PENGUKUHAN AQIDAH


 

  Aqidah ataupun tauhid merupakan asas di dalam memperdalam dan menambahkan keyakinan terhadap segala rukun iman yang tertera dalam Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah S.A.W. Syarat utama sebelum berpegang teguh dengan tali Islam dan bernaung di bawah nurnya ialah dengan memastikan aqidah kita merupakan aqidah yang benar dan bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Oleh itu kita mesti memastikan perkara-perkara berikut ada pada diri dan aqidah kita iaitu :

1. Beriman bahawa pencipta kepada segala kejadian ini adalah Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa dengan dalil adanya kejadian ini kerana ihsan(belas kasihan) daripada Allah dan makhluk memerlukan sebahagian kepada sebahagian yang lain. Mustahil kejadian ini kekal dan berterusan tanpa jagaan Allah yang Maha Tinggi sebagaimana firman Allah dalam ayat 22 surah Al-Anbiya’ yang bermaksud : Jika ada pada keduanya (langit dan bumi) tuhan lain selain Allah nescaya keduanya akan binasa. Maka Maha Suci Allah tuhan pemilik ‘Arasy daripada apa yang mereka (kuffar) sifatkan.

2. Percaya bahawa pencipta alam ini iaitu Allah tidak menjadikan segala kejadian ini secara main-main dan dibiarkan begitu sahaja kerana tidak mungkin sesuatu yang memiliki segala sifat kesempurnaan iaitu Allah membuat sesuatu secara main-main. Mustahil untuk kita mengetahui secara terperinci mengenai kehendak Allah dalam mencipta makhluk ini melainkan melalui hadis Rasulullah S.A.W dan wahyu. Firman Allah dalam ayat 115 surah Al-Mukminun yang bermaksud : Maka adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main dan kamu tidak akan di kembalikan kepada Kami. Firman Allah lagi dalam ayat 36 surah Al-Qiamah yang bermaksud : Adakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan begitu sahaja ( tanpa dipertanggungjawabkan ).

3.Beriman bahawa Allah telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitab bagi menerangkan kepada manusia mengenaiNya, matlamat sebenar kejadian ini dan ,      serta beriman bahawa nabi Muhammad S.A.W merupakan rasul yang terakhir yang mana Allah menganugerahkan kepada baginda S.A.W mukjizat yang terbesar dan berkekalan iaituAl-Quran. Firman Allah dalam ayat 36 surah An-Nahlu yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul bagi setiap umat (untuk menyerukan) : “Sembahlah Allah dan jauhilah thogut itu”, maka di antara umat itu ada mereka yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada juga di antara mereka yang telah pasti kesesatan pada mereka. Maka berjalanlah kamu di atas muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan bagi mereka yang mendustakan(rasul-rasul).

4. Beriman bahawa matlamat utama dijadikan manusia ini adalah untuk mengetahui tentang Allah sebagaimana yang telah diberitahu olehNya, mentaatiNya dan beribadat kepadaNya. Firman Allah dalam ayat 56 hingga 58 surah Az-Zariyat yang bermaksud : Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.Aku tidak mengha- rapkan sedikit rezekipun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki mereka memberi makan padaKu. Sesungguhnya Allah yang mana Dialah Maha Pemberi rezeki lagi Maha Mempunyai Kekuatan lagi Maha Kukuh.

5. Beriman bahawa balasan bagi orang mukmin yang taat kepada suruhan Allah adalah syurga, manakala balasan bagi orang kafir yang engkar pula ialah neraka. Firman Allah dalam ayat 7 surah Syura yang bermaksud : Satu puak di dalam syurga dan satu puak yang lain berada dalam neraka.

6. Beriman bahawa setiap perbuatan manusia sama ada baik atau buruk dengan pilihan dan kehendaknya tetapi dia tidak akan berlakuan baik melainkan dengan taufiq dan pertolongan daripada Allah. Begitu juga dia tidak akan terjebak dengan perbuatan jahat kerana bantuan daripada Allah tetapi dia melakukannya dalam lingkungan keizinan dan kemahuannya sendiri. Firman Allah dalam ayat 7 hingga 10 surah As-Syamsu yang bermaksud : Dan jiwa serta penyempurnaannya.  Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.Dan firman Allah lagi dalam ayat 38 surah Al-Mudassir yang bermaksud : Setiap diri dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah dilakukan.

7. Beriman bahawa perundangan yang dilaksanakan adalah hak Allah sahaja yang mana tidak boleh menjalankan hukum yang lain daripadanya seperti sekularisme, komunisme, kapitalisme, sosialisme dan lain-lain daripada hukum dan ideologi ciptaan manusia yang tidak mahu tunduk dan patuh kepada hukum Allah. Dibolehkan seorang muslim yang alim berijtihad di dalam mengeluarkan sesuatu hukum selagi mana tidak terkeluar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh syarak.Firman Allah dalam ayat 10 surah As-Syura yang bermaksud : Dan setiap sesuatu yang mana kamu berselisih faham mengenainya maka keputusannya (terserah) kepada Allah. (Yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku.KepadaNya
aku berserah diri dan kepadaNya aku kembali.

8. Mengetahui bahawa Allah mempunyai nama-nama dan sifat-sifat yang berkenaan dengan kehebatanNya. Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud : Bagi Allah ada 99 nama -seratus  melainkan satu- yang mana tidak menghafalnya seseorang melainkan memasuki syurga. Dan Dia ganjil menyukai perkara ganjil.

9. Berfikir pada kejadian Allah bukan pada zatNya bertepatan dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Berfikirlah pada kejadian Allah dan jangan kamu berfikir pada diri Allah maka sesungguhnya kamu tidak mampu menandingi kekuasaanNya.

10. Menyembah Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu. Mematuhi dan menyahut seruan dakwah kepada Allah melalui apa yang terkandung dalam risalah-risalah yang di bawa oleh rasul-rasul yang mana mereka mengajak kita untuk beribadat kepadaNya sahaja dan tidak tunduk pada sesuatu termasuk sistem dan ideologi ciptaan manusian melainkan kepada Allah dan perundanganNya. Firman Allah dalam ayat 36 surah An-Nahlu yang bermaksud : dan sesungguhnya kami telah mengutuskan kepada setiap kaum seorang rasul, oleh itu kamu hendaklah menyembah Allah dan kamu juga mestilah menjauhi Thogut(melampau).

11. Kita mestilah takut kepada Allah dan tidak takut kepada perkara lain. Perasaan takut ini mampu menjaga diri kita daripada melakukan apa yang dimurkaiNya dan terjebak dengan perkara yang diharamkan.Firman Allah dalam ayat 52 surah An-Nur yang bermaksud : Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.Dan firman Allah lagi dalam ayat 12 surah Al-Mulk yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang takut pada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperolehi keampunan dan pahala yang besar.

12. Sentiasa mengingati Allah yang mana apabila diam kita berfikir dan tatkala berbicara kita berzikir. Mengingati Allah merupakan rawatan diri yang paling berkesan dan ia juga merupakan senjata yang kukuh dan mampu digunakan setiap masa. Firman Allah dalam ayat 28 surah Ar-Ra’adu yang bermaksud : Mereka yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.Dan firman Allah lagi dalam ayat 36 dan 37 surah Az-Zukhruf yang bermaksud : Sesiapa yang berpaling daripada ajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran) Kami sediakan bagi mereka syaitan maka syaitan itulah yang menjadi teman yang sentiasa bersamanya.

13. Sentiasa berserah diri kepada Allah di dalam setiap urusan dan berpegang  kepadaNya dalam setiap perkara. Dialah yang menganugerahkan kepada kita kekuatan dan semangat yang mampu memudahkan segala kesusahan.Firman Allah dalam ayat 3 surah At-Tholak yang bermaksud : ….dan sesiapa yang menyerah diri kepada Allah maka nescaya Allah akan mengcukupkan (keperluan)nya. Mafhum hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Jagalah Allah nescaya Dia akan menjaga engkau, jagalah Allah nescaya engkau akan mendapatiNya terhadap engkau, apabila memohon pohonlah kepada Allah, apabila engkau mahu perlindungan berlindunglah  kepada Allah, Ketahuilah bahawa jika semua umat ini berhimpun untuk memberi manfaat kepada engkau sesuatu  nescaya mereka tidak boleh sama sekali memberi manfaat kepada engkau melainkan sesuatu yang telah ditulis (ditentukan) oleh Allah kepada engkau. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu nescaya mereka tidak akan memudharatkan engkau melainkan pada sesuatu yang telah ditulis oleh Allah ke atas engkau. Telah di angkat segala pena dan telah dikosongkan segala helaian kertas.

14. Bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatNya yang tidak terhitung banyaknya dan kemulian serta rahmatNya yang tidak terkira. Kesyukuran di atas segala sifat kasih sayang terhadap mereka yang diberi nikmat dan kebaikan serta kemulian terhadap mereka. Firman Allah dalam ayat 78 surah An-Nahlu yang bermaksud : Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur. Dan firman Allah lagi dalam ayat 34 dan 35 surah Yaasin yang bermaksud : Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami keluarkan padanya pancutan beberapa mata air.Supaya mereka dapat makan daripada buahnya dan daripada apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?.
Dan Allah telah menjanjikan kepada mereka yang bersyukur dengan penambahan rezeki mereka sebagaimana dijanjikan kepada mereka yang menolak dan engkar dengan rezeki yang dianugerahkan dengan menggandakan kerugian. Firman Allah dalam ayat 7 surah Ibrahim yang bermaksud : Dan ingatlah juga ketika Tuhanmu memberitahu :”Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat dan sekiranya kamu mengingkarinya maka sesungguhnya azabKu amat pedih”.

15. Kita yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi setiap gerak laku kita seharian sama ada ketika berada di tempat yang terang ataupun di tempat yang tersembunyi. Firman Allah dalam ayat 7 surah Al-Mujadalah yang bermaksud :  Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi?. Tiada perbicaraan rahsia di antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya, Dan tiada perbicaraan secara rahsia di antara lima orang melainkan Dialah yang keenamnya. Dan tiada pula perbicaraan di antara jumlah yang kurang daripada itu atau lebih ramai melainkan Dia ada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari qiamat apa yang telah mereka lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

16. Sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah kerana istighfar itu merupakan suatu cara bagi mencari keampunan bagi segala dosa yang telah dilakukan dan ia mampu memberi ketenangan dan ketenteraman kepada kita. Firman Allah dalam ayat 110 surah An-Nisa’ yang bermaksud : Dan sesiapa yang melakukan kejahatan dan menganiayai dirinya sendiri, kemudian dia memohon keampunan daripada Allah nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Top Rated

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 12,899 other followers

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 12,899 other followers

%d bloggers like this: