Hukum ilmu sihir, hukuman ke atas ahli sihir – apa sikap negara?


Ibrahim Batturah al-Haddad
Dalam sebuah Negara Islam, apakah hukuman ke atas mereka yang mengamalkan ilmu sihir? Apakah pendirian Negara Islam ke atas mereka yang menggunakan ilmu sihirnya dengan tujuan membunuh dan merosakkan mana-mana bahagian tubuh seseorang dengan ilmu sihirnya?Sebenarnya kedudukan ilmu sihir ini bukan sahaja buruk di sisi umat Islam dan Negara Islam, malah dalam suatu kelompok masyarakat Barat Kristian pada suatu masa dahulu, ilmu sihir dan para pengamalnya telah dihukum bunuh.Mereka akan menangkap ahli sihir, mengikatnya di sebatang tiang, meletakkan kayu api di sekeliling ahli sihir itu dan akhirnya mereka membakarnya hidup-hidup sehingga ahli sihir itu mati bersama ilmu-ilmunya yang merosakkan itu.

Hal-hal begini boleh kita tonton lewat filem-filem seram yang dicetak oleh ‘madrasah’ Hollywood ke serata dunia suatu ketika dahulu. Daripada suatu segi, kita berkongsi pandangan yang sama dengan Kristian terhadap isu ilmu sihir ini.

Hanya akhir-akhir ini saja, Hollywood menjulang ahli sihir dan pengamalnya ke taraf yang tinggi melalui Harry Porter. Tetapi, dalam pada itu pun, masih kita terdengar beberapa laungan dan kritikan gereja terhadap filem berkenaan.

Demikian kedudukan ilmu sihir dalam kacamata pandangan Islam. Satu-satunya agama samawi yang mungkin masih terlibat di dalam amalan ilmu sihir itu ialah agama Yahudi.

Kabbalah, salah satu pegangan dan amalan dalam agama purba Yahudi itu, dianggap oleh sesetengah pengkaji sebagai ilmu yang berasal daripada Mesir Purba; amalan ahli-ahli sihir Firaun yang pernah bertempur dengan mukjizat Nabi Musa suatu ketika dahulu.

Agama Islam telah memutuskan bahawa ilmu sihir ini adalah ilmu yang haram diamalkan. Bagaimanapun terdapat juga khilaf yang menyatakan bahawa ilmu ini harus diajar. Manakala sesetengah ulama lain menganggap, ilmu ini haram diajar.

Namun, kedua-dua aliran ini sepakat menyatakan bahawa ilmu sihir ini haram diamalkan. Itu jelas. Tapi, kita berdepan dengan suatu masalah baru ketika membincangkan hal ini. Iaitu jika agama telah merumuskan bahawa ilmu sihir ini haram diamal maka kenapakah negara, pihak pemerintah, penguasa, khasnya parti politik tidak mengharamkannya di dalam negara itu?

Mungkin, jawapannya ada pada kenyataan lewat pidato penyandang presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono baru-baru ini ketika Tanah Jawa kini sedang menyaksikan pertarungan merebut jawatan Presiden Indonesia.

“Ini ialah musim pilihan raya. Ramai yang mengamalkan ilmu hitam. Malahan keluarga saya dapat merasai kesannya,” kata calon presiden tersebut dalam sebuah majlis doa selamat di Cikeas, Bogor baru-baru ini.

“Saya membuat kesimpulan bahawa hanya melalui doa dan bacaan ayat suci boleh menghalang serangan ilmu hitam. Misalnya, malam Jumaat lepas, saya sentiasa membaca ayat suci al-Quran sepanjang jalan ke venue debat (pusingan ketiga dan akhir debat presiden) bersama-sama isteri saya, pembantu dan pemandu.

Katanya beliau sentiasa membaca ayat suci al-Quran sebagai cara untuk melindungi dirinya daripada serangan ilmu hitam daripada pencabarnya. Demikianlah serba ringkas petikan laporan tersebut.

Persoalan awal yang patut kita tanyakan kepada calon presiden tersebut, kenapakah ketika beliau diberi peluang sebagai Presiden Indonesia sebelum ini, amalan ilmu sihir itu tidak dibanteras habis-habisan dengan bersungguh-sungguh?

Kenapakah baru sekarang beliau mengeluh? Sedangkan ketika beliau berpidato itu, jelas beliau adalah seorang Muslim dan dengan taraf beliau sebagai penguasa Negara Islam dengan jumlah bilangan entiti rakyat yang besar, hal ilmu sihir itu boleh ditangani bersama majlis ulamak Indonesia.

Apabila beliau tidak berusaha mengguna jenteranya, mengerahkan pasukannya dalam bentuk negara, guna menghancurkan ilmu sihir itu, maka kini beliau diancam ilmu sihir pula menjelang pilihan raya presiden.

Ilmu sihir dalam pemerintahan

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka menyatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitanlah yang kafir (mengerjakan sihir).

“Mereka mengajar sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil; Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum menyatakan: “Sesungguhnya kami hanya ujian (kepadamu), sebab itu janganlah kamu kafir”.

“Maka mereka mempelajari daripada kedua-dua malaikat itu melalui sihir itu untuk menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah. Dan, mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manfaat.

“Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, jika mereka mengetahui.” (Al-Baqarah: 102)

Daripada nas di atas, dapatlah kita fahami bahawa, ilmu sihir telah masuk merebak dalam pemerintahan negara. Sulaiman a.s bukanlah pengamal sihir sebenarnya walaupun baginda dapat menundukkan jin.

Ilmu sihir ini diajar oleh dua malaikat; Harut dan Marut. Apabila lafaz ini diMelayukan maka lahir istilah karut-marut yang sering digunapakai dalam bualan kita ketika merujuk hal-hal yang melibatkan ilmu sihir ini.

Sihir yang mengakibatkan cerai-berai paling utama!

Daripada nas itu juga, dapatlah kita rumuskan bahawa antara banyak ilmu sihir seperti santau, pukau, minyak pengasih, minyak dagu, dan minyak senyonyong, maka ilmu sihir yang melibatkan kes cerai-berai antara suami isteri itulah yang paling utama dan dahsyat sekali.

Kita tak tahu kenapakah ilmu sihir yang melibatkan cerai-berai antara suami isteri ini amat dahsyat. Tapi, kalau tidak hebat penangannya, maka Allah s.w.t tidak merakamkan kegunaan ilmu sihir guna merosakkan pernikahan itu dalam al-Quran sebagai yang disebutkan dalam nas di atas.

Tuhan tidaklah mnerakam ilmu-ilmu pengasih yang membuat seseorang dara jatuh cinta kepada seseorang jejaka, ilmu pukau sehingga menyebabkan seseorang itu terkhayal tidak sedarkan diri sebagai sihir yang utama, sebaliknya ilmu sihir untuk pecahbelahkan keluarga itulah yang telah dibangkitkan secara jelasnya di dalam kitab suci pegangan umat Islam itu.

Semua pendedahan ini pastinya mengheret ingatan kita ke atas suatu pendedahan dalam klip video bertajuk ‘Rosmah Puaka’ di laman YouTube.com. Ada kenyataan bahawa isteri Perdana Menteri itu mengamalkan ilmu hitam dan tiada pula kedengaran bahawa beliau membuat penafian atau membuat saman fitnah setakat ini berhubung hal tersebut.

Terselit dakwaan bahawa beliau mengamalkan ilmu hitam sebelum mendapatkan Najib dan terus mengamalkan ilmu sihir itu setelah mendapat Najib. Jika dakwaan ini benar, maka negara kita berada dalam keadaan tidak selamat dan huru-hara.

Rosmah wajib membersihkan nama baiknya ke atas pendedahan tersebut. Najib perlu menjawab bagi pihak isterinya itu.

Ini kerana (jikalau pendedahan itu benar), maka Rosmah mungkin terlibat dalam ilmu sihir paling agung yang disebutkan Tuhan di mana ilmu sihir itu mengakibatkan perceraian antara Najib dengan isteri pertamanya sebelum ini. Hanya Rosmah dan Najib yang dapat membersihkan nama mereka.

Jika benar, ini sangat merbahaya. Rosaknya Najib (jika Najib disihirkan), maka rosaklah negara seluruhnya. Jika Najib seorang PM (penjual mee) di kaki lima kompleks membeli belah Sogo di Jln. Tunku Abdul Rahman atau dekat Bangunan Mara di Jalan Raja Laut, hal itu bolehlah kita sensasikan buat sementara dalam diges Mastika guna melariskan jualan.

Itu tidak mengapa lagi. Tapi, jika PM itu bukan penjual mee, sebaliknya seorang Perdana Menteri, maka seluruh rakyat akan menerima padah dan parah yang keterlaluan azabnya kelak.

Kita terpaksa menulis sebegini kerana kita yakin penuh percaya bahawa akan sekalian mufti yang ramai di serata negeri pun tak akan berani menegur Najib, apatah lagi menegur Rosmah yang berkemungkinan besar, terjebak dalam ilmu itu.

Hukum bunuh kepada pengamal ilmu sihir?

Sepotong hadis menyebutkan: “Jauhilah tujuh perkara yang akan membinasakan.” Para sahabat bertanya: “Apa itu?” Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa tanpa alasan yang hak, makan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, dan menuduh orang-orang yang beriman yang menjaga diri dari lalai.” (Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat at-Tarmizi, Jundub bin Ka’ab As-Sa’di, meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, bahawa dalam hukum Islam hukuman dari pengamal sihir adalah dipenggal dengan pedang.

Telah ada riwayat daripada kaum ulamak salaf yang menfatwakan supaya pengamal sihir itu dibunuh. Diriwayatkan Imam Al-Bukhari dalam sahihnya, daripada Bajalah bin ‘Abdah, berkata ‘Umar bin Al-Khattab: “…agar membunuh para tukang sihir.” Maka, kami membunuh tiga tukang sihir.

As-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab di dalam Kitab At-Tauhidnya berkata: “Telah sahih daripada Hafshah bahawa beliau memerintahkan agar membunuh budak yang menyihirnya.” Dan telah sahih pula daripada Jundub r.a.

As-Syeikh Abdul Rahman bin Hasan dalam Fathul Majid berkata: “Diriwayatkan pula yang menyatakan (tukang sihir harus dibunuh) daripada Umar, Usman, Ibnu Umar, Hafshah, Jundub bin Abdullah, Jundub bin Kaab, Qais bin Sa’d, dan Umar bin Abdul Aziz.”

Pengamal sihir masih ada ruang diampuni

Perlu juga diingatkan di sini bahawa hukuman di sini, yang berhak melakukannya adalah pemerintah Muslim dan bukanlah hukuman tersebut boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana individu. Ini bermaksud, hukuman tersebut mestilah berada di bawah kuasa negara.

Dan, manakala pengamal sihir itu telah bertaubat, maka sentiasa ada ruang untuk diampuni dosa-dosa mereka itu. Hal ini amat besar faedahnya untuk dibahas dan didebat secara lanjut kerana hal ini lebih ternyata lebih bermanfaat dari debat berhubung isu Kerajaan Perpaduan yang sudah ditutup ruang untuk mendebatkan hal tersebut.

Cukuplah kita melihat betapa bahayanya ilmu sihir ini dengan melihat nas ini – Sesiapa yang mendatangi ‘arraaf (tukang ramal) dan bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak akan diterima solatnya 40 hari. (Muslim)

Cuma dengan mengunjungi tukang tenung, tukang ramal dan tukang tilik, lalu mempercayai kata-katanya, maka solat tidak diterima oleh Allah s.w.t.

“Mereka yang bertemu tukang ramal atau dukun lalu dia membenarkan apa-apa yang tukang ramal itu katakan, sesungguhnya dia telah kafir ke atas apa yang telah diturunkan kepada Muhammad.” (Riwayat 4 Ahlu Sunan, disahihkan oleh Hakim).

Adili siswa UM dengan berhikmah

Baru-baru ini, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya sedang berdepan dengan masalah tindakan berhubung sikap mereka membantah keras kehadiran Rosmah Mansor ke universiti tersebut.

Bantahan mereka itu ternyata ada asas yang kuat, iaitu berdasarkan klip video Rosmah Puaka, maka mereka mengirim nota bantahan secara ‘liar’; menconteng dinding di bangunan universiti sebagai langkah protes ke atas kehadiran Rosmah.

Sebetulnya, kalau pun pihak universiti mahu mengenakan tindakan ke atas sikap pelajar itu sepatutnya pihak universiti perlulah bermuhasabah terlebih dulu, kenapakah mereka sanggup mengundang Rosmah yang masih belum membersihkan namanya yang terpalit dengan dakwaan ilmu sihir?

Kita tak boleh mengundang pihak yang masih belum membersihkan namanya seperti Rosmah. Sehinggalah nama Rosmah bersih daripada tohmahan itu, atau isteri Perdana Menteri membuat saman fitnah ke atas C4 Production dan menang barulah kita boleh menjemputnya. (Itu pun jika masih ada yang redha dengan isu C4 yang meletupkan jasad Altantuya!)

Golongan pelajar itu mungkin tidak bertindak keterlaluan jika yang datang ke kampus itu adalah isteri-isteri orang kenamaan, selain daripada Rosmah.

Rosmah masih berpeluang untuk bertaubat dan dia boleh diampuni dan pihak universiti boleh mengundangnya kalau beliau telah pun sedar dan insaf daripada perbuatannya yang lalu.

Tidak perlu dihukum siswa universiti tersebut kerana mereka cuma tidak inginkan individu yang mereka anggap terpalit dengan tubuhan sihir itu masuk ke daerah suci seperti universiti. Itu sahaja.

Akta Membendung Ilmu Sihir di Parlimen?

Apa pun, kembali semula kepada pokok persoalan kita yang asal, apakah hukuman negara ke atas para pengamal ilmu hitam ini? Adakah ahli-ahli Parlimen tanpa mengira faham agama dan parti boleh meluluskan akta guna menangani sihir ini?

Hanya satu sahaja yang tergambar dalam fikiran kita jika ahli-ahli Parlimen keberatan menyuarakan usul berhubung akta ini. Seperti yang disebut di atas tadi, SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) telah menyatakan buah kekhuatirannya berhubung ilmu hitam yang mungkin digunakan ke atasnya dan keluarganya menjelang pilihan raya presiden yang akan datang.

Jadi, jika Akta Membendung Ilmu Sihir ini tak dapat diluluskan dalam Dewan Rakyat, mungkinkah hal ini disebabkan oleh ramainya wakil-wakil rakyat bertemu dukun dan bomoh menjelang pilihan-pilihan raya umum sebelum ini?

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,700 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 9,700 other followers

%d bloggers like this: