Berjemaah dalam menjaga kebersihan alam sekitar


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

KEHIDUPAN manusia dalam dunia moden terdedah kepada pelbagai wabak penyakit dan ada antaranya boleh meragut nyawa seperti penyakit demam denggi yang sedang merebak sekarang ini memerlukan perhatian semua pihak.

Islam sudah memberikan ingatan jelas berbentuk saintifik bagaimana kita dapat mengatur kehidupan dalam keadaan sihat sejahtera dengan memfokuskan kepada langkah pencegahan, bukannya pemulihan.
Contohnya, Islam meletakkan kualiti bersih sebagai prasyarat kepada sempurnanya iman seseorang hamba.
Paradigma fikir yang hanya menghargai kepentingan kesihatan tatkala ditimpa penyakit sewajarnya dihentikan dan meletakkan aspek kesihatan pada kedudukan tertinggi.

Benarlah kata Nabi SAW bahawa dua nikmat yang sangat manusia lalaikan ialah masa lapang dan waktu sihat. Inilah dua anugerah Allah yang kita abaikan dengan beranggapan ia akan bertahan lama.

Keasyikan mencari nafkah kehidupan dan dalam keghairahan meneroka harta kebendaan duniawi, dua perkara khususnya kesihatan diabaikan tanpa mengambil sikap berjaga-jaga. Ada juga dalam kalangan kita prihatin mengenai kebersihan tubuh badan saja dan tidak memberi perhatian alam sekitar.

Ini juga satu lagi sikap yang bertentangan dengan tuntutan agama kerana penjagaan kebersihan dan mengekalkan kesihatan turut merangkumi alam sekitar.
Penyakit demam denggi merebak secara berleluasa akibat tidak mengambil berat kebersihan persekitaran menyebabkan aedes membiak.

Kawasan persekitaran rumah, laluan air atau longkang yang tersumbat tanpa langkah pembetulan juga menyenangkan pembawa penyakit seperti nyamuk bermaharajalela. Seandainya diteliti umat Islam jarang memberi perhatian kepada aspek kebersihan persekitaran.

Jika adapun hanya apabila sesuatu penyakit sudah merebak. Pada waktu itulah penghuninya sibuk dengan aktiviti gotong-royong secara drastik kerana takutkan penyakit.

Kelemahan masyarakat hari ini ialah pemikiran yang menganggap bahawa kerja pembersihan alam sekitar adalah tanggungjawab pihak berkuasa. Sepatutnya menjaga kebersihan alam sekitar menjadi budaya kepada semua lapisan masyarakat.

Aktiviti bersama dalam sesuatu komuniti dianggap sebagai kegiatan amar makruf yang menjurus kepada manfaat bersama. Bukan kualiti kesihatan dapat dipelihara, malah ikatan ukhuwah dapat dipertingkat.

Allah menegaskan kepada umat-Nya supaya sentiasa berlumba membuat kebajikan. Inilah medan terbaik untuk setiap mukmin mempamerkan sikap berlumba mencipta kebajikan sesama ummah selain dapat mengikis sikap mementing diri sendiri.

Ini satu lagi nilai murni ditekankan Islam kerana semangat berjemaah bukan hanya terhenti dalam aspek ibadah solat, tetapi mestilah diterjemahkan dalam aspek kehidupan lain seperti aktiviti memelihara kebersihan alam sekitar.

Alangkah indah kehidupan masyarakat Islam seandainya segala aspek penghidupan dilaksanakan secara berjemaah dan ini tentu diberi keberkatan oleh Allah. Masyarakat bagai ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ mesti dihindari orang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika semua pihak sedar menjaga kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama, maka tidak perlulah pelbagai kempen diadakan. Ini tidak, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan terpaksa mencari pelbagai ikhtiar menyedarkan orang ramai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

Justeru, kita kena kembali menghayati seruan Islam yang mementingkan kebersihan supaya tahap kehidupan umat Islam di dunia ini terus berada pada kedudukan fizikal dan minda yang unggul

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,700 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 9,700 other followers

%d bloggers like this: