Nabi ketuai Perang Uhud


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Qurtubi berkata: “Imam al-Zuhri menyebut bahawa syaitan bertempik pada hari peperangan Uhud dengan meuar-uarkan bahawa Muhammad telah terbunuh hingga menyebabkan sahabat merasa lemah dan patah semangat.”

Kata Ka’ab bin Malik: “Aku orang yang pertama melihat Rasulullah SAW dengan dua mataku seraya menyeru dengan suara yang lantang: Ini Rasulullah SAW, kemudian Baginda mengisyaratkan kepadaku supaya diam, lantas turunnya ayat ini.”

Iktibar dan fiqh ayat 148:

i. Ibn Kathir berkata: “Ayat ini memberi maksud berapa banyak para nabi dan para sahabatnya yang mati terbunuh.” Inilah pilihan Ibn Jarir.

ii. Ibn Kathir juga berkata: “Pendapat tersebut menjadi pilihan Ibn Jarir, kerana dia berkata: Ada pun orang-orang yang membaca firman Allah yang bermaksud: Berapa ramai Nabi yang terbunuh bersama sejumlah besar sahabat mereka.

“Ini kerana mereka berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan terbunuhnya Nabi dan sebahagian sahabat yang ikut bersamanya adalah bukan kesemuanya. Sedangkan bukan kelemahan itu ditujukan kepada para pengikutnya yang tidak terbunuh.”

Seterusnya dia berkata lagi: “Orang yang membaca Qaatala (berperang), ia memilih hal tersebut kerana ia berkata: Seandainya mereka terbunuh, maka tidak ada firman Allah yang bermaksud: Mereka yang tidak lemah. Yang demikian itu jelas, kerana suatu hal yang mustahil bahawa mereka disifatkan dengan tidak lemah setelah mereka terbunuh.”

iii. Al-Qurtubi berkata: “Menjadi kewajipan ke atas manusia beramal apa yang ada dalam kitab Allah dan sunnah yang sahih untuk berdoa dan meninggalkan yang lain yang tidak sewajarnya seseorang berkata: Saya pilih begini sedangkan Allah telah pilih untuk nabi dan walinya bagaimana cara mereka berdoa.”

iv. Al-Maraghi juga berkata: “Ramai para nabi yang keluar berperang dengan disertai oleh pengikut-pengikut mereka. Mereka adalah orang yang menjadi pembawa petunjuk dan para guru agama, bukan menjadi pendeta-pendeta yang disembah.

“Mereka tidak mudah menjadi lemah, apabila ada di kalangan mereka yang luka atau terbunuh, biarpun yang terbunuh itu nabi mereka sendiri. Sebab mereka berperang semata-mata di jalan Allah SWT, bukan di jalan nabi mereka.

“Mereka menyedari bahawa nabi hanyalah orang yang menyampaikan ajaran Tuhannya dan memberi petunjuk kepada umatnya.”

v. Hamka berkata: “Banyak diceritakan kepada kita di dalam al-Quran tentang perjuangan Nabi-nabi terdahulu menegakkan agama dalam kalangan kaumnya dan kita mengetahui bagaimana kebiasaan kaum yang menentang itu.”

Maka ayat ini memberikan bayangan kepada kita, bahawasanya di samping kaum yang menentang, ada juga yang setia, sehidup semati dengan Rasul dan menerima apa sahaja yang diajarkan serta bersedia menimpa pelbagai musibah dan dugaan kerana menegakkan kebenaran. Tidak pernah mengeluh, lemah dan patah semangat.

vi. Quraish Shihab berkata: “Ayat ini masih merupakan lanutan kecaman. Kali ini dengan membandingkan keadaan mereka dengan umat-umat terdahulu. Dan berapa banyak bermaksud nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar daripada pengikutnya yang bertaqwa yang juga luka dan terbunuh sebagaimana yang kamu alami wahai kaum muslimin di Uhud.

“Mereka tidak menjadi lemah dan lesu iaitu mental mereka tidak mengendur dan tidak menyerah diri kepada musuh, atau berusaha meminta perlindungan kepada mereka sebagaimana mereka yang lemah imannya setelah ditimpa malapetaka di Uhud yang mengusulkan agar meminta perlindungan kepada tokoh musyrik ketika itu iaitu Abu Sufyan.

“Allah SWT menyukai dan memberi anugerah kepada orang-orang yang sabar dan tabah dalam melaksanakan kewajipan, menderita ujian serta dalam peperangan menghadapi musuh.”

vii. Al-Sonhaji berkata: “Terlalu ramai Nabi pada zaman dahulu yang berperang dan diikuti oleh orang-orang yang beriman dengannya.

“Mereka menganggap para Nabi itu sebagai guru yang membawa petunjuk kepada mereka, bukan sebagai orang yag diagung-agungkan untuk disembah.

“Mereka tidak takut sekiranya ada di antara mereka yang luka atau terbunuh dalam peperangan walaupun yang terbunuh itu Nabi mereka sendiri kerana mereka berperang kerana Allah bukan kerana Nabi, kerana Nabi itu hanya menyampaikan perintah dari tuhannya untuk membimbing umatnya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 48 yang bermaksud: Tiadalah Kami (Allah) utuskan Rasul-rasul itu melainkan untuk memberi khabar kegembiraan dan khabar ancaman.”

Iktibar dan fiqh ayat 147:

i. Qatadah dan al-Rabi’ bin Anas berkata: “Mereka tidak lesu atas kematian Nabi mereka, sedangkan firman Allah SWT yang bermaksud: Serta tidak pula menyerah.”

Qatadah berkata lagi: “Mereka tidak mundur dari usaha memenangkan perang dan membela agama mereka. Tetapi mereka terus memerangi apa yang diperangi Nabiyullah sehingga mereka menghadap Allah SWT (menemui ajal)”

ii. Al-Maraghi berkata: “Ayat ini mengisyaratkan bahawa dosa dan perbuatan melampaui batas menjadi punca kepada kehinaan. Sedangkan unsur-unsur ketaatan, keteguhan dan istiqamah menjadi sebab untuk mereka memperoleh kemenangan dan kejayaan.

“Oleh itu, mereka menadah tangan memohon kepada Allah SWT agar hati mereka dibersihkan daripada sebarang dosa dan diberi taufik agar tetap teguh ketika hati mereka diuji.

“Allah SWT menyatakan berkenaan dengan perkataan doa yang diucapkan mereka ini, bukan atas dasar takut yang dialami mereka dalam menghadapi musuh tetapi tujuan sebenarnya untuk menyindir sahabat-sahabat nabi yang bercita-cita untuk melarikan diri dari Perang Uhud.”

iii. Hamka berkata: “Pada ayat di atas diberikan kunci kemenangan, iaitu sabar. Kemudian datang ayat ini sebagai lanjutan. Iaitu ayat tentang orang-orang yang telah menyatakan setia dan bersandar teguh kepada Allah SWT di samping Nabi mereka yang tercinta.

“Mereka tidak patah semangat kerana percubaan, tidak menjadi lesu dan berdiam diri, melainkan sabar menantikan hasil perjuangan, kemudian mereka memohon ampun jika mereka melakukan dosa.”

iv. Quraish Shihab berkata: “Pada ayat ini dijelaskan sikap batin yang dicerminkan oleh ucapan-ucapan mereka.

“Ini menunjukkan bahawa walau ujian sedemikian berat, tetapi mereka tetap tabah, sehingga mereka tidak goyah pendirian, tidak pula mengucapkan kecuali kalimat-kalimat yang wajar dan permohonan yang sesuai. Kerana mereka berhati-hati, khuatir apa yang mereka alami itu adalah akibat daripada dosa dan kesalahan mereka.”

Iktibar dan fiqh ayat 148:

i. Al-Qurtubi berkata: “Pahala di dunia ialah kemenangan dan boleh mengalahkan musuh sedangkan pahala di akhirat iaitu dengan syurga.”

ii. Al-Maraghi berkata: “Allah SWT menyukai mereka kerana melaksanakan segala peraturan di dunia dan dicernakan sama ada di dalam tindakan mereka, sebagai orang yang layak menjadi khalifah Allah SWT di bumi.

Perbuatan yang dilakukan oleh mereka hanyalah untuk mencari keredaan Allah SWT. Mereka bertindak demikian demi untuk memperoleh kurnia keredaan Allah SWT.” Dalam ayat ini dijelaskan susunan pemberian ganjaran seperti berikut:

*Pemberian taufik terhadap mereka yang taat.

*Pemberian pahala kerana ketaatannya.

*Pemberian pujian, sebab mereka tergolong dalam golongan yang melakukan kebaikan.

iii. Hamka berkata: “Ayat ini menjelaskan bahawa permohonan mereka akhirnya dimakbulkan oleh Allah SWT setelah mereka memenuhi syarat-syarat berikut:

*Tidak mengeluh kerana dugaan.

*Tidak lesu dan patah semangat.

*Tidak mundur.

*Sabar menanti hasil perjuangan.

*Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap dosa yang dilakukan.

*Selalu memohon pertolongan kepada Allah SWT.

Dengan memenuhi keenam syarat ini, ganjaran Allah SWT pasti datang. Permohonan mereka tidak disia-siakan. Mereka diberikan kebahagiaan di dunia iaitu kemerdekaan dan mendapat kebahagiaan di akhirat kelak.”

iv. Quraish Shihab berkata: “Ayat ini menggambarkan sambutan Allah SWT atas permohonan mereka. Mereka ikhlas dan tulus berdoa, mengharapkan pertolongan Allah SWT bersungguh-sungguh dalam berjuang dan taat kepada Allah dan Rasul.

“Maka kerana itu, Allah SWT menganugerahkan mereka pahala di dunia berupa kemenangan, ketenangan dan nama yang baik yang tidak dapat dilukiskan dengan kata-kata.”

v. Al-Sonhaji berkata: “Sebaik-baik pahala di akhirat ialah syurga dan kenikmatan abadi yang ada di dalamnya. Pahala tersebut tidak akan berkurang sedikit pun bahkan melebihi pahala yang diterima di dunia.

“Allah mengasihi orang yang berbuat baik iaitu orang yang menegakkan peraturan Allah di bumi-Nya dengan amalan-amalan yang didasarkan daripada perintah Allah dan kerana Allah SWT.”

Semoga kita menjadi golongan yang benar-benar mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,702 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 9,702 other followers

%d bloggers like this: