar al-Siddiq berhubung dengan tawanan perang Badar.

Antara pandangan tersebut adalah tawanan yang tidak mempunyai harta untuk menebus diri tetapi pandai menulis dikehendaki mengajar 10 kanak-kanak Islam.

Langkah yang diambil itu telah menjadikan ilmu penulisan berkembang di kalangan sahabat dan mereka dapat menyalin wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Menurut Sheikh Ali Dabba’, penulis wahyu di kalangan sahabat ialah seramai 43 atau 44 orang. Antara mereka ialah Abu Bakr Siddiq, Umar Ibn al-Khattab, Uthman Ibn Affan, Ali Ibn Abi Talib, Zaid Ibn Thabit, Khalid Ibn al-Walid, Muawiyyah Ibn Abi Sufiyan dan lain-lain.

Mereka bergilir-gilir datang kepada Rasulullah dan menulis wahyu di hadapan Rasulullah sejurus selesai penurunannya.

Menulis al-Quran di hadapan Rasulullah SAW dan membaca kembali tulisan tersebut adalah Taqrir atau pengakuan Rasulullah SAW yang sama dengan ucapan dan perbuatannya.

Ia merupakan hujah syarak bahawa penulisan al-Quran adalah tauqifi. Tauqifi bermaksud ia datang daripada Rasulullah SAW.

Lebih menguatkan lagi hujah tersebut terdapat panduan yang dikemukakan oleh Rasulullah kepada Muawiyyah cara menulis basmalah dengan sabdanya: “Letakkan dakwat dengan elok, tajamkan pensil, tegakkan huruf ba, ceraikan huruf sin, jangan julingkan huruf mim, cantikkan tulisan Allah, panjangkan tulisan rahman, perelokkan tulisan rahim.”

Ulama sepakat bahawa semua ayat al-Quran ditulis semasa hayat Rasulullah. Namun begitu ia tidak terkumpul pada satu tempat dan tidak tersusun surah dan ayatnya sebagaimana mushaf al-Quran pada hari ini.

Hikmahnya adalah kerana terdapat ayat-ayat yang dimansukhkan bacaannya yang diturunkan semasa hayat baginda.

Justeru Rasulullah SAW tidak mengarahkan para sahabatnya membukukan al-Quran.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 13,055 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 13,055 other followers

%d bloggers like this: