Ikhlas Dalam Amalan


TUJUAN YANG BETUL

Oleh : Ibn Rajab As-Syafie.

Setelah kita bercakap mengenai perahan umur, memperbanyakkan amalan soleh, mengamalkan nasihat menasihati dan seterusnya kita telah perhatikan bagaimana ulama’ silam menjaga dan menggunakan masa mereka, sekarang saya akan bawakan pembaca sekalian untuk berhadapan dengan satu nokhtah permulaan bagi mendapat sesuatu ilmu pengetahuan. Kerana pada kebiasaannya, nokhtah permulaanlah yang akan menentukan jatuh bangunnya kita di dalam satu-satu pekerjaan yang dilakukan.

Tujuan yang betul ialah nokhtah permulaan.

Sebagaimana yang kita ketahui, tujuan yang betul merupakan suatu asas di dalam menentukan kejayaan seseorang individu terutama dalam perkara menuntut dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Justeru itu, tujuan yang betul terletak pada niat dan ikhlasnya seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan. Ikhlas semata-mata kerana Allah swt. Menuntut ganjaran pahala daripada-Nya yang Esa, serta mencari keredhaan-Nya.

Di dalam mencapai ikhlas, kita juga tidak seharusnya mengharapkan orang lain melihat pekerjaan yang kita lakukan. Juga tidak mengharapkan pujian dan pujaan mereka. Meniggalkan riya’ iaitu sifat menunjuk-nunjuk. Kerana sifat ini merupakan satu syirik dan menyekutukan Allah. Apabila ini terjadi, maka amalan dan pekerjaan yang kita lakukan akan terbengkalai di tengah jalan, selain itu, pahala juga akan lesap entah ke mana. Dan Allah swt. telah menyuruh kita melakukan sebarang amalan dengan niat ikhlas, semata-mata kerana-Nya yang Esa.

Ayat Al-Quran Menyeru Kepada Keikhlasan.

Firman Allah swt dalam suratul al-Bayyinah ayat 5 yang mafhumnya: Mereka tidak disuruh melainkan beribadah kepada Allah, melakukan segala pekerjaan agama dengan penuh keikhlasan, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Itulah agama yang betul lagi lurus.

Dalam surat az-Zumar ayat 2-3 Allah berfirman, mafhumnya: Sesungguhnya Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (al-Quran) dengan kebenaran, maka sembahlah Allah dengan sebenar-benar ikhlas. Ingat-lah hanya bagi Allah sebuah agama yang suci murni (dari syirik).

Firman-Nya lagi dalam surah yang sama ayat 11-14. Mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya aku telah disuruh beribadah kepada Allah swt. dengan ikhlas, taat mengerjakan agama-Nya dengan ikhlas. Dan aku juga telah disuruh menjadi orang pertama yang menyerah diri kepada-Nya. Katakanlah, sesungguhnya aku takut menghadapi siksaan yang pedih lagi lirih pada hari pembalasan jika aku derhaka kepada tuhanku. Katakanlah, Hanya Allah sahajalah yang aku sembah dan ikhlas mengerjakan agamaku.

Dan Firman-Nya lagi dalam suratul Insan 8-9 yang maksudnya: Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula ucapan terima kasih.

Hadis-hadis Sohih Mengajak Kepada Ikhlas.

Rasulullah saw. juga menyeru umatnya agar mengikhlaskan niat dalam setiap perkara yang dilakukan juga perkataan yang dituturkan secara zahir maupun batin. Kita dapati banyak hadis yang sohih berkaitan dengan perkara tersebut, antaranya:

1) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tarmizi dan an-Nasaai. Daripada saidina Umar al-Khattab ra. yang telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan itu dengan niat, dan setiap orang melakukan perkara yang diniatinya, maka barang siapa yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan perolehi pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia, dia akan perolehinya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana seorang wanita, dia akan mengahwininya. Oleh yang demikian, setiap orang akan mendapat apa tujuan hijrahnya (apa yang dihajatinya).

2) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Abi Musa al-Asy’ari ra. berkata: Rasulullah saw. telah ditanya mengenai seorang lelaki yang telah berperang kerana berani, seorang yang lain kerana semangat dan seorang lagi kerana riya’ antara mereka yang manakah dikira sebagai jihad fi sabilillah. Jawab baginda saw.: Siapa yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah (agama-Nya) di tempat yang tinggi maka dia termasuk di dalam golongan fi sabilillah.

3) Hadis yang diriwayatkank oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra. Rasulullah saw. telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan melihat wajah-wajah kamu, dan tidak juga kepada harta benda kamu, sebaliknya Allah melihat dan menilai hati-hati kamu dan juga amalan-amalan yang kamu lakukan.

4) Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim, at-Tarmizi dan an-Nasaai. Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw. telah bersabda: Sesungguhnya orang pertama yang dihakimi pada hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Di datangkan kepada beliau segala amalannya seterusnya dia akan disoal: Apakah yang telah kamu lakukan? Jawabnya: Aku telah berperang keranamu Ya Allah sehingga aku mati syahid. Di katakan kepadanya lagi: Kamu telah berbohong!. Malah kamu berperang supaya orang kata kamu berani!, dan mereka telah pun katakan (di dunia), kemudian diseret mukanya dan dicampakkan ke lubang neraka.

Kemudian didatangkan pula seorang penuntut dan penyampai ilmu dan juga merupakan pembaca al-Quran. Kemudian dihadapkan kepadanya segala amalan yang telah dilakukan di dunia, dan dia mengakuinya. Justeru itu dia ditanya: Apakah yang telah kamu lakukan? Jawabnya: Aku telah belajar dan mengajar ilmu, aku juga membaca al-Quran, semuanya keranamu Ya Allah. Kemudian Allah menjawab: Bohong!!, bahkan kamu belajar supaya orang kata kamu alim, dan kamu baca al-Quran supaya orang kata kamu seorang qari. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia. Setelah itu dia diseret dan dicampakkan ke dalam neraka.

Akhirnya dibawakan pula seorang yang dikurniakan harta benda serta kemewahan hidup di dunia, dan dia juga mengakui segala nikmat yang dikecapinya. Kemudia dia disoal: Apakah yang kamu lakukan dengan harta benda tersebut? Jawabnya: Aku tidak akan tinggalkan satu peluang bantuan yang engkau sukai Ya Allah sehingga aku akan keluarkan wang bantuan keranamu Wahai Tuhan. Allah menjawab: Bohong!!, tetapi kamu keluarkan bantuan tersebut supaya orang katakan kamu seorang yang pemurah. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia. Akhirnya dia juga diseret dan dihumbankan ke dalam api neraka.

Apabila saidina Muawiyah mendengar hadis ini, beliau menagis sehingga tidak sedarkan diri, apabila sedar beliau berkata: Benarlah firman Allah dan Rasul-Nya. Allah juga telah berfirman dalam surah Hud ayat 15-16. Mafhumnya: Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami akan berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia demgan sempurna, tanpa apa-apa kerugian. Itulah orang-orang yang tidak beroleh sesuatu di hari akhirat melainkan api neraka yang marak menyala.

5) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra. berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Allah swt. berfirman di dalam hadis al-Qudsi: Aku (Allah swt.) tidak memerlukan sesiapa untuk bersekutu denganku, barang siapa yang melakukan sesuatu pekerjaan dan meletakkan bersamaku selain daripadaku (mensyirikkan Allah), maka aku akan tinggalkannya dengan sekutunya.

6) Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah dan Imam Ahmad dengan sanad-sanad yang sohih. Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Barangsiapa yang mempelajari ilmu Allah dengan niat untuk mencari kepentingan dunia semata-mata, dia tidak akan mencium bau syurga di hari kiamat.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 13,055 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 13,055 other followers

%d bloggers like this: