Budaya hedonisme binasakan masa depan


Oleh ZUARIDA MOHYIN

 

Iman menjadi benteng kepada anasir yang meruntuhkan akhlak.

 

MUDA hanya sekali… Itulah yang selalu dipegang oleh segelintir daripada kita, waima lelaki, perempuan, tua mahupun muda.

Lantas yang berfikiran pendek, mereka sanggup mencuba apa sahaja, waima membelakangkan syariatullah dan sunnatullah. Yang pasti, matlamat mesti dikota.

Pun begitu, masih ramai juga yang tidak melupakan kehidupan kekal selepas kematian. Lalu berusaha memperoleh kedua-duanya sekali.

Maka, mereka inilah orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta nasihat-menasihati dengan kesabaran. (al-‘Asr: 1-3)

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa menghargai zaman muda bererti menghargai masa. Di samping itu, pesanan Allah SWT tentang keberuntungan bagi mereka yang menjaga masanya dan memanfaatkan masa hidupnya dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.

Lantaran itu, tidak hairanlah kalau kita terbaca atau diberitahu tentang kisah Imam Syafie yang telah menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun. Setahun kemudian pula berjaya menghafal isi kitab Al Muwatha’ karangan Imam Malik yang berisi 1,720 hadis dengan sempurna.

Malah bukan itu sahaja, kehebatan generasi muda Islam terdahulu juga terbukti menerusi pencapaian Usamah bin Zaid menjadi panglima perang seawal usia 18 tahun.

Muhammad bin Qasim pula memperoleh kedudukan serupa pada usia beliau 17 tahun. Sementara Tharafah bin Al Abdu Syahid pada usia 26 tahun.

Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa bimbang dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat serta pemimpin negara.

Justeru Rasulullah SAW berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya. Diriwayatkan oleh imam at-Tirmidzi yang bermaksud: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang dinasihati baginda. “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Mudamu sebelum tua, sihatmu sebelum sakit, kayamu sebelum miskin, senangmu sebelum susah dan hidupmu sebelum mati.”

Berdasarkan hadis ini, belia yang cemerlang adalah yang memanfaatkan masa dengan betul seperti berusaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan takwa.

Dengan iman dan takwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Sekali gus, tidak mudah goyah oleh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, minum arak, zina, merempit, ajaran sesat, bersekedudukkan dan sebagainya.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang.

Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharap dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir menegaskan, fenomena runtuh akhlak ini seandainya tidak dibendung secara berhikmah, sudah pastinya menjadi barah dan seterusnya memusnahkan bangsa dan agama.

Katanya, perkara paling asas ialah membetulkan kefahaman akidah dan memantapkannya.

Abdullah ibnu Umar diriwayatkan berkata, bahawa generasi mereka diberikan iman sebelum menerima al-Quran. Namun hari ini, generasi kita sarat dengan maklumat dan ilmu, namun jiwanya hampir kosong daripada iman. Al-Quran adalah kitab hidayah kepada golongan beriman dan bertakwa.

“Dalam wasiat Nabi SAW kepada Muaz ketika diutus ke Yaman, pesanan nabi ialah agar seruan kepada iman dan kemantapan akidah. Apabila sudah mantap, barulah diberitahu tentang kewajipan solat. Ini satu pedoman Nabi SAW dalam berdakwah dan mendidik.

“Terdapat pemikiran segelintir Muslim yang tidak cuba menghalang gejala negatif ini, sebaliknya mencadangkan alternatif kononnya lebih selamat. Pemikiran ini seolah-olah menghalalkan zina dan seks bebas dengan syarat mesti selamat. Ini suatu pemikiran yang jauh daripada Islam,” ujar beliau kepada Mega, baru-baru ini.

Tambah Mohammad Nidzam, meskipun telah banyak penjelasan diberi berkaitan peranan dan harapan yang diletakkan kepada golongan muda, remaja masih tidak sedar kepentingan menghargai usia emas mereka.

“Mereka sibuk berseronok-seronok, muda hanya sekali dan sebagainya. Bila mereka sedar? Mungkin ketika terkandas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mungkin ketika usia sudah hampir 30 tahun dan sebagainya. Maknanya peluangnya untuk membaiki dan meningkat kualiti diri sudah kurang atau terhad,” tegas beliau.

Menurut Mohammad Nidzam, jika pemikiran remaja hari ini rosak, maka anak mereka akan lebih teruk. Jika remaja hari ini melihat menutup aurat bukan kewajipan, generasi anak mereka tidak akan malu lagi untuk memakai bikini.

“Oleh itu, remaja perlu bijak menghargai dan memanfaatkan usia remaja. Islam tidak melarang kita untuk berseronok tetapi hendaklah ada tahapnya. Ikut syarak,” katanya yang teringat satu syair Arab, “Jika kekal akhlak mulia, maka kekallah bangsa atau negara tersebut. Jika akhlak rosak, maka hancurlah negara”.

Hakikatnya, jelas Mohammad Nidzam, Islam menghargai semua lapisan umur. Ada hadis menyatakan agar pemuda menghormati insan yang lebih tua.

Dengan berbuat demikian, apabila dia tua nanti akan ada para pemuda yang menghormatinya pula. Itulah putaran hidup.

Katanya lagi, Nabi SAW menggunakan kekuatan dan semangat para pemuda dalam usaha dakwah. Ali ibnu Abi Talib adalah pemuda yang sanggup mengorbankan nyawa demi Islam.

Begitu juga, Musa’b ibnu U’mair, A’mmar ibnu Yasir, Bilal ibnu Rabah dan banyak lagi watak di zaman Nabi SAW adalah pemuda. Mereka dididik dalam madrasah nabawi.

“Para pemuda pada zaman nabi ada yang tergelincir. Namun ia diperbetulkan dengan baik dan berhikmah. Ada pemuda yang ingin berzina dan meminta izin Nabi untuk berzina. Kalau kita hari ini, mungkin kita akan mengumpat dan mengata macam-macam. Namun Nabi SAW dengan sabar mendidik agar ia benci kepada zina.

“Sebab itulah saya melihat usaha menyeluruh bagi menangani masalah ini adalah perlu. Antaranya, memantapkan lagi undang-undang Islam termasuk hukum hudud. Allah menjanjikan pencegahan jika ia dilaksanakan.

“Di samping itu, segala tindakan umat Islam semestinya dipandu dengan syariat Islam. Islam bukan sekadar untuk dibacakan doa sahaja, tetapi Islam mestilah diangkat, dimartabatkan dan didaulatkan,” tegasnya.

Pun begitu, pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: “Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Aidilfitri. Rasulullah bersabda: Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. (riwayat Ibnu Majah)

Namun, kecenderungan yang berlebihan kepada kesenangan dan hiburan menjadikan manusia alpa dan lalai dengan tipu daya dunia.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pembangunan Remaja & Belau, Kelab Remaja Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Mohd. Hafiz Abd. Hamid mengakui, dunia Islam menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menghancurkan nilai-nilai rohaniah.

Apatah lagi, tanpa benteng akidah yang konkrit dan akhlak sebagai pendinding, nescaya umat Islam tidak mampu menghadapi serangan musuh dari pelbagai sudut.

“Dalam membincangkan kerangka hedonisme, sudah pastilah unsur keseronokan dan kegembiraan merupakan intisari penting dalam aliran tersebut.

“Manusia dikatakan hidup bahagia apabila mereka mencapai klimaks keseronokan dan kegembiraan di tahap yang paling tinggi dan cuba mengelakkan elemen-elemen yang mendatangkan kesedihan dan kesukaran,” katanya.

Menurut Mohd. Hafiz, yang sebenarnya, budaya hedonisme jauh menyimpang dengan ajaran agama Islam yang kaya dengan nilai-nilai luhur yang terpuji.

Apa yang jelas budaya tersebut bertentangan dengan akidah Islam kerana ia bertuhankan nafsu.

“Ali Syariati, seorang ulama terkemuka Timur Tengah pernah berkata, tentangan terbesar bagi remaja Muslim masa ini adalah budaya hedonisme (kesenangan adalah hal yang paling penting dalam hidup) yang seolah sudah mengurat nadi,” jelasnya.

Oleh itu, tegas Mohd. Hafiz, petunjuk dan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam perlu dijadikan pedoman dan sempadan untuk dipatuhi oleh manusia.

Sesungguhnya iblis dan syaitan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir. (al-An’am: 32)

Atas kesedaran itulah, Kelab Remaja JIM dengan kerjasama Masjid As-Syakirin KLCC menganjurkan program Offline with Hedonism di dewan masjid tersebut, baru-baru ini.

Alhamdulillah, program yang terbuka kepada remaja antara usia 13 hingga 17 tahun itu mendapat sambutan kira-kira 70 peserta.

“Para peserta kebanyakannya ditemani ahli keluarga berada di perkarangan masjid seawal 8 pagi. Mereka disajikan sarapan pagi sebelum memulakan program.

“Dalam segmen Say No To Hedonism, kami cuba menjelaskan dan memahamkan para peserta tentang maksud sebenar budaya hedonisme dengan cara bersahaja dan diselang seli dengan komunikasi dua hala,” katanya.

Program sehari itu turut dimuatkan dengan pelbagai segmen agar tidak membosankan peserta.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 8,456 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 8,456 other followers

%d bloggers like this: