Peperangan Tabuk Rejab 9H


Peperangan Tabuk merupakan peperangan yang terakhir yang telah disertai oleh Rasulullah S.A.W sepanjang hayat baginda. Ia berlaku pada bulan antara bulan haram iaitu bulan Rejab. Sebagaimana peperangan yang lain seperti peperangan Mu’tah dan Khaibar yang mana ia berlaku disebabkan oleh pengkhiatan yang dilakukan oleh kerajaan Rom terhadap pendakwah atau wakil Rasulullah yang ditugaskan menjalankan dakwah. Begitulah juga dengan apa yang berlaku sebelum berlakunya peperangan Tabuk yang mana Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an telah dibunuh dengan disalib di dalam air apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Apabila Rasulullah S.A.W mengetahui tentang pembunuhan yang kejam ini maka baginda tanpa bertangguh terus mengumpul bala tentera untuk keluar berperang di Tabuk  Tentera Rom telah menjadikan Balqa’ kubu di dalam menahan kemaraan Islam dan dakwahnya yang suci dan apabila mengetahui tentera Islam akan menyerang mereka maka di bawah panglima tenteranya iaitu Harcules dikumpul tentera Rom di Tabuk. Rom agak risau dengan kemaraan itu terutama selepas mereka tewas dalam peperangan Mu’tah. Mereka melihat kemaraan ini akan menyebabkan tanah jajahan dan kawasan yang telah dikuasai oleh mereka akan tergugat begitu juga dengan pekerja, perniagaan serta penyebaran agama Kristian akan terbantut.Memang benarlah janji Allah yang mana Nurullah akan terus terang dan akan menghilangkan segala jahiliah dan kekufuran yang melata sebelum datangnya Islam.  

     Panggilan jihad kali ini agak berlainan dengan peperangan sebelum ini kerana Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad dalam meninggikan Kalamullah yang suci dengan menjelaskan kepada tentera tujuan tersebut secara terang-terangan. Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak masyaqqah yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu. Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Uthman dan Abdul Rahman Al-‘Auf serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian.  

     Sebelum keluar ke medan Tabuk Rasulullah telah berhadapan  dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan BaniAmru binAuf. Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rassulullah dari turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demekian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar. Sikap mereka dinukil di dalam al_Quran melalui ayat 90 surah at-Taubah yang mana Allah berfirman yang bermaksud : Dan telah datang kepada nabi S.A.W mereka yang meminta keuzuran iaitu daripada golongan arab Badwi agar diberi kebenaran untuk mereka tidak turut serta ke medan peperanagn sedangakan mereka yang mendustakan Allah dan rasulNya duduk berdiam diri sahaja. Kelak orang-orang yang kufur di antara mereka kan ditimpa azab yang pedih. Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Mereka dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Sikap mereka ada tertera dalam al-Quran melalui ayat 49 yang bermaksud : Di anatara mereka ada orang yang berkata:” berilah keizinan kepada kami untuk tidak turut serta dalam peperangan dan janganlah kamu membuatkan aku terjerumus ke dalam fitnah”. Ketahuilah bahawa mereka sebenarnya telah jatuh ke lembah fitnah. Dan sesungguhnya neraka jahanam itu benar-benar meliputi mereka yang kufur. Dan melalui ayat 46 surah at-Taubah Allah memceritakan lagi denagn maksudnya : Dan jika mereka mahu berangkat tentulah mereka akan bersiap untuk turut sama dalam peperangan tetapi Allah tidak suka mereka turut serta, maka Allah melemahkan keinginan mereka dan katakan kepada mereka ” tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tidak turut sama itu”. Dan melalui ayat 81 surah at-Taubah Allah berfirman lagi dengan maksud : Mereka yang tidak turut serta ke medan peperangan itu merasa gembira kerana ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W dan mereka memang tidak suka untuk berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata : ”Janganlah kamu berangkat untuk pergi berperang dalam keadaan panas terik ini”. Katakanlah kepada mereka : ” Api neraka jahanam itu lebih panas jikalau mereka mengetahuinya”. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan di dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W. Perancangan jahat mereka dirakamkan dalam ayat 84 surah at-Taubah yang bermaksud : Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan jezayah yang mati dikalangan mereka dan janganlah kamu berdiri untuk berdoa kepada mereka di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan rasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik. Golongan  ketiga pula akan mereka menunggu Rasulullah untuk merasmikan masjid yang dikenali dengan Masjid Dhirar yang mana bertujuan untuk bermegah-megah, memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Rasulullah memang pada mulanya ingin solat di masjid ini tetapi setelah turunnya wahyu agar Rasulullah S.A.W manghancurkan dan merobohkan masjid ini sebagaimana ayat 108 surah at-Taubah yang bermaksud : Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid ini selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa iaitu masjid Quba’ sejak hari pertama lagi sepatutnya kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah suka kepada mereka yang bersih. Peristiwa ini memberi peringatan dan amaran kepada kita agar tidak menggunakan nama Islam untuk mengaburi kesesatan yang kita lakukan. Jika masjid yang merupakan simbol kesatuan dan kehebatan Islam pun mesti dirobohkan kerana didirikan bukan atas asas taqwa malah untuk kepentingan diri dan memecahkan perpaduan muslimin yang ikhlas berjuang untuk meninggikan kalimah Allah apatah lagi kesatuan ataupun sistem yang bersembunyi di atas nama mahu menegakkan Islam maka lebih layak lagi untuk ditentang dan ditukar kepada sistem Islam yang sejati. Islam tidak akan dapat ditegakkan dengan menggunakan sistem sekular ataupun sebarang ideologi ciptaan manusia yang takabbur menentang kehebatan sistem yang telah ditetapkan oleh Allah malah Islam akan kembali didaulatkan melalui Islam sendiri. Sebagaimana seseorang yang mahu menanam pokok durian maka dia hendaklah menanam benih durian bukannya benih yang lain.Walaupun Rasulullah S.A.W mengetahui pengkhianatan yang hendak dilakukan oleh para munafik ini tetapi baginda tidak membunuh mereka. Ini merupakan salah satu strategi dan mengelakkan daripada fitnah bahawa baginda membunuh sahabat sendiri. Ini mengajar kita agar tidak terburu-buru di dalam membuat keputusan agar segala natijah ataupun keputusan selepas itu menguntungkan Islam dan umatnya bukan merugikannya.  
  
      Pada mulanya tentera Islam berjumlah 30 ribu orang tetapi setelah ditolak dengan tiga golongan tadi maka ia berkurangan daripada jumlah asal. Ini merupakan ujian awal buat Rasulullah S.A.W sendiri dan tentera muslimin yang lain. Selepas itu Rasulullah S.A.W meneruskan perjalanan menuju ke Tabuk  yang  mana di dalam perjalanan Allah telah meunjukkan beberapa mukjizat Rasulullah S.A.W  seperti menurunkan hujan dan memenuhi lembah yang berdekatan tetapi tidak mtentera. Begitu juga dengan mukjizat membanyakkan bekalan makanan walaupun sebelum itu agak berkurangan. Setelah sampai di Tabuk, baginda S.A.W telah menerima surat daripada raja Busra yang menyatakan bahawa mereka tidak menghantar bala tentera mereka untuk berdepan dengan tentera Islam. Baginda telah meminta pandangan para sahabat berkenaan langkah mereka seterudan akhirnya dengan arahan baginda para tentera muslimin tidak mara ke arah kubu tentera Rom memandangkan tiada penduduk di kawasan itu yang telah memeluk Islam.  

     Walaubagaimanapun Rasulullah S.A.W telah membuat beberapa perjanjian dengan beberapa buah perkampungan yang berada berhampiran dengan Tabuk iaitu dengan raja Ailat yang bernama Yuhannah bin Rukbah, begitu juga dengan penduduk Khuraba’ dan Azrah. Mereka telah memberi jizyah kepada Rasulullah S.A.W. Disamping itu, Rasulullah S.A.W juga telah menghantar wakil bagi membuat perjanjian dengan qabilah-qabilah yang berada di bahagian utara Tabuk.  

     Rasulullah S.A.W telah menghantar  tentera berkuda seramai 420 orang di bawah kepimpinan Khalid bin Al-Walid untuk menawan ataupun meperjanjian dengan raja Daumah yang bernama Akidar bin Abdul Malik yang beragama Kristian. Akhirnya tentera yang diutus ini berjaya menawan Akidar dan ahli keluarga beliau . Dengan persetujuan Akidar, maka terjadilah perjanjian antara mereka dan Rasulullah S.A.W yang mana mereka menjadi ahli zimmah dan akan membayar jizyah kepada kerajaan Islam.  

     Peperangan Tabuk yang berlaku pada tahun 9H telah menyaksikan bagaimana tentera Islam yang keluar ke medan perang tidak menerima tentangan daripada pihak musuh bahkan tiada darah yang tumpah kerana pertempuran tidak berlaku apabila tentera Rom sendiri tidak menghantar tentera bagi menyekat kemaraan tentera Islam. Baginda S.A.W berada di Tabuk sekitar sepuluh malam dan telah berjaya membuat perjanjian bagi meluaskan lagi pengaruh Islam di kawasan itu melalui beberapa perjanjian yang berjaya dibuat oleh Rasulullah S.A.W dengan raja-raja mereka. Peperangan ini merupakan pembuka jalan ke arah penyebaran dan perluasan kuasa Islam ke atas kawasan yang mana selama ini dicengkam oleh kuasa Rom. Ini membuka mata kita tentang penyebaran Islam bukanlah melalui peperangan sahaja malah jalan untuk dakwah Islamiah merupakan suatu yang flaksibel. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W dengan raja-raja yang masih belum memeluk Islam pada masa itu berlainan dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin kebanyakan negara umat Islam pada masa kini yang mana dahulu Islam yang menetapkan perjanjian dan kuffar yang tunduk pada kuasa Islam tetapi Islam tidak akan melanggar perjanjian ini walaupun mereka kuat selagi mana kuffar tidak melanggarnya. Pada masa kini pihak kuffar yang memulakan perdamaian yang mana umat Islam mesti mematuhinya walaupun pihak kuffar seringkali melanggar perjanjian yang dibuat sehingga tanah, kuasa politik, ekonomi dan pelbagai bidang lagi yang ada pada negara tadi dirampas dan hilang dari tangan umat Islam. Dahulu Islam memerintah kerana umat yakin dan menggunakan sistem Islam tetapi kini umat Islam terjajah di negara sendiri apabila Islam digunakan hanya pada ibadat dan tidak diletak pada tempat selayaknya terutama pada pemerintahan dan perundangan.    Satu lagi pengajaran besar yang mesti kita ambil ialah bagaimana Rasulullah S.A.W tidak membenarkan para sahabat yang lain untuk berbicara dengan tiga golongan yang menarik diri daripada turut sama dalam peperangan Tabuk walaupun mempunyai kelengkapan tetapi akibat kepentingan diri mereka tidak berbuat demekian. Mereka ini merasa terseksa bukan sahaja tidak didekati oleh paras sahabat  malah isteri-isteri mereka turut berbuat demekian kerana patuh kepada perintah Rasulullah S.A.WMereka merasa menyesal dengan perbuatan mereka dan begitu mengharapkan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pemulauan ini berlangsung selama 40  malam sehinggalah turunnya wahyu daripada Allah mengenai pengampunan terhadap mereka ini. Ini memberi pengajaran yang besar kepada kita di dalam mengerjakan kewajipan dakwah dan jihad, kita mestilah sentiasa berusaha melakukannya tanpa ada di sana dalih untuk meninggalkannya atas alasan susah dan kepentingan diri tanpa mengira kepentingan dan maslahat Islam itu sendiri. Kita hendaklah menanamkan di dalam diri perasaan mahu menjadi hamba kepada perjuangan di dalam meninggikan kalimah Allah bukannya menggunakan Islam untuk kepentingan diri dan apabila dirasakan Islam mengongkong diri maka kita mengatakan Islam tidak sesuai dilaksanakan melainkan pada ibadat khusus sahaja. Sebenarnya Islam tidak pernah mengongkong kebebasan penganutnya tetapi mereka yang tidak faham dan tidak yakin dengan kesempurnaan Islam yang akan merasai begitu. Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah yang bermaksud : Kalau apa yang kamu seru kepada mereka merupakan keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan ke arahnya tidak jauh maka mereka pasti akan menyahutnya tetapi sebaliknya matlamat itu agak jauh pada perasaan mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah : ”jikalau kami sanggup nescaya kami akan bersama menuju ke medan peperangan bersma-samamu”. Mereka sebenarnya membinasalkan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang yang berdusta.  

       Surah at-Taubah pada kebanyakan ayatnya menceritakan mengenai peperangan Tabuk dan ia juga memaparkan bagaimana Allah begitu murka kepada mereka yang mengkhianati Rasulullah s.a.W dan Islam. Oleh itu apabila kita mahu membaca surah ini kita ditegah membaca Bismillahirrahmanirrahim. Sirah Nabawiyyah hendaklah dibaca untuk kita mengambil iktibar dan istinbat yang sepatutnya bukan sekadar untuk tahu dan menganggap ia sebagaimana sejarah-sejarah yang lain.Kita perlu ingat bahawa kita bukan sahaja wajib mengikut hadis yang berbentuk percakapan tetapi kita juga hendaklan mengikut segala hadis yang berbentuk perbuatan Rasulullah S.A.W. daripada sirah nabawiyyah banyak terdapat pengajaran dan strategi di dalam menjalankan dakwah dan paling penting mendirikan kerajaan Islam. Sirah dijulang Ummah Gemilang. 
 
 

Rujukan: 
1)Feqh Sirah, Dr Ramadhan al-Buthi 
2)Al-Quran al-Karim

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,704 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 9,704 other followers

%d bloggers like this: